
Monday, September 29, 2008
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Skuad 69 temui Dato Sri Awang Tengah
Seramai tujuh orang Ahli Jawatankuasa Skuad 69 PDRM Sarawak yang diketuai Timbalan Presiden, DSP (B) Arifin Haji Adenan telah membuat kunjungan hormat terhadap YB Dato Sri Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, merangkap Menteri Kemudahan Awam Sarawak hari ini (29 September).
Kunjungan tersebut telah dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara persatuan ini dengan Menteri yang berkenaan. Di dalam pertemuan ini, DSP (B) Arifin Haji Adenan telah memberikan penerangan berkaitan dengan aktiviti persatuan ini dalam menjaga hal ehwal kebajikan ahli-ahlinya yang terdapat di seluruh negeri Sarawak.
Tuan DSP (B) Ariffin Haji Adenan juga telah menyampaikan jemputan kepada YB Dato Sri Awang Tengah untuk merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Skuad 69 PDRM Sarawak yang akan diadakan pada 18 Oktober depan, di Bintulu.
Di antara ahli jawatankuasa lain yang turut serta dalam kunjungan ini ialah Tuan ASP (B) Mohd. Faisal Abdullah, Bujang Boji Sitam, Peet Awi, Mohamad Haji Mos, Affandi Ahmad dan juga Zaidel Saat.
Posted by SKUAD 69 PDRM SARAWAK at 6:39 PM 0 comments
Tuesday, September 23, 2008
Ucapan DSP (B) Arifin Haji Adenan Dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim
(Petikan ucapan Tuan DSP (B) Arifin Haji Adenan (GAMBAR) Timbalan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak di dalam majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Kompleks Laila Taib, di Petra Jaya, Kuching - Isnin, 22 September, 2008)
Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah sama-sama kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya juga, kita semua telah dapat berkumpul pada petang yang berbahagia ini, untuk sama-sama kita meraikan anak-anak yatim yang menghuni di Kompleks Kebajikan Laila Taib di dalam satu majlis berbuka puasa sebentar lagi.
2. Sebelum saya meneruskan ucapan ini, terlebih dahulu saya ingin menyampaikan salam takzim daripada Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak, Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Isa yang tidak dapat hadir di dalam majlis ini, kerana beliau kini berada di Kuala Lumpur di atas urusan yang memerlukan kehadirannya di sana. Beliau telah meminta saya mewakilinya untuk menyampaikan ucapan di dalam majlis pada hari ini.
3. Bagi pihak seluruh warga Skuad 69 PDRM Sarawak saya ingin mengucapkan selamat datang dan setinggi penghargaan kepada YB Dr. Abdul Rahman Haji Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri N.4 Pantai Damai bersama-sama isteri beliau, Y.Bhg Puan Rugayah yang telah dapat melapangkan masa untuk bersama-sama kita pada petang ini, seterusnya dapat pula berbuka puasa dengan anak-anak yatim yang menghuni di kompleks ini. Saya difahamkan jadual YB pada hari ini begitu sibuk, kerana selepas ini YB juga akan hadir ke satu majlis lain yang telah dijadualkan.
4. Hari ini merupakan hari yang ke-22 kita berpuasa, dan lebih kurang satu minggu saja lagi kita semua akan menyambut ‘Hari Lebaran Aidilfitri’ sebagai hari kemenangan umat Islam setelah sebulan kita menunaikan kewajipan berpuasa. Dalam menjalani ibadah puasa ini, kita sentiasa digalakkan untuk meningkatkan pahala berpuasa dengan mempertingkatkan amalan bersedekah dan membuat kerja-kerja amal yang lainnya.
