Wednesday, December 31, 2008

Isteri Zainal Abidin Udin meninggal dunia..

Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan takziah kepada Zainal Abidin Udin (Foto) ahli Skuad 69 di atas pemergian ke Rahmatullah isteri beliau, Hanipah Abong pada pagi ini (31 Dis 08). Allahyarhamah telah menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 2.30 pagi di Hospital Umum Kuching, setelah hampir satu bulan menjalani rawatan rapi di hospital tersebut.
Jenazah Allahyarhamah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kpg Surabaya pada pukul 10.00 pagi dengan dihadiri oleh ramai sanak keluarga serta penduduk Kpg Gersik. Turut hadir di tanah perkuburan ialah YB Dr. Abdul Rahman Junaidi, ADUN N.4 Pantai Damai.
Allahyarhamah Hanipah, 66 semasa hayatnya merupakan sseorang yang aktif di dalam pergerakan politik terutamanya di dalam Pergerakan Wanita sejak kewujudan Parti Negara di negeri Sarawak, sehinggalah di dalam PBB hari ini.
Zainal Abidin Udin juga merupakan seorang penggiat politik di dalam PBB dimana beliau kini merupakan Ketua Ranting PBB Kpg Gersik di dalam N.4 DUN Pantai Damai.

RESIDEN BINTULU PUJI SKUAD 69

Dr. Razali Abon (Foto) Residen Bahagian Bintulu memuji usaha Skuad 69 PDRM Sarawak yang begitu prihatin dengan kebajikan masyarakat, dengan membantu golongan yang kurang bernasib baik. Beliau juga mengharapkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lainya di negeri ini supaya dapat menggiatkan lagi kerja-kerja amal seperti yang dianjurkan oleh Skuad 69 PDRM Sarawak.
Residen Bahagian Bintulu ini berucap demikian dalam majlis penyampaian beg sekolah dan alatulis kepada pelajar-pelajar miskin di dalam daerah Bintulu untuk sesi persekolahan 2009 anjuran Skuad 69 PDRM Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu, bertempat di di perkarangan Wisma Residen Bintulu 30 Ogos lalu.
Menurutnya, dengan memberikan sumbangan kepada golongan terbabit, maka akan dapat meringankan bebab yang terpaksa dihadapi oleh mereka, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu hari ini.
Beliau berkata, dalam mengejar arus kemajuan modenisasi, gologan yang kurang bernasib baik tidak harus dilupakan kerana mereka juga adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang perlu diberikan perhatian khusus bagi memastika mereka tidak berasa tersisih dan dipiggirkan.
Dr. Razali Abon juga memuji Skuad 69 PDRM Sarawak kerana setelah mereka meninggalkan pasukan, Skuad ini masih ingin berbakti kepada masyarakat dan kali ini mereka berjuang di dalam sebuah Persatuan yang berteraskan kepada kebajikan.
Seterusnya beliau berkata, rakyat dan negara amat terhutang budi dengan pasukan keselamatan termasuk Skuad 69 PDRM yang telah berjuang sehingga menyabung nyawa mempertahankan negara daripada ancaman pengganas komunis suatu ketika dahulu.

Jelajah Amal Skuad 69 PDRM Sarawak

Terdahulu DSP (B) Haji Arifin Haji Adenan, Timbalan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak turut menyampaikan ucapan aluannya. Diantara perkara yang disentuhnya ialah Skuad 69 PDRM sarawak akan melancarkan program 'Jelajah Amal' bermula awal tahun hadapan (2009) dengan misi untuk menjejaki anggota-anggota Skuad 69 PDRM yang telah bersara supaya menyertai Persatuan ini seterusnya mengajak mereka menyertai 'Kor Keselamatan Komuiti' yang akan dibentuk dengan kerjasama NGO tempatan seperti Rukun Retangga, Rela, Rakan Cop dan sebagainya.
Menurutnya lagi, menerusi program kembara ke seluruh negeri Sarawak ini, Skuad 69 PDRM juga akan melancarkan 'Tabung Pendidikan dan Kebajikan' bagi mengisi dana yang akan disalurkan bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan bantuan di setiap daerah yang disinggahi nanti, terutamanya di kalangan keluarga ahli. Beliau mengharapkan sokongan dan juga kerjasama dari pelbagai pihak samada sektor kerajaan mahupun sektor korporat/swasta.
Dalam majlis tersebut, seramai 15 orang pelajar miskin di sekitar Bintulu telah diberikan sumbangan berupa beg sekolah dan juga alat-alat tulis bagi membolehkan mereka menghadapi sesi persekolahan 2009 dengan lebih ceria dan bersemangat.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Penolong Pegawai Daerah Bintulu, Alex Lau, Ketua Bahagian Logistik Daerah IPD Bintulu, Inspektor Mohd. Khalid Samid, Temenggong Abang Suhaili Haji Mohamad, Pembatu Pemancha Chabi Ak Nangup, PenghuluHaji Mahli Hamzah, Penghulu Derahman Kawi serta Ketua-Ketua Jabatan Daerah Bintulu.


