Sunday, January 31, 2010

SKUAD 69 PDRM SARAWAK HARGAI JASA
DATO' TALIB JAMAL


DSP (B) Yusof Isa menyampaikan surat jemputan kepada Dato' Talib Jamal
di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada 27 Januari 2010.

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak tidak pernah lupa dengan sumbangan bakti yang pernah diberikan oleh Y.Bhg Dato' Talib Jamal (Foto), semasa menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak sebelum ini. Bermula dengan kesudian Dato' Talib Jamal selaku Pesuruhjaya Polis Sarawak menerima kunjungan rombongan bekas pejuang Skuad 69 PDRM yang diketuai oleh DSP (B) Muhamad Yusof Isa pada 14 Februari 2006, ia telah menjadi titik permulaan bagi merintis penubuhan Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak yang bertujuan untuk menjaga hal ehwal kebajikan bekas-bekas anggota Skuad 69 yang pernah menyarung 'baju hijau' di dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) tetapi hari ini semuanya telah menjadi polis pencen.

Dato' Talib Jamal dengan penuh ketulusan hatinya menyambut baik hasrat penubuhan persatuan ini di negeri Sarawak, kerana menurutnya kisah perjuangan pasukan polis dalam pasca penentangan terhadap pengganas komunis di Sarawak tidak dapat dipisahkan dengan semangat kental yang telah ditunjukkan oleh Skuad 69 semasa mereka berkhidmat di dalam PPH. Menurutnya, jasa dan pengorbanan sebahagian anggota pasukan polis di dalam Skuad 69 dahulu sewajarnya diingati.


Dato' Talib Jamal menyampaikan cenderahati kepada
Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak
, 14 Februari 2006

Oleh itu katanya, beliau tidak menjadi masalah untuk memberikan sokongan dan juga kerjasaama bagi tujuan menjayakan penubuhan sebuah persatuan untuk menjaga kebajikan keluarga mereka (Skuad 69).

Sokongan padu yang ditunjukkan oleh beliau tidak sekadar menerima kunjungan, bahkan beliau telah mempersudikan dirinya untuk merasmikan majlis pra pelancaran buku 'Memoir Skuad 69 PDRM Edisi Sarawak' yang diadakan pada 17 Mac 2006 di Mes Pegawai Kanan, IPK Sarawak, Jalan Badruddin, Kuching.

Beliau juga atas sifatnya selaku Pesuruhjaya Polis Sarawak juga tidak menunjukkan keberatan hatinya terhadap aktiviti persatuan ini apabila beliau sekali lagi menjadi tetamu kehormat di dalam satu majlis perasmian buku Memoir Skuad 69 PDRM Edisi Sarawak yang disempurnakan oleh Dato' Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg, Menteri Perumahan Sarawak yang mewakili Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak pada 16 September 2006, di Dewan Suarah Negeri.

Dato' Talib Jamal ketika meraikan kunjungan hormat
rombongan
pimpinan Skuad 69 PDRM, 14 Februari 2006.

Sebagai sebuah persatuan yang baru ditubuhkan, Dato' Talib Jamal tidak lokek dengan idea-idea bernasnya bagi memperkasakan lagi persatuan ini. Beliau sering memberikan nasihat dan juga teguran membina supaya persatuan ini menjadi lebih kuat untuk meneruskan pembelaan terhadap masa depan bekas-bekas pejuang di dalam Skuad 69 yang kini tidak lagi di dalam pasukan.

Sebagai legasi mengenang jasa-jasanya itu, Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak berhasrat untuk memberikan kalungan 'Pingat Wira Perkasa 69' kepada Y.Bhg DCP (B) Dato' Talib Jamal di dalam satu majlis makan malam sempena sambutan Hari Polis ke-203 yang akan diadakan pada 3 April 2010, di Hotel RH di Sibu, Sarawak. Dato' Talib Jamal telah bersara pada bulan Oktober 2007, dan kini jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak disandang oleh penggantinya, DCP Dato' Mohmad Salleh.

Surat undangan terhadap Dato' Talib Jamal telah pun diserahkan oleh DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak semasa berkunjung di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada 27 Januari lepas. Pada dasarnya, beliau telah menyatakan persetujuan untuk menghadiri ke majlis tersebut.



Saturday, January 16, 2010

SKUAD 69 PPH PERAK DITUBUHKAN
DI KEM PGA ULU KINTA
, PERAK

Mes Pegawai Rendah Polis di Kem PGA, Ulu Kinta

Rosli Kidam datang bertongkat di sisi DSP (B) Yusof Isa

Suasana mesyuarat penubuhan Skuad 69 PPH Perak

DSP (B) Yusof Isa, YDP (Kanan) dan Kapeli Md. Isa, Setiausaha (Kiri)

DSP (B) Yusof Isa mempengerusikan mesyuarat

Sebahagian daripada AJK Skuad 69 PPH Perak

Terkini - Persatuan Kebajikan Pesara Skuad 69 Pasukan Polis Hutan Negeri Perak telah ditubuhkan hari ini setelah mereka berjaya membentuk jawatankuasa penaja dan meluluskan deraf undang-undang yang telah dibincangkan dengan panjang lebar.

