Saturday, August 22, 2009

14,725 LAGI BEKAS POLIS TERIMA SAGU HATI DARURAT









Seramai 14,725 lagi anggota polis yang pernah berkhidmat semasa darurat termasuk di Sabah dan Sarawak akan menerima saguhati berjumlah RM14,725 juta secara berperingkat-peringkat sehingga akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemberian saguhati itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa dan pengorbanan mereka menjaga keselamatan negara daripada ancaman komunis.

Katanya, peruntukan terbaru itu akan diagihkan kepada seramai 8,425 bekas polis di Semenanjung dan 6,300 di Sabah dan Sarawak yang telah mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup 28 Februari tahun lalu.

''Sejak 8 Ogos 2001 kerajaan meluluskan RM72.108 juta untuk saguhati kepada golongan terlibat termasuk balu dan duda anggota berkenaan.

''Daripada angka itu sebanyak 66,608 anggota polis di Semenanjung menerima sumbangan membabitkan peruntukan RM66.608 juta manakala 5,500 bekas polis di Sarawak pula sebanyak RM5.5 juta," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata demikian selepas menyampaikan cek sumbangan saguhati khas kepada bekas polis yang berkhidmat semasa darurat (1948-1972) bagi negeri Terengganu di Wisma Darul Iman Julai lalu.

Hishammuddin berkata, mereka yang berkhidmat sebagai Special Constabulary, Home Guard, Auxiliary Police, Extra Police Constable dan Women Special Constable layak menerima sumbangan tersebut.

Sementara itu, katanya, bekas polis di Sabah dan Sarawak pula terdiri daripada mereka yang pernah berkhidmat dalam Border Scout, North Borneo Army Constabulary, Sarawak Constabulary, Contract Assistant Superintendant Police, Contract Inspector dan Police Field Force Reservist.

Hishammuddin menambah, seramai 1,346 anggota polis terkorban ketika menjalankan tugas semasa darurat iaitu 511 anggota biasa, 593 polis khas dan 242 anggota polis tambahan.

Katanya, sebanyak 701 anggota polis biasa, 746 anggota polis khas dan 154 anggota polis tambahan turut tercedera.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, bekas anggota dan pegawai polis akan dijadikan mata dan telinga kerajaan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di seluruh negara.

Katanya, pengalaman mereka amat diperlukan untuk menyokong usaha pihak berkuasa mengesan kegiatan jenayah.

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus.

''Kita bukan mahu mereka mengejar mat rempit atau menangkap penjenayah kerana ada kalangan mereka sudah tidak kuat, tetapi yang diperlukan ialah perkongsian maklumat dan pengalaman menangani jenayah," katanya.