Thursday, November 13, 2008

SKUAD 69 SEDIA MEMBANTU MASYARAKAT TUBUHKAN KOR KESELAMATAN PERANGI JENAYAH


DSP (B) Muhamad Yusof Isa Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak menyampaikan cenderhati
kepada Datuk Talin Zulpilip

Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak DSP (B) Muhamad Yusof Isa berkata, anggota Skuad 69 sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan juga dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat (NGO) seperti Rukun Tetangga, Pasukan Rela dan Rakan Cop dalam usaha bersepadu memerangi jenayah. Ikuti teks ucapan penuh DSP (B) Muhamad Yusof Isa Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak semasa berucap di dalam majlis perasmian Buletin dan Laman Blog Skuad 69 PDRM Sarawak pada 8 November lalu.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana dengan berkat dan limpah kurniaNya juga, kita semua telah dapat berkumpul pada malam ini, di dalam satu majlis Makan Malam Mesra Amal anjuran Skuad 69 PDRM Sarawak.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang dan jutaan terima kasih serta amat terharu sekali dengan kehadiran para tetamu sekelian di dalam majlis makan malam ini. Saya berharap kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekelian di dalam majlis ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara sesama kita semua, seterusnya dapat mendekatkan lagi hubungan tuan-tuan semua dengan Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak, yang merupakan sebuah pertubuhan yang mewakili bekas-bekas anggota Skuad 69 PDRM khususnya di negeri Sarawak ini.
Wakili Datuk Amar Awang Tengah
3. Saya juga mewakili seluruh warga kerja dan keluarga Skuad 69 PDRM Sarawak dengan rasa bangganya mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat kita pada malam ini iaitu YB Datuk Haji Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak, merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, yang mewakili YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, di atas kesudian beliau melapangkan masa yang berharga ini untuk sama-sama meraikan majlis ini, seterusnya melancarkan dengan rasminya lidah resmi Persatuan kami, iaitu Buletin Skuad 69 PDRM Sarawak bagi edisi ke-2; dan juga melancarkan dengan rasminya laman blog kami iaitu www.skuad69.blogspot.com sebentar lagi.

Tuan Pengerusi, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

4. Majlis kita pada malam ini sepatutnya telah berlangsung pada 18 Oktober yang lepas di dalam suasana menyambut aidilfitri, namun begitu di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa menundakan tarikhnya kepada hari ini sebagai satu program amal, di samping meraikan para penaja yang telah memberikan sokongan dan juga kerjasama dalam menjayakan penerbitan Buletin Skuad 69 PDRM Sarawak.

5. Justeru itu, bagi pihak persatuan, saya memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang telah dialami oleh tuan-tuan semua setelah majis makan malam ini ditunda, terutamanya kepada para penaja yang terlibat menyumbangkan tajaan, samada dalam bentuk pembelian meja-meja makan mahupun yang menyertai tajaan iklan di dalam bulletin yang bakal dilancarkan nanti.

6. Sebagai sebuah persatuan yang baru sahaja ditubuhkan pada tahun 2006 lalu, tentunya kami mengalami serba serbi kekurangan dalam mempelbagaikan aktiviti, terutama yang berkaitan dengan hal ehwal kebajikan ahli-ahli kami di seluruh negeri Sarawak yang memerlukan perhatian dan juga pembelaan daripada persatuan. Setelah kami semua meninggalkan perkhidmatan kepolisan, tidak bermakna kesemuanya dapat menjalani kehidupan tanpa menghadapi masalah, malah banyak perkara yang perlu kami berikan perhatian untuk memberikan pembelaan kepada bekas-bekas anggota Skuad 69 PDRM yang pernah berjuang mempertahankan Negara sewaktu Negara menghadapi ancaman pengganas komunis.
mengisi tabung kebajikan
7. Kami terpanggil untuk mengadakan majlis makan malam amal ini, sebagai memenuhi tuntutan dan tanggungjawab kami dalam mengisi tabung kebajikan sebagai dana yang akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan bantuan dari kalangan keluarga bekas-bekas anggota polis, terutamanya di dalam Skuad 69 PDRM. Begitu juga, kami sentiasa prihatin untuk berinteraksi dengan masyarakat tempatan, terutamanya dalam gerak kerja kesukarelaan yang membabitkan aspek kebajikan, pendidikan, hal ehwal keselamatan dan juga kesedaran sivik.
Semangat espirit de corp
8. Kami merasakan pengalaman mencurahkan khidmat bakti di dalam pasukan polis selama lebih 36 tahun dahulu amat berharga buat kami dan ianya menjadi nostalgic yang tidak mudah untuk kami lupakan. Kami dapat merasakan juga semangat ‘espirit de corp’ yang tertanam di dalam setiap sanubari kami semasa berada dalam pasukan dahulu, telah menjadikan kami lebih memahami dan menjiwai arti sebuah pengorbanan demi untuk menegakkan maruah sebuah ‘Negara Bangsa’ yang berdaulat dari dicerobohi oleh musuh Negara.
Dulu perangi komunis, kini perangi jenayah
9. Kita bersyukur, kerana Negara kita hari ini tidak lagi diselubungi dengan ancaman pengganas komunis, dimana rakyat telah mengecapi nikmat keamanan bagi membolehkan Negara terus memacu kemajuan. Walaupun Negara tidak lagi diancam oleh pengganas komunis, namun begitu kita tidak harus alpa, kerana masih ada tanggungjawab yang perlu kita pikul, terutamanya untuk memerangi jenayah yang sering berlaku di dalam kancah masyarakat kita hari ini.

