Monday, July 13, 2009

SKUAD 69 SAHUT SERUAN PERDANA MENTERI UNTUK PERANGI JENAYAH DENGAN MENUBUHKAN KOR KESELAMATAN KOMUNITI 1MALAYSIA 69


Suasana di dalam mesyuarat kor keselamatan Komuniti 1Malaysia 69, di Hotel Regency Plaza, Bintulu pada 13 Julai 2009.

Seruan Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang mahukan agar semua lapisan rakyat memerangi jenayah telah disahut oleh Skuad 69 PDRM Sarawak dengan tertubuhnya Kor Keselamatan Komuniti 1Malaysia 69 di seluruh Sarawak, di mana Bahagian Bintulu telah menjadi daerah yang pertama yang bakal melaksanakannnya.

Di dalam mesyuarat pusingan pertama yang diadakan hari ini (13 Julai) semua Ahli Majlis Kor 69 Bahagian Bintulu (AMB) yang dipengerusikan oleh Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak sendiri, DSP (B) Muhamad Yusof Isa telah memperincikan beberapa perkara yang berkaitan dengan kor ini sebagai mengambil sempena slogan yang digagaskan oleh Perdana Menteri, sekaligus telah membuat keputusan untuk menamakan kor ini sebagai 'Kor Keselamatan Komuniti 1Malaysia 69, Bahagian Bintulu'.

Sebelum ini kor berkenaan disebut sebagai 'Kor Keselamatan Komuniti 69' tanpa menyebut perkatan 1MALAYSIA. Penambahan kepada perkataan 1MALAYSIA jelas memperlihatkan betapa Skuad 69 PDRM Sarawak sentiasa prihatin dengan memahami maksud yang tersurat dan yang tersirat daripada slogan cetusan Perdana Menteri itu, terutamanya dalam aspek perpaduan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang cintakan keamanan.

Mesyuarat yang diadakan hari ini juga telah dihadiri oleh beberapa orang wakil jabatan kerajaan peringkat daerah Bintulu dan juga ketua-ketua kaum serta Pengerusi JKKK sekitar daerah Bintulu. Diantara wakil-wakil jabatan yang hadir adalah terdiri daripada Jabatan Penerangan, Jabatan Pelajaran, Jabatan Belia dan Sukan dan juga Jabatan Pertahanan Awam.

Di dalam mesyuarat ini, Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Eksekutif Skuad 69 PDRM Sarawak telah memberikan taklimat dan juga membentangkan kertas modus operandi Kor Keselamatan Komuniti 1Malaysia 69 bagi Bahagian Bintulu.

Di dalam taklimat itu, beliau telah menggariskan tata cara yang akan diguna pakai bagi tujuan melaksanakannya di Bahagian Bintulu ini. Secara amnya, Kor ini merupakan sukarelawan komuniti yang bakal dianggotai oleh segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada golongan muda, pelajar-pelajar sekolah, pemimpin-pemimpin pertubuhan masyarakat dan juga dari kalangan orang ramai yang berminat untuk menjadi anggota kor ini.

Di Bahagian Bintulu ini, orang ramai boleh mengemukakan permohonan untuk menjadi anggota kor dengan menghubungi Pengerusi JKKK, Ketua-Ketua Kaum dan juga Tuai Rumah di rumah-rumah panjang. Sebuah Jawatankuasa di peringkat Bahagian Bintulu yang dinamakan sebagai AHLI MAJLIS KOR BAHAGIAN (MKB) akan dibentuk untuk menyelaraskan semua urusan yang berkaitan. Pejabat Residen Bahagian Bintulu bakal menjadi urusetia kepada Kor di peringkat Bahagian Bintulu.

Ahli Majlis Kor Bahagian Bintulu ini akan dilantik secara rasminya setelah mendapat lampu hijau daripada YB Datuk Haji Talib Zulpilip, ADUN Jepak yang juga sebagai Penaung Kor di Bahagian Bintulu.

Diharapkan kor ini akan berfungsi dengan aktifnya, terutamanya untuk menggalas tugas mewujudkan suasana aman dan harmoni tanpa jenayah di kalangan masyarakat di Bahagian Bintulu ini.