Diantara 15 kanak-kanak miskin yang menerima beg sekolah


Diantara tetamu VIP yang hadir

Gambar Kiri: Hj Arifin bersama Dr. Razali Abon. Gambar Kanan: Hj Arifin bersama Temenggong Suhaili


Diantara tetamu yang hadir.


Sunday, December 28, 2008

Perjalanan ke Bintulu singgah di rumah Apai Changak di Skrang.

Dalam perjalanan dari Kuching ke Bintulu pada hari Sabtu, 27 Disember 2008, saya telah sempat singgah di rumah Apai Changak Ak Rabong (Foto) salah seorang ahli Skuad 69 PDRM Sarawak yang tinggal di Skim Skrang di dalam Daerah Sri Aman. Saya sampai di rumahnya kira-kira jam 4.15 petang, dan kami disambut dengan penuh mesra oleh Apai serta anak dan menantunya yang sememangnya menunggu kedatangan kami.
Saya telah menelefon Apai Changak terlebih awal semasa singgah berehat di Lachau, dan beliau mengharapkan agar kami dapat singgah sebentar di rumahnya sebelum meneruskan perjalanan jauh kami ke Bintulu.
Apai Changak Ak Rabong, 67 tahun merupakan bekas anggota polis yang sudah berkhidmat sejak menjadi border scout lagi sebelum diserapkan di dalam pasukan polis (PDRM). Sambil kami dijamukan dengan minuman teh dan juga biskut, Apai Changak telah meluahkan beberapa persoalan dan juga kemusykilannya terhadap Persatuan Bekas Polis Bahagian Sarawak yang telah dianggotainya sebagai 'Ahli Seumur Hidup'.
Sambil menunjukkan resit-resit pembayaran yuran keahliannya dengan Persatuan Bekas Polis Bahagian Sarawak, beliau telah menyatakan kemusykilannya kepada saya tentang pemberian saguhati yang sepatutnya beliau perolehi setelah kematian isterinya pada bulan Mei tahun 2008 yang lalu. Sambil mengucapkan terima kasih kepada Skuad 69 PDRM Sarawak yang telah menyumbangkan wang saguhati untuk kematian isterinya, Apai Changak juga mengharapkan agar Persatuan Bekas Polis Bahagian Sarawak dan juga Skuad 69 PDRM Sarawak dapat memberikan bantuan yang sewajarnya kepada beliau yang akan menjalani pembedahan kedua-dua belah matanya Mei tahun hadapan.
Katanya, dengan adanya bantuan ini dapatlah beliau menampung sedikit sebanyak kos pembedahan yang disebutnya sekitar RM500 untuk sebelah mata.
Mengakhiri pertemuan saya dengannya, sempat saya menyerahkan senaskhah Buletin skuad 69 PDRM Sarawak kepada Apai Changak Ak Rabong. Kelihatannya beliau begitu menghormati Skuad 69 PDRM Sarawak, setelah meminta saya agar mengambil fotonya lengkap beruniform sebagai Ahli Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak (Sila lihat foto di bawah).


Apai Changak (Kanan) menerima senaskhah Buletin Edisi ke-2
Skuad 69 PDRM Sarawak
dari A. Rahman Hashim (Kiri)

Thursday, December 25, 2008

DSP (B) Haji Arifin Haji Adenan, selamat kembali ke tanah air dari tanah suci..


Gambar Kiri: Haji Arifin Haji Adenan (Dua dari kiri) ketika dikunjungi oleh Peet Awi (Kiri),
Bujang Boji ((Dua dari kanan) dan Abdul Rahman Hashim (Kanan sekali).

Alhamdulillah, Tuan Haji Arifin Haji Adenan Timbalan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak bersama isterinya Hajah Mimah telah selamat kembali ke tanah air dari tanah suci kerana menunaikan fardu haji pada 24 Disember lalu. Penerbangan transit yang membawanya dari Kuala Lumpur telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 4.20 petang.
Hari ini (Khamis, 25 Dis 08) beliau dikunjungi oleh sanak saudara, jiran-jiran termasuk sahabat handai untuk mengucapkan selamat kembali kepadanya. Bujang Boji Sitam, Peet Awi dan Abdul Rahman Hashim daripada Skuad 69 PDRM Sarawak adalah diantara yang mengunjungi di rumah beliau di Kpg Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching.
Tuan Haji Arifin Haji Adenan kelihatan begitu ceria dan berada dalam keadaan sihat walafiat. Beliau akan kembali bertugas pada hari Selasa, 30 Disember 2008.

Wednesday, December 24, 2008

Lesen Pungutan Awam Skuad 69 dilanjutkan sehingga 5 September 2009.