5. Skuad 69 PDRM Sarawak turut terpanggil untuk meng-Ihyakan Ramadan ini dengan mengadakan berbagai-bagai aktiviti kebajikan sebagai langkah untuk mendekatkan lagi hubungan kami dengan anggota masyarakat. Program kita pada hari ini juga merupakan satu kegiatan amal yang diusahakan oleh Biro Kebajikan Persatuan ini, untuk sama-sama kita mendekatkan diri dengan anak-anak yatim di kompoleks kebajikan Laila Taib, dan tentunya kami amat berbangga sekali kerana program seumpama ini telah mendapat kerjasama dan juga sokongan daripada berbagai pihak yang menjadi PENAJA yang telah bermurah hati pada bulan yang penuh keberkatan ini, dengan menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan bukan sahaja kepada anak-anak yatim di kompleks ini, malah beliau juga telah banyak menyumbangkan amal jariah kepada golongan-golongan marhain yang lainnya di sepanjang bulan Ramadan ini.
6. Di atas baik budi dan keluhuran hati mereka yang budiman itu, kami amatlah menghargainya, dan kami semua mendoakan kesejahteraan kepada mereka. Mudah-mudahan Allah SWT merahmati dan juga memberkati serta murahkan rezki mereka, agar segala amal bakti yang dicurahkan selama ini mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah SWT jua hendaknya. Amin.
7. Kepada anak-anak yatim yang menerima sumbangan hari raya ini, kami mengharapkan anak-anak sekelian dapat menyambut hari lebaran nanti dengan penuh keceriaan dan kegembiraan. Kita mesti sematkan keazaman untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan juga di akhirat. Walau apa jua cabaran kehidupan yang dihadapi, anak-anak mestilah mengharunginya dengan penuh ketabahan dan meningkatkan lagi usaha supaya kita menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
8. Skuad 69 PDRM Sarawak akan sentiasa prihatin dengan anak-anak sekelian, dan kami mengharapkan agar di masa akan datang kami akan dapat mengaturkan satu lagi majlis seumpama ini. Untuk makluman YB dan Y.Bhg Dato’ serta hadirin sekelian, Skuad 69 PDRM Sarawak juga akan mengadakan majlis Ramah Tamah Aidilfitri pada 18 Oktober nanit di Bintulu, dan sempena majlis itu juga, kami akan melancarkan Edisi Khas Buletin Skuad 69 PDRM Sarawak. Kami berharap dengan bingkisan aktiviti kebajikan yang dijalankan ini akan dapat sama-sama kita manfaatkannya. Insya Allah.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,
9. Saya tidaklah berhajat untuk memanjangkan lagi ucapan ini, kerana selepas ini kita hendak mendengar pula ucapan yang bakal disampaikan oleh YB Dr. Abdul Rahman Junaidi, ADUN N.4 Pantai Damai. Saya tidak lupa untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada Pengurus dan Kakitanagan Kompleks Kebajikan Laila Taib ini di atas kerjasama yang telah diberikan untuk menjayakan majlis kita pada hari ini.
10. Akhir kalam, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian yang turut serta pada hari ini untuk sama-sama kita meraikan anak-anak yatim di dalam majlis berbuka puasa ini. Mudah-mudahan kita semua mendapat keampunan dan keberkatan sempena bulan yang mulia ini.
11. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir, Maaf Zahir dan Batin.
Sekian sahaja, wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamu Alaikum Wr Wb.
-----------------------------------------------------------------------------------
Gambar Lokasi Di Rumah Kebajikan Laila Taib (22 September):
Gambar 1 - Sebahagian daripada kanak-kanak yatim yang diraikan
Gambar 2 - DSP (B) Arifin menyampaikan cenderahati kepada YB Dr. Rahman.
Gambar 3 - YB Dr. Rahman sedang berucap di hadapan kanak-kanak yatim.
Monday, September 22, 2008
Kegiatan Amal Skuad 69 Di Sepanjang Bulan Ramadan
Wednesday, September 10, 2008
Saili Sulaiman anjur buka puasa untuk kontinjen Skuad 69
Berita Ringkas

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Skuad 69 PDRM Sarawak menghubungi urusetia persatuan ini telah meminta Setiausaha Eksekutifnya Abdul Rahman Hashim supaya memaklumkan perkara ini kepada semua 33 anggota yang terlibat.
