Sunday, December 25, 2011

SELAMAT HARI NATAL

Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan selamat Hari Natal kepada semua ahli persatuan ini yang beragama Kristian. Semoga perayaan Hari Natal ini dapat mengekalkan keharmonian semua rakyat Malaysia, khususnnya di negeri Sarawak.

(Foto - DSP (B) Hj Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak)

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak mempunyai ramai ahli-ahlinya yang menganut agama Kristian, terutama di kalangan ahli bumiputera yang berketurunan Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, di Miri.

Di antara mereka ialah SM (B) Christopher Jantan berketurunan Bidayuh, manakala dari kaum Iban pula terdiri daripada William Changak Ak Rabong (Lihat foto), SM (B) Nelson Ansang Ak Majeng, Stanley Ak Manggi, Sjn (B) Wilfred Empatie Ak Lamit, Sjn (B) Sakai Ak Chulat, Panel Ak Sutong, Jihip Munjew, Anthony Nyoel Ak Juken, Lusa Ak Jawak, Petrus Pesin Ak Jukin, Bernard Gasap Ak Tugang.

Terdapat seorang ahli yang berketurunan Orang Ulu, iaitu Anyie Oyo Ngau yang kini menetap di Sibu.


Wednesday, December 21, 2011

BEKAS ANGGOTA SKUAD 69 PDRM BOLEH MENJADI AHLI PERSATUAN DI SEMENANJUNG, SARAWAK DAN JUGA DI SABAH

Oleh Abdul Rahman Hashim


Kiri - DSP (B) Haji Muhamad Yusof Isa, mengetuai Persatuan ini di Sarawak dan juga Pengerusi Penaja Skuad 69 PDRM Sabah Sabah. Kanan - Beliau bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn semasa berada di Sibu.
Dari Kiri - Logo Skuad 69 PDRM Sarawak (2006), Logo Skuad 69 PDRM Malaysia (2007) dan Logo Skuad 69 PDRM Sabah (2011)

Aktiviti Skuad 69 PDRM. Foto kiri - Skuad 69 PDRM Malaysia, Foto Kanan - Kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak semasa menyertai perbarisan Hari Jadi TYT Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia, Sabah yang diluluskankan pendaftarannya baru-baru ini ditubuhkan semata-mata untuk menjaga kebajikan bekas-bekas anggota polis yang pernah berkhidmat dalam PDRM pada tahun 1969. Keseluruhan anggota Skuad 69 kini tidak lagi berada di dalam pasukan kerana semuanya telah menempuh era persaraan.

Presiden Penaja Persatuan ini, DSP (B) Haji Muhamad Yusof Isa berkata demikian ketika mengulas lanjut kenyataannya di dalam Utusan Borneo Edisi Sabah bertarikh 17 Disember 2011 (Lihat keratan akhbar).

Beliau juga berkata dengan tertubuhnya Persatuan ini di Sabah, maka semua bekas anggota Skuad 69 yang berada di negeri Sabah boleh menjadi ahlinya. Begitu juga mana-mana bekas anggota Skuad 69 PDRM yang bermastautin di negeri Sarawak mereka boleh menyertainya menerusi Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak yang telah ditubuhkan pada 30 Ogos 2006.

Manakala bekas-bekas anggota skuad ini yang berada dalam negeri-negeri di semenanjung, maka mereka berkenaan boleh menceburkan diri di dalam Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur.


Thursday, December 15, 2011

RASMI - PERSATUAN KEBAJIKAN BEKAS ANGGOTA SKUAD 69 PDRM SABAH TELAH DIDAFTARKAN PENUBUHANNYA

KENYATAAN MEDIA

Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM Sabah telah pun mendapat kelulusan daripada pihak Pendaftar Pertubuhan Malaysia Negeri Sabah sebagai sebuah pertubuhan yang berdaftar yang sah di sisi undang-undang di bawah seksyen 7 Akta Pertubuhan, 1966 dengan nombor pendaftarannya 5181-11-SBH.

2. Kelulusan mendaftarkan persatuan ini telah pun diperolehi pada hari ini 13 Disember 2011 setelah permohonannya kami kemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Sabah pada 29 November 2011 yang lepas; dan dimateraikan kelulusannya bertarikh pada 2 Disember 2011.

3. Di antara tujuan asas dan matlamat penubuhan Persatuan ini ialah untuk mengumpulkan semula bekas-bekas anggota polis yang berkhidmat pada tahun 1969 bagi seluruh negeri Sabah di dalam satu wadah perjuangan untuk menjaga kebajikan ahli-ahli dan keluarga masing-masing setelah mereka ini meninggalkan pasukan samada mereka yang bersara wajib ataupun yang telah berhenti dari perkhidmatan PDRM atas sebab-sebab yang lainnya.