10. Dengan peningkatan kadar jenayah yang sering berlaku, terutamanya di Bintulu ini, kita berharap ianya dapat dibanteras supaya kes-kes jenayah yang membabitkan pecah rumah, rompakan, pembunuhan dan sebagainya dapat dikawal, dan bersama-samalah kita memeranginya.
Kor Keselamatan Komuniti
11. Dalam memperkatakan masalah jenayah yang berlaku di dalam kancah masyarakat kita hari ini, Skuad 69 PDRM Sarawak ingin menyatakan di sini bahawa kami bersedia untuk bekerjasama membentuk ‘kor keselamatan komuniti’ di setiap kawasan bersama-sama dengan pihak Rukun Tetangga, Rela mahupun dengan pihak Rakan Cop terutamanya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dengan kes-kes jenayah. Kami merasakan Jawatankuasa Rukun Tetangga di setiap kawasan terutamanya terlibat dengan skim kawalan keselamatan ini perlu diberikan suntikan motivasi dengan menjalani latihan asas mengenai aspek keselamatan, termasuk juga dalam aspek meningkatkan ketahanan mental dan fizikal. Dalam hubungan ini, Skuad 69 PDRM Sarawak juga bersedia untuk menawarkan khidmat latihan kepada semua operator keselamatan yang berkenaan, setidak-tidaknya didahulukan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dengan kes-kes jenayah, seperti di Bintulu ini.
Separuh usia kami di dalam pasukan polis
12. Sebenarnya, menerusi Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak ini juga, kami merasakan ada sedikit ruang untuk kami mendekatkan diri dengan masyarakat. Maklum sajalah, hampir separuh daripada usia kami hari ini telah terikat dengan teras perkhidmatan yang ditetapkan oleh PDRM. Dahulu kami semua tidak berpeluang untuk menceburi secara aktif dalam aktiviti-aktiviti masyarakat, tetapi selepas pencen, kami merasakan perlu untuk kami mencurahkan khidmat bakti bersama-sama dengan masyarakat dalam mengukuhkan lagi ikatan perpaduan demi untuk kemakmuran Negara.

13. Berbagai kaedah dan juga pendekatan sedang dan telah kami lakukan untuk memenuhi ruang yang terbuka luas ini, diantaranya ialah kami telah menerbitkan Buletin dan juga laman blog sebagai terminal makumat yang akan menghubungkan Skuad 69 bukan sahaja dengan ahli-ahlinya, malah menerusi laman blog Skuad69.blogspot.com, dunia luar juga akan mengetahui dengan lebih dekat lagi tentang aspirasi kami dalam komuniti hari ini. Saya berharap bulletin dan blog Skuad 69 PDRM Sarawak yang dilancarkan hari ini mampu memberikan saingan dari segi pemberitaan dan juga penyiaran maklumat kepada kumpulan sasarnya.
Tahniah dan syabas
4. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua ahli-ahli jawatankuasa Skuad 69 PDRM Sarawak yang begitu gigih untuk menjayakan aktiviti-aktiviti ini. Saya amat beruntung kerana mempunyai ahli-ahli jawatankuasa yang dedikasi dan sentiasa komited dengan tanggungjawab yang dberikan.

15. Saya tidak berhajat untuk memanjangkan ucapan ini, kerana selepas ini kita hendak mendengar pula intipati ucapan yang akan disampaikan oleh YB Datuk Haji Talib Zulpilip, tetamu kehormat kita pada mala mini. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis makan malam ini. Kepada para penaja samada yang mewakili sector korporat dan swasta mahupun individu-individu yang budiman yang hadir pada malam ini, saya juga tidak akan melupakan budi baik anda semua.

16. Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada tetamu-tetamu VIP yang turut hadir meraikan majlis pada malam ini. Begitu juga kepada Y.Bhg Datuk Morshidi Abdul Rahman dahulunya sebagai seorang anggota polis, tetapi hari ini beliau hadir sebagai seorang tokoh korporat yang telah memberikan sokongan kepada Skuad 69 PDRM Sarawak sebagai Rakan Penaja kami. Semoga Allah sahajalah yang akan dapat memberikan ganjaran setimpal dengan kebaikan yang dicurahkan kepada Skuad 69 PDRM Sarawak selama ini.

17. Saya memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan layanan atau apa-apa yang kurang sepanjang majlis ini berjalan.

18. Semoga Skuad 69 PDRM Sarawak sentiasa di hati tuan-tuan dan puan-puan semua. Terima kasih.