Saili Sulaiman begitu terdorong untuk meraikan semua anggota kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak di dalam satu majlis berbuka puasa ini, sebagai satu penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan semangat yang tinggi ketika mengambil bahagian di dalam perarakan yang telah diadakan pada 31 Ogos lalu di Stadium Negeri, Petra Jaya.
Beliau juga kagum dengan semangat 'espirit de corp' yang ditunjukkan oleh pasukan kontinjen ini di sepanjang latihan dan juga raptai yang telah diadakan selama 3 hari sehinggalah di hari kemuncaknya.
Thursday, September 4, 2008
Skuad 69 anjur buka puasa bersama anak yatim

Perkara ini telah diputuskan oleh mesyuarat Biro Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak yang diadakan pada Selasa lalu (2 September) yang dipengerusikan oleh Bujang Boji Sitam (Gambar) yang juga Pengerusi Biro berkenaan. Biro ini mengandungi beberapa orang ahli jawatankuasanya yang terdiri daripada:
DSP (B) Arifin Haji Adenan
Pengerusi
Bujang Boji Sitam
Setiausaha
Zakaria Harun
Bendahari
Zainab Majid
Wednesday, September 3, 2008
Amanat Kemerdekaan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak




2. Sebelum saya meneruskan ucapan ini, saya ingin mengajak semua yang hadir pada petang ini untuk sama-sama kita melaungkan ‘Merdeka…Merdeka….Merdeka’. Terima kasih!
3. Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak amat berbangga sekali kerana telah dapat turut serta merayakan Hari Ulangtahun Kemerdekaan yang Ke-51 pada tahun ini, dan kebetulan pula negeri Sarawak pada tahun ini sedang menyambut perayaan ‘45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia’, sebagai tanda kesyukuran dan kebangaan kita sebagai warga negeri ini yang telah menikmati kemajuan yang telah kita capai selama 45 tahun setelah Sarawak menyertai ‘Gagasan Malaysia’ pada 16 September 1963 lalu.

4. Kami amat berbangga sekali dan ingin merakamkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih yang tidak terhingganya kepada YB Puan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali selaku ADUN N.7 Samariang (Lihat Gambar Kanan), di atas kesudian beliau melapangkan masa untuk bersama-sama dengan Skuad 69 PDRM Sarawak pada petang ini, seterusnya kesempatan ini juga kita akan dapat mendengar amanat dan juga nasihat yang akan beliau berikan menerusi ucapan perasmiannya nanti. Marilah kita berikan tepukan kepada YB Puan Sharifah Hasidah..
8. Untuk makluman YB juga, semua bekas-bekas polis yang berkumpul pada hari ini bukanlah calang-calang orang. Mereka ini menyimpan banyak pengalaman dan kenangan yang cukup dengan asam garam, pahit dan manisnya, terutamanya ketika berhadapan dengan tugas mencabar memburu pengganas komunis semasa negara dalam darurat dahulu. Pendekata, inilah dia wira-wira di dalam Skuad 69 PDRM yang telah banyak menabur bakti terhadap nusa dan bangsa.
Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,
10. Majlis hi-tea yang kita adakan pada petang ini bukan sekadar untuk menjamu selera petang, tetapi lebih daripada itu sebagai satu iltizam kami untuk menyahut seruan kerajaan supaya perayaan ulangtahun ke-51 Hari Kemerdekaan pada tahun ini dapat menyuburkan kegemilangan Malaysia sebagai sebuah negara yang telah bebas daripada cengkaman penjajah, dan rakyatnya pula sedang rancak memacu kejayaan wawasan untuk sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020.