Lesen Pungutan Awam yang diberikan kepada Skuad 69 PDRM Sarawak yang tamat tempohnya pada 6 September 2008 telah dilanjutkan setahun lagi sehingga 5 September tahun hadapan. Kelulusan melanjutkan tempoh lesen tersebut telah diperolehi daripada Unit Pentadbiran Jabatan Ketua Menteri Sarawak menerusi surat bertarikh 15 Disember 2008 (Sila Lihat Surat Kelulusan).
Skuad 69 PDRM Sarawak telah memperolehi lesen/permit ini sejak tahun 2006 bagi membolehkan persatuan ini menjalankan kutipan tajaan ataupun derma awam untuk menjayakan aktiviti yang dijalankan selama ini.
Diantara kegiatan yang melibatkan kutipan tajaan ini ialah menerbitkan Buletin Skuad 69 PDRM Sarawak di samping beberapa kegiatan promosi yang berkaitan.
No. Rujukan Lesen berkenaan ialah - PKM/PS/14/2007.

Selamat Hari Natal dan Tahun Baru 2009









Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua ahli Skuad 69 yang menganut agama Kristian. Semoga perayaan ini dapat mengeratkan lagi hubungan mesra sesama ahli. Begitu juga diucapkan Selamat Tahun Baru 2009 kepada semua ahli di seluruh negeri Sarawak. Semoga tahun baru ini akan menguatkan lagi azam kita untuk berbakti demi agama, bangsa dan negara menerusi Skuad 69 PDRM Sarawak.

Thursday, December 11, 2008

Presiden Skuad 69 jadi pengadil bola tampar Sukan Universiti Asean Ke-14

Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Isa telah terpilih menjadi salah seorang pengadil bagi acara bola tampar Sukan Universiti Asean Ke-14 yang bermula hari ini sehingga 21 Disember 2008.
Sebanyak 22 acara dipertandingkan bagi merebut 222 pingat emas pada sukan kali ini, dan salah satu acara yang menarik untuk disaksikan kali ini ialah acara bola tampar (Lihat Foto Maskot Bola Tampar)
Venue acara sukan bola tampar ini ialah di Dewan Majlis Perbandaran Shah Alam, di Seksyen 4 Shah Alam, Selangor.
Sebanyak 10 buah negara termasuk Malaysia sebagai tuan rumah menyertai SUA Ke-14 ini. Diantara negara-negara lain yang turut menyertai temasya sukan ini ialah Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, Filipina, Vietnam, Laos dan Kemboja termasuk Timor Leste.
Myanmar tidak menyertai SUA kali ini disebabkan masalah dalaman di negara itu. Majlis pembukaan Sukan Universiti Asean Ke-14 ini akan dilangsungkan pada Sabtu ini 13 Disember 2008, dan ianya akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia di stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sementara itu YB Dato' Seri khaled Nordin Menteri Pengajian Tinggi Malaysia akan menyempurnakan upacara penutupnya yang bakal berlangsung pada pukul 3 petang, 21 Disember ini di venue yang sama.
Apa pun Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan tahniah dan syabas kepada Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Isa, dan kami turut merasa bangga di atas penghormatan yang diberikan oleh penganjur kejohanan.

Wednesday, December 10, 2008

AMBANG 2009 SKUAD 69 PDRM SARAWAK BERSAMA RESIDEN BINTULU


Wisma Residen Bintulu. Gambar Kanan: Dr. Razali Abon (Residen Bintulu)


Skuad 69 PDRM Sarawak akan mengadakan satu program sebagai menutup tirai tahun 2008 di Bintulu pada 30 Disember ini. Program kali ini merupakan majlis meraikan pelajar-pelajar miskin yang bakal kembali ke sekolah mejelang sesi 2009. Untuk tujuan itu, Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak akan memberikan bantuan persekolah kepada mereka yang berkenaan yang terdapat di Bahagian Bintulu.

Majis ini akan bermula pada jam 9.30 pagi, bertempat di perkarangan Wisma Residen Bahagian Bintulu. Dr. Razali Abon Residen Bahagian Bintulu sendiri akan merasmikan majlis ini, di samping itu beliau juga akan menyampaikan semua sumbangan tersebut kepada 20 orang pelajar miskin.

ATURCARA MAJLIS

9.30 pagi:
Kehadiran para tetamu.
9.45 pagi:
Kehadiran Jemputan Khas.
10.00 pagi:
Kehadiran Tuan Residen.
10.05 pagi:
Bacaan Doa.
10.10 pagi:
Nyanyian Lagu Negaraku.
10.15 pagi:
Ucapan Aluan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak,
Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Isa.
10.30 pagi:
Ucapan Tuan Residen Bintulu, Y.Bhg Dr. Razali Abon.
10.45 pagi:
Penyampaian Sumbangan/Bantuan Persekolahan kepada pelajar-pelajar miskin, dan
Penyampaian Cenderahati.
11.00 pagi:
Jamuan Tengahari dan Bersurai.