Thursday, September 23, 2010

PASUKAN POLIS HUTAN TERSISIH, SKUAD 69 TURUT TERKILAN...

Oleh Abdul Rahman Hashim

Datuk Aba Robiyel Huk (Kiri) menunjukkan pingat yang diterimanya.

Datuk Aba Robiyel Huk di Pejabat Skuad 69 PDRM Sarawak, 2006.

Persatuan Bekas Pasukan Polis Hutan Negeri Sarawak hari ini menyatakan rasa terkilan kerana pengorbanan anggotanya meraih kemerdekaan negara tidak diiktiraf sama seperti pengiktirafan yang diberikan kepada veteran askar.

Presidennya Datuk Aba Robiyel Huk dipetik sebagai berkata di muka depan akhbar Utusan Borneo dan Borneo Post edisi Khamis 23 September 2010, bahawa semasa era perkhidmatannya sebagai anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) mulai 1959 hingga 1970 beliau bersama anggota pasukannya yang lain terlibat dalam beberapa siri peperangan sehingga meragut nyawa 11 anggotanya, manakala 37 lagi mengalami kecederaan di medan peperangan.

"Namun apa yang telah kita lakukan tidak pernah diiktiraf. Selepas tamatnya darurat sehingga 1997 Pasukan Polis Hutan dimansuhkan dan ditukar dengan Pasukan Gerakan Am (PGA), kami bagaikan terus dilupakan," katanya kepada Utusan Borneo, kelmarin.

BoldKeratan Akhbar Utusan Borneo bertarikh 23 Sept 2010

Menurutnya semasa zaman kolonial (British) pada tahun 1959, beliau bersama anggota PPH lain berkhidmat untuk British dalam pemberontakan Brunei dan selepas tamatnya pemberontakan itu beliau mendapat pingat penghargaan daripada kerajaan British dan Brunei, siap tertera dengan namanya

"Kami tidak pernah meminta agar diberikan pingat ini tetapi kerajaan British memberikannya kepada kami secara automatik. Sedangkan kerajaan Malaysia, terutamana kerajaan Negeri sehingga hari ini, langsung tiada pengiktirafan.

"Apabila sudah aman semua pihak buat tak tahu sahaja. Inilah yang membuatkan kami terkilan, kerana anggota Renjer yang berperang di Semenanjung Malaysia diberikan Pingat Jasa Malaysia (PJM)," ujarnya.

BeliaU menambah semasa darurat PPH telah berperang bersama askar yang kesemuanya dari Semenajung Malaysia sehingga ada anggotanya terkorban dan mengalami kecederaan.

"Kerajaan hanya memberi penghargaan kepada askar (veteran) sahaja bagaimana dengan kami? Sekurang-kurangnya kerajaan memberikan pengiktirafan yang sama, agar kami rasa dihargai," tegasnya.

Ekoran daripada kenyataan itu, Skuad 69 PDRM Sarawak turut memberikan reaksinya. Presidennya DSP (B) Muhamad Yusof Isa telah mengeluarkan kenyataan medianya menerusi emel yang dikirimkan kepada Utusan Borneo, Borneo Post dan juga Utusan Sarawak sebagaimana berikut:-

KENYATAAN MEDIA SKUAD 69 PDRM SARAWAK

Saya ingin memberikan reaksi terhadap kenyataan Datuk Aba Robiyel Huk, Presiden Persatuan Bekas Pasukan Polis Hutan Negeri Sarawak (PBPPH) yang disiarkan di dalam akhbar ‘Utusan Borneo dan Borneo Post’ edisi hari ini, Khamis, 23 September 2010, berkaitan dengan rintihannya bahawa Pasukan Polis Hutan amat terkilan kerana pengorbanan anggotanya meraih kemerdekaan negara tidak diiktiraf sama seperti pengiktirafan yang diberikan kepada veteran askar.

(Foto Kiri: DSP (B) Muhamad Yusof Isa)

Skuad 69 PDRM Sarawak turut menyokong kenyataan itu, kerana kami berpendapat pengorbanan anggota pasukan keselamatan samada di pihak anggota tentera mahu pun di pihak pasukan polis tidak harus dibezakan sehingga menampakkan jurang diskriminasi terhadap anggota pasukan polis yang berkhidmat di dalam Pasukan Polis Hutan.

Kiri: Anggota Skuad 69 PPH Platun 5 Batalion 1 semasa menjalani operasi di Jakar Road, Sarikei tahun 1972. Kanan: Anggota PPH semenanjung turut dikerahkan ke Sarawak. Mereka menaiki kapal Kota Rajah ke Kuching.

Kiri: Keratan akhbar tentang kejayaan PPH dalam operasi di Paradom, Sibu, 1971. Kanan: Diantara senarai Wira PPH yang terkorban.

Kiri: Kejayaan PPH dalam Ops Ngayau Tiga, 1978. Kanan: Ops Kilong II,Binatang (Bintangor), 1969

Pasukan Polis Hutan (PPH) juga merupakan sebahagian daripada benteng pertahanan negara ketika negara berhadapan dengan ancaman pengganas komunis. Kerahan anggota Pasukan Polis Hutan di dalam berbagai operasi memburu pengganas komunis juga merupakan operasi bersama dengan pasukan tentera (ATM).

Pasukan Polis Hutan (PPH) turut dilibatkan di dalam operasi keselamatan yang dilaksanakan oleh RASCOM sejak 16 Mac 1972 hingga 9 November 1994 bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan operasi bersepadu untuk mengekang ancaman pengganas komunis PARAKU terutama di Bahagian Ke-3, Ke-6 dan Ke-7 Negeri Sarawak.

Selain daripada kejayaan anggota pasukan tentera menghapuskan keganasan gerila komunis di dalam operasinya, peranan dan jasa yang dicurahkan oleh anggota Pasukan Polis Hutan pula janganlah dipinggirkan begitu sahaja.

Kematian dan kecederaan bukan sahaja dialami oleh anggota pasukan tentera, bahkan anggota Pasukan Polis Hutan juga turut menjadi mangsa ketika di medan pertempuran. Oleh itu sewajarnyalah pihak kerajaan memberikan pengiktirafan yang sama kepada bekas-bekas anggota Pasukan Polis Hutan yang turut dianggotai oleh bekas-bekas anggota Skuad 69 PDRM.

Keratan akhbar Utusan Borneo bertarikh 24 Sept. 2010

Mengenepikan jasa dan pengorbanan bekas-bekas anggota Pasukan Polis Hutan merupakan diskriminasi terhadap pejuang veteran yang telah berjuang sehingga negara menikmati keamanan dan kemakmuran.

Skuad 69 PDRM Sarawak juga merupakan sebuah persatuan yang turut dianggotai oleh anggota-anggota Pasukan Polis Hutan yang berkhidmat pada tahun 1969. Walaupun Pasukan Polis Hutan (PPH) telah ditukar namanya kepada Pasukan Gerakan AM (PGA), namun keperwiraan Pasukan Polis Hutan janganlah diketepikan begitu sahaja.

Skuad 69 PDRM Sarawak bersedia menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bekas Pasukan Polis Hutan Negeri Sarawak yang baru sahaja ditubuhkan itu dalam perjuangan membela bekas-bekas anggoa Pasukan Polis Hutan yang pernah menjadi wira kepada negara.

Saya yakin pihak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri tidak akan mengalpakan jasa-jasa anggota pasukan polis khususnya anggota yang pernah berjuang di dalam Pasukan Polis Hutan.


[ DSP (B) MUHAMAD YUSOF ISA,PRESIDEN SKUAD 69 PDRM SARAWAK ]