12. Sebelum itu lagi, negara kita juga telah bersilih ganti dicengkam oleh pihak penjajah bermula pada tahun 1511 dimana Portugis telah menakluki Melaka selama 130 tahun, dan diikuti pula penjajahan Belanda selama 150 tahun, dan selepas itu pula Inggeris telah dapat menguasai bumi Malaya termasuklah juga di Sarawak Bumi Kenyalang ini, dimana bermula pada tahun 1839 ‘James Brookes’ mula bertapak di negeri ini, seterusnya membentuk sebuah ‘Empayar Brookes’ yang telah menjadikan dirinya sebagai seorang Raja yang berkuasa ke atas bumi kenyalang ini dan bergelar ‘Rajah Brookes’.

19. Hari ini negara kita tidak lagi berhadapan dengan ancaman komunis. Bong Kee Chok yang mengetuai PARAKU juga telah meletakkan senjata untuk merintis jalan kembali ke pangkuan masyarakat dengan termetrainya ‘Perjanjian Sri Aman’ pada 21 Okrober 1973; dan diikuti pula pada 17 Oktober 1990 dimana “Hung Chu Ting” pemimpin komunis Sarawak pada masa itu, juga telah membubarkan pergerakan militannya untuk kembali semula ke pangkuan masyarakat menerusi perjanjian yang ditandatangani di hadapan Datuk Patinggi Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak pada tarikh berkenaan.
20. Seiring dengan keamanan yang telah dicapai ini, kami di dalam pasukan polis tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh wira-wira terbilang di dalam PDRM Sarawak khususnya, seperti Mendiang Tuan ASP Menggong Ak Panggit, Allahyarham Johnie Mustapha, Mendiang Sjn Lanyau Ak Jamba, Tuan C/I Rentap Ak Jemut dan banyak lagi nama-nama pejuang di dalam Pasukan Polis Hutan yang telah berjuang bersabung nyawa untuk mengembalikan keamanan negara dari ancaman pengganas komunis.
21. Kami mengharapkan generasi hari ini dapat mengambil iktibar daripada titisan perjuangan generasi terdahulu ini. Tanpa dahulu, takkan wujud hari ini. Skuad 69 PDRM Sarawak merupakan sebuah pertubuhan yang mewakili waris pejuang di dalam Pasukan Polis Hutan yang telah banyak bergelumang di perbatasan negara. Hari ini walaupun kami telah dikategorikan sebagai warga emas, namun semangat kami tetap perkasa. 51 Tahun Malaysia Merdeka, dan 45 tahun Sarawak bersama Malaysia, hendaklah dihayati sepenuhnya tanpa prejudis terhadap pejuang terdahulu.
YB, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,
22. Sempena dengan sambutan dan perayaan kemerdekaan yang ke-51 dan 45 tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia ini juga, Skuad 69 PDRM Sarawak akan melancarkan ‘Buletin Edisi Keduanya’ sebagai ‘Edisi Khas Kemerdekaan’ yang dijangka akan diterbitkan pada bulan Oktober nanti. Edisi yang pertama telah pun diterbitkan dan ianya telah dilancarkan pada 30 Jun tahu lalu di Sibu.
23. ‘Edisi Merdeka’ ini akan memuatkan maklumat yang berkaitan dengan kisah perjuangan Pasukan Polis Hutan (PPH) dalam meredah onak dan duri untuk mengembalikan keamanan kepada rakyat dan negara. Tanpa pengkisahan ini sudah tentu generasi hari ini tidak dapat menjiwai detik-detik getir dan cabaran untuk sebuah kemerdekaan sejagat.
24. Kami mengharapkan edisi khasnya ini akan menjadi bingkisan berharga untuk menjadi tatapan kita semua. Dalam menjayakan penerbitan edisi ini, kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan juga kerjasama, terutamanya kepada IPK Sarawak, semua IPD dan KPDnya termasuk juga rakan-rakan penaja daripada sector korporat dan swasta yang begitu supportive terhadap penerbitan ini.
