Monday, May 18, 2009

SKUAD 69 PDRM SARAWAK ADAKAN MESYUARAT AGUNG TAHUNANNYA PADA 20 JUN 2009, DI BINTULU.

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak akan mengadakan mesyuarat agung tahunan 2009 pada hari Sabtu, 20 Jun 2009, jam 3.00 petang, bertempat di New World Suites, di Bintulu. Mesyuarat agung kali ke-3 ini akan dirasmikan oleh YB Datuk Haji Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak (N.58).

Sempena dengan mesyuarat agung kali ini, Skuad 69 PDRM Sarawak juga akan mengadakan Expo yang bertemakan 'Keamanan Satu Malaysia' yang akan memaparkan bahan-bahan sejarah perjuangan anggota pasukan keselamatan khususnya ketika mempertahankan negara ini daripada ancaman pengganas komunis.

Expo ini akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 19 hingga 21 Jun 2009, yang akan diadakan di ParkCity Mall, Bintulu. Selain Skuad 69, expo ini juga akan disertai oleh Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Negeri Sarawak dan juga daripada Jabatan Arkib Negara Negeri Sarawak. Manakala Jabatan Kesihatan Daerah juga akan terlibat dengan membuka kaunter pemeriksaan kesihatan sepanjang expo ini berjalan.