Seramai 15 orang telah dilantik menduduki barisan ahli jawatankuasa penajanya yang diketuai oleh Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Isa yang dilantik sebagai Yang Dipertua dan dibantu oleh Timbalannya Tuan ASP (B) Adnan Abdul Rahman Bin Abdul Rahman.

SI (B) Kapeli Bin Md. Isa pula dilantik sebagai setiausaha, manakala Tuan Syed Abdullah Karim dilantik sebagai Penolong Setiausaha. Che Ilias Haji Che Mat pula dilantik sebagai Bendahari. Sementara itu Mohd. Nor Dawi telah dilantik sebagai Ketua Penerangan disamping 9 orang ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Mohd. Ariffin Mohd. Noor, Che Mat Darus, Rosli Kidam, Mior Hamzah Mior Chik, Bahari Jaafar, Abd. Rahman Hanapiah, Razali Mat Taha, Mohd. Lasa dan Abu Bakar Ramli.

Dalam mesyuarat itu juga mereka bersetuju menamakan SKUAD 69 PPH TETAP PERKASA sebagai moto dan slogan dalam meneruskan agenda perjuangan memperkasakan jati diri bekas-bekas anggota skuad 69 Pasukan Polis Hutan.

Persatuan ini akan didaftarkan segera di pejabat Pendaftar Pertubuhan Negeri Perak di Ipoh sebaik sahaja segala urusan berkaitan dapat disiapkan. Mana-mana bekas anggota Skuad 69 yang pernah berkhidmat di dalam Pasukan Polis Hutan di negeri Perak dalam tahun 1969 dan tahun-tahun selepasnya yang kini bermastautin di Perak boleh menjadi ahli persatuan ini. Mereka boleh menghubungi Setiausaha Penaja, Kapeli Md. Isa di talian bimbitnya 013-5311611 atau Penolong Setiausahanya, Syed Abdullah Karim no. talian 019-5710212 untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Di akhir mesyuarat, DSP (B) Muhamad Yusof Isa merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua yang hadir kerana telah dapat menunjukkan semangat espirit de corp yang menggambarkan kekentalan semangat dan satu hati di kalangan anggota Skuad 69 PPH khususnya di negeri Perak. Beliau juga memaklumkan bahawa pertemuan dengan YAB Menteri Besar Perak akan diadakan pada 28 Januari ini di kediaman resmi Menteri Besar berkenaan di Ipoh.

Skuad 69 PDRM Sarawak turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan menubuhkan Persatuan Kebajikan Pesara Skuad 69 PPH Perak.


Friday, January 15, 2010

SKUAD 69 PASUKAN POLIS HUTAN TUBUH PERSATUAN

Anggota PPH semasa operasi dalam hutan


IPOH: Semua bekas anggota PDRM yang pernah menyertai Pasukan Polis Hutan (PPH) bermula tahun 1969 berpeluang untuk menjadi ahli kepada sebuah persatuan baru yang akan ditubuhkan pada sabtu ini, 16 Januari 2010, pada jam 10.30 pagi.

Difahamkan mesyuarat penubuhan persatuan ini bakal diadakan di Mes PRP, Kem PGA, Ulu Kinta, Perak yang akan dihadiri oleh bekas-bekas anggota Skuad 69 Pasukan Polis Hutan yang bermastautin di negeri Perak, malah dijangkakan mereka yang berada di luar Perak juga akan hadir untuk memberikan sokongan di atas penubuhannya.

Persatuan Kebajikan Pesara Skuad 69 Pasukan Polis Hutan, Perak merupakan nama yang paling sesuai untuk didaftarkan dengan 'Pendaftar Pertubuhan Negeri Perak', kerana objektif utama persatuan ini ditubuhkan adalah untuk menjaga hal ehwal kebajikan bekas-bekas anggota skuad berkenaan yang sudah pun bersara sejak tahun 2005 yang lalu.

Kepada semua yang berkenaan yang mempunyai kelapangan masa pada tarikh itu dijemput hadir ke mesyuarat yang tersebut.

Wednesday, January 13, 2010

SKUAD 69 NGUTUK ULAH NYERANG GERIJA

January 13, 2010, Wednesday

Sida madahka penyanggup diri deka begandin enggau gerempung bukai nyaga pengelikun gerija di menua tu

KUCHING: Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak ti ngutuk pengawa bala orang nyerang sereta nunu gerija, besedia begandin enggau gerempung ukai perintah (NGO) nyaga pengelikun rumah Tuhan nya di menua tu.Seketari Besai iya, Abdul Rahman Hashim madahka insiden tauka pengawa nyerang gerija ke terubah iya diripot nya chukup ngemaluka sereta enda patut nyadi di menua Sarawak.