25. Saya juga ingin mengambil kesempatan yang berharga ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada rakan-rakan penaja yang turut serta di dalam majlis kita pada hari ini, yang terdiri daripada Ir. Abdul Rahim Mahmud, daripada Syarikat Medansri Bina Sdn Bhd, begitu juga daripada Syarikat Tegas Jayasama Plantation Sdn Bhd yang diwakili oleh Encik Saili Sulaiman yang juga merupakan Pengerusi Biro Ekonomi Skuad 69 PDRM Sarawak.
26. Saya juga tidak lupa untuk menyatakan setinggi penghargaan kepada Encik Ramizan Bujang daripada Syarikat Ramizar Enterprise kerana begitu bermurah hati menjadi rakan penaja kami, dan seterusnya tidak lupa kepada Syarikat Ezzanoni Fashion & Beauty yang diwakili oleh Datin Ezanoni sendiri yang juga menjadi rakan penaja baru kami. Kami juga amat berterima kasih kepada Encik Chin Chee Nam daripada Syarikat Chin Electrical & Electronic Service dan juga kepada Puan Hajah Mariam daripada Mariam Cake yang menyediakan sajian Kek Lapis Sarawaknya untuk jamuan kita pada petang ini.
27. Mudah-mudahan sokongan dan kerjasama yang telah diberikan ini akan dapat diteruskan di masa-masa yang akan datang. Budi baik yang ditaburkan itu akan kekal di dalam ingatan kami. Kepada semua ahli jawatankuasa dan juga seluruh anggota Skuad 69 PDRM Sarawak, saya amat terhutang budi dengan tuan-tuan semua. Sokongan yang diberikan terhadap kepimpinan amatlah dihargai dan akan tersemat abadi di dalam ingatan saya. Insya Allah, di tahun hadapan kita akan sekali lagi mengambil bahagian di dalam upacara perbarisan Hari Kemerdekaan seperti hari ini.
28. Saya ingin mengakhiri ucapan ini dengan sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Puan Sharifah Hasidah di atas kesudian melapangkan masa bersama-sama kami pada petang ini. Semoga hubungan intim ini dapat memberikan manfaat kepada seluruh warga Skuad 69 PDRM Sarawak.
29. Semoga sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini dapat dirayakan dengan penuh semangat kebangsaan yang tulen demi untuk agama, bangsa dan negara.
MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!
Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamu Alaikum Wr Wb.
----------------------------------------------------------------------------------------
Gambar Lokasi (30 Ogos) :
Majlis Hi-Tea Kemerdekaan Skuad 69 di Dewan Sipec, Kuching
Tuesday, September 2, 2008
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak
Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua ahli-ahli yang beragama Islam. Sesungguhnya Ramadhan pada tahun ini diharapkan dapat mempertingkatkan lagi iltizam kita untuk mengukuhkan Iman dan Taqwa kepada Allah Maha Pencipta.
Ramadhan yang disambut pada tahun ini bertepatan pada 1 September 2008 selepas sehari kita merayakan Hari Kemerdekaan Ke-51 pada 31 Ogos lalu. Skuad 69 PDRM Sarawak buat kali keduanya telah dijemput untuk mengambil bahagian di dalam perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini. Pada tahun yang lalu Skuad 69 PDRM Sarawak juga telah mengambil bahagian di dalam perbarisan dan perarakan yang telah diadakan di Bandaraya Miri.
