Tuesday, August 2, 2011

KUCHING BANDARAYA YANG HIDUP DAN BERJIWA - TAIB MAHMUD

KUCHING 1 Ogos - Bandar raya Kuching akan dibangunkan secara teliti dan tersusun bagi memastikan ia menjadi sebuah bandar yang mempunyai jiwa.

Ketua Menteri, Pehin Sri Abdl Taib Mahmud berkata, ciri-ciri sebuah bandar raya yang baik tidak bergantung kepada pembangunan fizikal dan aktiviti ekonomi semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, ia perlu dibangunkan secara seimbang merangkumi segenap aspek termasuk hubungan sosial dan kemanusiaan

"Sehubungan itu, kita akan memastikan Kuching dibangunkan menjadi sebuah bandar raya yang hidup dan berjiwa," katanya ketika berucap pada majlis memperingati Hari Bandar Raya Kuching dan pelancaran Pesta Kuching 2011 di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang. Bandar raya Kuching menyambut ulang tahunnya ke-23 selepas mendapat pengiktirafan sebagai sebuah bandar raya pada 1 Ogos 1988.

Mengulas lanjut, Abdul Taib berkata, kerancakan pembangunan di kebanyakan bandar-bandar besar yang ada pada masa ini mengabaikan hubungan kemanusiaan apabila warganya tidak lagi mempedulikan masyarakat sekeliling.

"Masalah di bandar-bandar yang biasa saya lihat adalah hubungan sesama warganya yang kurang mesra, berbeza di kampung-kampung yang mana, ahli komuniti mengambil berat antara satu sama lain. Justeru, ini yang perlu kita ubah," katanya.