Sijil Pendaftaran Skuad 69 PDRM Sabah

4. Kami menganggarkan sekitar 500 orang anggota Skuad 69 PDRM dalam negeri Sabah yang telah meninggalkan pasukan bermula pada tahun 2005, dan kini pejuang-pejuang Skuad 69 PDRM ini telah membawa hala tuju masing-masing sebagai seorang pesara polis. Kami amat menyedari bahawa sebahagian besar daripada pejuang-pejuang Skuad 69 ini masih bersemangat waja walaupun semakin dimamah usia.

5. Persatuan ini akan berusaha menjejaki semua para pejuang Skuad 69 PDRM di negeri ini supaya mereka dapat menjadi ahli persatuan, lantas menyusun program-program yang boleh diceburi untuk membantu keluarga ahli dalam beberapa aspek kebajikan termasuk menyalurkan bantuan pendidikan untuk anak-anak ahli yang memerlukannya.

6. Kepada mereka yang berkenaan ini bolehlah menghubungi urus setia Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM Sabah yang beralamat di No. 21B Tingkat 1, Plaza MARA, Lorong Likas Plaza, 88400 Kota Kinabalu; atau menelefon Presiden Skuad 69 PDRM Sabah, DSP (B) Haji Muhamad Yusof Isa, No. talian 010-2614833 atau 013-5758999.

7. Persatuan ini juga akan merancang untuk mengumpulkan dana kebajikan dengan mendapatkan sokongan dan juga kerjasama pelbagai sektor korporat di negeri ini untuk mempelbagaikan kegiatan yang menjurus kepada kesejahteraan dan pembelaan terhadap bekas-bekas anggota polis dalam menjalani kehidupan sebagai orang awam, setelah lebih 30 tahun mereka mencurahkan bakti dan melakukan pengorbanan demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam Negara ini.

8. Sebagai sebuah persatuan yang baru, kami berhasrat untuk mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah dan juga mengunjungi Pesuruhjaya Polis Sabah untuk memperkenalkan persatuan ini kepada mereka pada bulan Januari tahun hadapan.

9. Kewujudan persatuan ini juga bukanlah untuk bersaing dengan Persatuan Bekas Polis di negeri ini, malah kami akan berusaha mengorak langkah untuk menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bekas Polis Sabah, terutama melibatkan kegiatan yang menjurus kepada aspek kebajikan bekas-bekas anggota polis yang kini menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat.

Terima kasih.

Kenyataan media oleh:

DSP (B) Haji Muhamad Yusof Bin Isa

Presiden, Skuad 69 PDRM Sabah.

Bertarikh: 13 Disember 2011.

Wednesday, August 3, 2011

SAMBUTAN HARI PAHLAWAN PERINGKAT NEGERI SARAWAK

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah merupakan antara yang menghadiri sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri yang julung kali diadakan di Sarawak, semalam.

Foto Kiri - TYT bersalaman dengan PW1 Kanang Langkau

Diadakan di pekarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri lama, majlis penuh bersejarah itu adalah bertujuan mengenang jasa-jasa perajurit dan wira negara.

Sambutan itu dimulakan dengan Perbarisan Kawalan Kehormatan Utama oleh Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja yang memiliki kekuatan seramai 103 anggota pelbagai pangkat.

Antara aktiviti menarik yang diadakan dalam majlis itu adalah deklamasi sajak Pahlawan, Persembahan Pantomin bertajuk ‘Kenangan Seorang Pahlawan’ dan pameran anjuran Jabatan Muzium Sarawak.

Hadir sama, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Alfred Jabu serta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Tan Sri William Mawan, Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Datuk Talib Zulpilip serta veteran-veteran perang seperti Pegawai Waran I (B) Temenggung Kanang Langkau.

Turut mengambil bahagian dalam majlis penuh bersejarah itu, pasukan badan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan lain-lain.

Majlis yang bertemakan ‘Negaraku Gemilang Pahlawan Dikenang’ itu turut diadakan serentak dengan peringkat persekutuan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur.


Tuesday, August 2, 2011

KUCHING BANDARAYA YANG HIDUP DAN BERJIWA - TAIB MAHMUD

KUCHING 1 Ogos - Bandar raya Kuching akan dibangunkan secara teliti dan tersusun bagi memastikan ia menjadi sebuah bandar yang mempunyai jiwa.

