Sunday, November 22, 2009

HARI KELUARGA '69 DI SEMATAN JADI PEMBUKA TIRAI 2010.


Pemandangan di Holiday Chalet Sematan yang menjadi venue Hari Keluarga '69

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak akan mengadakan Hari Keluarga '69 sebagai acara pembuka tirai tahun 2010. Hari Keluarga '69 ini dijadualkan akan berlangsung pada 1 Januari 2010 sehingga 2 Januari 2010, bertempat di Holiday Chalet Sematan.

Hari Keluarga yang julung kali diadakan ini akan diseliakan oleh Biro Kebajikan dan Sosial Skuad 69 PDRM Sarawak yang dipengerusikan oleh Encik Mohamad Haji Mos. Tujuan hari keluarga ini diadakan adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di dalam satu ikatan keluarga Skuad 69 PDRM Sarawak.

Perhimpunan Keluarga '69 ini juga dijangka akan dapat menyuntik semangat baru yang lebih jitu ke arah memantapkan organisasi ini dengan berkat sokongan moral yang diperolehi daripada anggota keluarga '69 yang bakal memeriahkan Hari Keluarga ini.

Hari Keluarga '69 ini dijangka akan disertai oleh semua ahli yang terdiri daripada bekas-bekas anggota polis di dalam Skuad 69 di seluruh Sarawak. Sehingga hari ini seramai 105 orang bekas anggota Skuad 69 PDRM Sarawak telah menjadi ahli kepada Persatuan ini.

Semua ahli juga disarankan agar membawa isteri masing-masing dan juga anak-anak untuk mengambil bahagian di dalam beberapa acara sukaneka yang akan dijalankan nanti. Di dalam majlis itu juga Persatuan ini akan menyampaikan sumbangan kebajikan berupa alat-alat persekolahan kepada kanak-kanak yang memerlukannya.

Pihak Persatuan telah pun megundang YB Dato' Seri Amar Adenan Satem, ADUN Tanjung Datu yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak untuk merasmikan Hari Keluarga '69 pada hari tersebut. Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak juga menyeru kepada semua bekas anggota Skuad 69 PDRM di negeri Sarawak khususnya yang berada di kawasan Sematan dan Lundu supaya dapat mengambil bahagian sempena Hari Keluarga yang diadakan itu, seterusnya kepada mereka yang berkenaan yang masih belum lagi menjadi ahli supaya dapat menjadi ahli dengan mengemukakan borang permohonan yang boleh diperolehi pada hari keluarga nanti.