Seramai 30 orang telah menyertai kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak di dalam perbarisan Hari Merdeka pada tahun ini (Lihat gambar - Barisan Kontinjen Skuad 69 PDRM yang mengambil bahagian di dalam perbarisan berkenan, bergambar di hadapan Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching). mereka yang berkenaan ialah seperti berikut:
Nama Peserta Kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak:
1. DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Presiden - Ketua Kontinjen)
2. ASP (B) Mohd. Faisal Abdullah (Ketua Jurulatih Kawad)
3. Peet Awi
4. Haji Wan Drahman Tku Mahsen
5. Mohamad Haji Mos
6. Nelson Ansang Ak Majeng
7. Anthony Nyoel Ak Juken
8. John Haji Surip
9. Zainab Majid
10. Abu Bakar Bajuri
11. Saini Said
12. Jamaludin Hamid @ Bujang
13. Philip @ Suhaimi Jais
14. Barham Saleh @ Noor
15. Seruji Ibrahim
16. Johari Mawi Haji Keria
17. Changak Ak Rabong
18. Jihip Munjew
19. Haji Dris Dlek
20. Wan Ibrahim Wan Duen
21. Zaidel Saat
22. Hassan Haji Ramli
23. Ahmad Rashidi
24. Christopher Jantan
25. Zaiton Majid
26. Awinee Haji Saili
27. Mohamad Franky Chin Abdullah
28. Sabang Haji Moh
29. Afandi Barham
30. Haji Subri Haji Aman
Semua peserta kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak ini telah menjalani latihan kawad yang dipimpin oleh ASP (B) Mohd. Faisal Abdullah dengan dibantu oleh Peet Awi. Latihan kawad ini telah dijalankan di padang letak kereta Dewan Suarah Negeri, Jalan Taman Budaya, Kuching, Sarawak.
Kontinjen ini juga telah menyertai raptai pertamanya pada 26 Ogos, manakala raptai kedua pula diadakan pada 27 Ogos. Raptai penuh pula telah diadakan pada hari berikutnya 28 Ogos. Semua raptai telah diadakan di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.
Pada 30 Ogos lalu, Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengadakan majlis minum petang (Hi-Tea) sebagai meraikan barisan kontinjen Skuad 69 yang mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kemerdekaan pada tahun ini. Majlis minum petang ini telah pun dirasmikan oleh YB Puan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN N.7 Semariang.
Di dalam majlis ini juga semua peserta kontinjen yang mewakili Skuad 69 PDRM Sarawak telah menerima sijil penyertaan masing-masing yang telah disampaikan oleh YB Puan Sharifah Hasidah.
Sempena majlis ini juga, Skuad 69 PDRM Sarawak telah menyampaikan Watikah Lantikan Ahli Kehormat kepada 6 lagi penerima yang telah banyak memberikan sokongan menjayakan aktiviti yang dijalankan oleh Skuad 69 PDRM. Mereka berkenaan ialah:-
Ahli Kehormat Skuad 69 PDRM Sarawak (Dilantik pada 30 Ogos 2008):
1. Datin Ezanoni Hadjeli (Ezza Noni Fashion & Beauty Sdn Bhd)
2. Ramizan Bujang (Ramizar Enterprise)
3. Ir. Abdul Rahim Mahmud (Medansri Bina Sdn Bhd)
4. Saili Sulaiman (Tegas Jayasama Plantation Sdn Bhd)
5. Chin Chee Nam (Chin Electrical & Electronic Service)
6. Hajah Mariam Aren (Mariam Kek Lapis Sarawak)
Syabas kepada semua peserta kontinjen yang begitu tabah, bersemangat tinggi dan sanggup bermandi peluh dengan berpacak di atas padang Stadium Negeri menunggu dengan penuh kesabaran untuk berbaris melintasi grand stand dengan disaksikan para VVIP serta orang ramai yang menunggu sejak awal pagi lagi.
Setinggi penghargaan juga kepada Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak Tuan DSP (B) Muhamad Yuosf Isa, dan Timbalannya Tuan DSP (B) Arifin Haji Adenan yang telah banyak memberikan perangsang kepada semua anggota kontinjen sejak awal lagi hinggalah ianya berakhir pada hari kemuncak pada 31 Ogos 2008.
Diharapkan tahun hadapan Skuad 69 PDRM Sarawak akan terus bersedia untuk menyertai perbarisan ini dengan penampilan imej yang lebih terserlah. Insya Allah.