Ketua Menteri, Pehin Sri Abdl Taib Mahmud berkata, ciri-ciri sebuah bandar raya yang baik tidak bergantung kepada pembangunan fizikal dan aktiviti ekonomi semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, ia perlu dibangunkan secara seimbang merangkumi segenap aspek termasuk hubungan sosial dan kemanusiaan

"Sehubungan itu, kita akan memastikan Kuching dibangunkan menjadi sebuah bandar raya yang hidup dan berjiwa," katanya ketika berucap pada majlis memperingati Hari Bandar Raya Kuching dan pelancaran Pesta Kuching 2011 di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang. Bandar raya Kuching menyambut ulang tahunnya ke-23 selepas mendapat pengiktirafan sebagai sebuah bandar raya pada 1 Ogos 1988.

Mengulas lanjut, Abdul Taib berkata, kerancakan pembangunan di kebanyakan bandar-bandar besar yang ada pada masa ini mengabaikan hubungan kemanusiaan apabila warganya tidak lagi mempedulikan masyarakat sekeliling.

"Masalah di bandar-bandar yang biasa saya lihat adalah hubungan sesama warganya yang kurang mesra, berbeza di kampung-kampung yang mana, ahli komuniti mengambil berat antara satu sama lain. Justeru, ini yang perlu kita ubah," katanya.

Wednesday, July 27, 2011

INDEKS JENAYAH SARAWAK TURUN 7.7 PERATUS - DCP MOHMAD SALLEH

KUCHING: Sarawak berjaya mencatat penurunan indeks jenayah sebanyak 7.7 peratus pada tahun lepas.

Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata, hasil usaha gigih dan komitmen daripada semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kontijen Sarawak adalah antara negeri yang rendah kadar jenayahnya.

(Foto - Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak, 19 Julai 2011, di IPK Sarawak)

“Sarawak berjaya menurunkan 7.7 peratus indeks jenayah keseluruhan bagi tahun 2010 dan 21.48 peratus bagi jenayah jalanan iaitu melepasi tahap peratusan yang ditetapkan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) iaitu lima peratus bagi indeks jenayah dan 20 peratus bagi jenayah jalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat PDRM Kontinjen Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Negeri yang baru, Datuk Mortadza Nazarene, Pengarah Logistik PDRM Zulkifli Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Law Hong Soon.

Mohmad yang kini pesuruhjaya Polis Kuala Lumpur berkata, dalam memastikan Sarawak adalah antara negeri yang rendah kadar jenayahnya, pendekatan dengan cara efektif selaras dengan pelaksanaan konsep kepolisan masyarakat dan kepolisan berintegrasi perlu terus diberi penekanan sewajarnya di semua peringkat.

Menurutnya, langkah-langkah pencegahan dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Marin dan Unit Udara serta semua Ibu Pejabat Polis Daerah dalam semua operasi bersepadu menyumbang terhadap penurunan angka tersebut.

“Selain itu, saya amat berbangga kerana masyarakat turut aktif dalam aktiviti kepolisan masyarakat dengan menyertai Skim Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela dan penglibatan ini menunjukkan kesedaran terhdap tanggungjawab bersama masyarakat dalam menangani jenayah di Kontinjen Sarawak ini,” katanya yang telah bertugas selama tiga tahun tujuh bulan di Bumi Kenyalang.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa legasinya itu dapat diteruskan oleh Mortadza dengan kebolehan dan pengalaman yang ada dan berharap beliau akan dapat terus menumpukan kemudahan logistik serta penyeliaan terhadap pegawai dakwa agar terus melaksanakan tugas dengan baik selain memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat sekeliling.

Mortadza berkata, Mohmad telah meletakkan satu landasan baik untuk beliau teruskan dan akan berusaha sedaya upaya untuk menambah baik perkhidmatan polis di negeri ini.

“Saya ingin meneruskan legasi tersebut supaya kita boleh duduk dalam aman damai dari segi keselamatan dan keamanan supaya kita dapat menjalankan tugas dan kerajaan pun dapat menjalankan pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

DCP DATO' MOHMAD SALLEH KINI KETUA POLIS KUALA LUMPUR

Seramai 12 orang pegawai kanan polis naik pangkat berkuatkuasa Rabu, 20 Julai 2011.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, kenaikan pangkat serta pertukaran jawatan itu telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis Diraja Malaysia (SPP).

Proses itu menyaksikan jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur kini dipegang oleh DCP Dato' Mohmad Salleh (Foto kiri) yang sebelum ini Pesuruhjaya Polis Sarawak dan jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak pula disandang oleh DCP Datuk Mortadza Nazarene yang sebelum ini Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Ketua Polis Kelantan SAC Datuk Abd Rahim Hanafi pula menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) dengan memangku pangkat DCP.

Ketua Polis Perlis SAC Datuk Tajudin Md Isa pula bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah I, JSJK Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, SAC Huzir Mohamed juga bertukar ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas JSJ Bukit Aman.