Lalu enggau nya ia mega ngarapka kes baka tu ulih diputar enggau jampat.

“Kami berasai enda lantang ati lebuh ti ninga berita tu laban ngelamatu kitai sama nemu menua tu chukup likun taja pan diwan pupu raban bansa sereta jalai pengarap.

“Nya alai kami sigi enda besetuju enggau pengawa ti baka tu lalu sedia deka begandin enggau NGO nyaga penglikun rumah sembiang ba menua tu,” ku iya.

Iya mansutka jaku tu lebuh ti dikerandau Utusan Borneo pasal pekara tu ba opis iya kemari.

Kelimpah ari kes ti nyadi ba Semenanjung bisi siti gerija ba Miri mega udah pechah bekau ti ditikau ngena batu.

Berebak enggau tu, skuad tu ngarapka semua jalai pengarap ba menua tu tau duduk sama lalu berunding ngiga jalai kena mutarka pekara tu ti tau ngeratka penyerakup antara semua jalai pengarap ba menua tu, ku iya.

“Kami ba Skuad 69 tu mayuh pupu raban bansa sereta jalai pengarap ti enda sebaka, tang nadai kala bisi penanggul begulai enggau pangan diri lalu bebasaka pengarap urang bukai,” ku iya.

(Petikan dari akhbar Utusan Borneo, 13 Januari 2010)

Tuesday, January 12, 2010

MENGAPA SAYANGKAN ALLAH, GEREJA DIROSAKKAN?



Gereja Kristian Anglican di Miri yang dikhianati

Skuad 69 PDRM Sarawak turut tersentuh dengan situasi yang menyelubungi negara mutakhir ini, terutama yang membabitkan insiden pembakaran dan serangan terhadap beberapa buah gereja termasuk sebuah gereja Good Shepherd (Anglican) di Lutong, Miri pada pagi ahad yang lalu.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri di dalam satu kenyataannya kelmarin menyatakan sehingga ini terdapat tujuh buah gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak yang telah menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme oleh pihak tertentu.

"Keadaan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu khuatir dan diingatkan juga supaya tidak terpengaruh dengan laporan-laporan di dalam internet serta melalui khidmat pesanan ringkas SMS," katanya.

Insiden yang memalukan ini berlaku ekoran daripada tindakan emosi yang dipercayai dilakukan oleh golongan yang berfikiran sempit yang bertindak atas nama kecintaan kepada 'Allah' sehingga mereka terlupa bahawa Allah Taala tidak membenarkan umat Islam menceroboh mana-mana rumah ibadat walaupun di dalam peperangan.

Skuad 69 PDRM Sarawak amat kesal dan kecewa dengan kejadian ini, kerana negara Malaysia selama ini memang terkenal sebagai negara yang aman sentosa walaupun terdiri daripada pelbagai anutan agama dan juga bangsa.

Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama resminya, namun ia tidak bermakna bahawa Malaysia boleh melakukan tindakan-tindakan provokatif yang menghalang penganut agama yang lainnya untuk bebas beribadat di rumah ibadat masing-masing termasuk gereja.

Isu penggunaan kalimat 'Allah' di dalam majalah 'The Herald' oleh Roman Katholik Kristian yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini bukan bermakna umat Islam mesti bertindak terhadap agama kristian dengan membakar atau merosakkan gereja-gereja. Tindakan sedemikian bukanlah terlalu bijaksana untuk diteladani, kerana isunya adalah ALLAH sebagai Tuhan yang dimuliakan, bukannya meletakkan Allah sebagai lambang kezaliman.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah persatuan yang dianggotai oleh pelbagai ahli yang menganuti agama Islam dan juga agama Kristian, maka Skuad 69 PDRM Sarawak mengutuk perbuatan melampau ini, seterusnya kami berharap supaya isu ini dapat segera diatasi untuk mengembalikan suasana yang lebih harmoni di negara ini.

Kami juga berpendapat seharusnya selepas ini dialog diantara agama dapat diadakan secara toleran bagi membolehkan semua penganut agama di negara ini menghormati kemuliaan agama masing-masing tanpa menjejaskan penghormatan terhadap agama Islam sebagai agama resmi negara ini.


Monday, January 11, 2010

MESYUARAT AHLI JAWATANKUASA KE-2

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya kali ke-2 pada Sabtu lepas, 9 Januari 2010, di pejabat urusetia Skuad 69 di Jalan Rubber, Kuching, Sarawak. Mesyuarat yang pertama telah diadakan pada 17 Julai 2009.

Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 12 orang ahli jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tuan DSP (B) Arifin Haji Adenan, Timbalan Presiden, Skuad 69 PDRM Sarawak. DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 tidak bersama di dalam mesyuarat ini kerana beliau berada di Kuala Lumpur atas urusan yang tidak dapat dielakkan.