Timbalan Komander UUP (Operasi) Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman ACP Kamarulzaman Md Jan pula dinaikkan pangkat ke jawatan Komander Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi IPK Perak ACP Zulkifli Hassan pula akan menjawat jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak dengan memangku pangkat SAC.

Jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman pula disandang oleh ACP Hasanuddin Hassan dengan memangku pangkat SAC. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pengurusan IPK Kedah.

Timbalan Ketua Polis Perlis ACP Zull Aznam Haron pula dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Perlis dengan memangku pangkat SAC.

ACP Nor Azizan Anan yang sebelum ini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas, JSJ Bukit Aman pula akan ditukarkan sebagai Ketua Bahagian (D10) Kepolisan Am, Makmal Forensik PDRM, JSJ Bukit Aman.

Jawatan Timbalan Ketua JSJ Risikan/Operasi IPK Perak pula akan diisi oleh ACP Fadzil Ahmat yang sebelum ini merupakan Ketua Bahagian (D10) Kepolisan Am, Makmal Forensik PDRM, JSJ Bukit Aman.

Supt S.Sathiya Seelan pula akan bertukar menjadi Timbalan Komander (Operasi) Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP. Beliau sebelum ini adalah Pegawai Turus Gerakan/Risikan Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman.

Saturday, April 9, 2011

WALAUPUN VIDEO ITU ASLI, NAMUN SUSUK TUBUH ANWAR BUKAN ASLI?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Datin Seri Wan Azizah ketika berceramah di N4 Pantai Damai


Sebahagian daripada penduduk Bandar Baru Semariang yang
mengikuti ceramah Wan Azizah

Datin Seri Wan Azizah menafikan sekali lagi bahawa pelakun utama video sex yang terdapat di dalam youtube itu bukan suaminya. Beliau berkata, walaupun Ketua Polis Negara menyatakan bahawa video itu adalah yang asli, namun keasliannya bukan bermakna bahawa itu adalah Anwar yang asli.

Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini ketika menyampaikan ceramah di hadapan lebih 200 orang penduduk Bandar Baru Samariang di kawasan DUN N.4 Pantai Damai malam ini (8 April). Beliau yang juga Presiden PKR menyatakan bahawa Nazri Aziz tidak berhak untuk menafikan haknya sebagai seorang isteri kepada Anwar untuk menentukan kesahihan susuk tubuh Anwar seperti yang terdapat di dalam video tersebut.

Namun begitu penafian Wan Azizah itu sekali lagi tidak disertai dengan bukti bahawa jam Omega milik Anwar yang dikatakan tertinggal di bilik hotel semasa rakaman itu dibuat masih berada di dalam simpanannya.

Sewajarnya Wan Azizah segera menunjukkan bukti bahawa jam suaminya itu tetap berada di dalam simpanannya jika beliau mahu mempertahankan maruah suaminya yang didakwa sebagai pemegang watak utama video lucah itu.

Kegagalannya berbuat demikian menambahkan lagi keraguan orang ramai kerana 'Datuk T' sebelum ini mendakwa bahawa beliau telah diarahkan supaya mengambil jam yang tertinggal dalam bilik itu ketika meninggalkan lokasi.

Kelihatannya Datin Seri Wan Azizah begitu yakin bahawa suaminya memang benar-benar menjadi mangsa fitnah jahat oleh pihak yang terbabit.

Wednesday, March 23, 2011

PILIHAN RAYA SARAWAK : PENAMAAN CALON 6 APRIL, HARI MENGUNDI PULA 16 APRIL 2011

Pilihan raya negeri Sarawak Ke-10, 16 April 2011

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon untuk pilihan raya negeri Sarawak yang ke-10 pada 6 April manakala hari pengundiannya pula jatuh pada 16 April 2011. Ini bermakna tempoh berkempen selama 10 hari.

Pengumuman itu dibuat oleh pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Kuching, hari ini. DUN Sarawak dibubarkan Isnin lalu yang mana secara perlembagaan, pilihan raya hendaklah diadakan sebelum Julai tahun ini.

BN Sarawak menguasai 63 daripada 71 kerusi dalam dewan manakala pembangkang pula dengan tujuh kerusi, termasuk satu masing-masing milik bebas dan Parti Cinta Malaysia. Pilihan raya sebelum ini diadakan pada 20 Mei 2006.

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Pengerusi BN Negeri dan juga Ketua Menteri Sarawak akan berhempas pulas untuk mempertahankan dominasi BN menguasai negeri bumi kenyalang menjelang pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini sebelum beliau melepaskan jawatan yang disandangnya sejak tahun 1981.