Friday, October 17, 2008

Skuad 69 PDRM Sarawak dijemput sertai Istiadat Perbarisan Hari Jadi TYT Ke-87


Kontinjen Skuad 69 pada 31 Ogos 2008 lalu.

Skuad 69 PDRM Sarawak sekali lagi telah dijemput oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengambil bahagian di dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena perayaan Hari Jadi Ke-87 Tuan Yang Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang akan diadakan pada hari Sabtu, 25 Oktober 2008, bertempat di Padang Merdeka, Kuching.

Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Eksekutif Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak yang menyatakan demikian juga berkata bahawa Skuad 69 akan menghantar kontinjennya yang berjumlah 30 orang yang akan diketuai oleh SI (B) John Haji Surip. Menurutnya lagi, Skuad 69 PDRM Sarawak berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah memberikan penghormatan kepada Skuad 69 untuk mengambil bahagian di dalam perarakan ini.

Sebelum ini, Skuad 69 PDRM Sarawak juga telah diundang mengambil bahagian di dalam upacara perbarisan Hari Kemerdekaan Ke-51 Peringkat Negeri Sarawak yang telah diadakan pada 31 Ogos yang lepas. Kali pertama Skuad 69 PDRM Sarawak menyertai perbarisan seumpama ini ialah pada 31 Ogos 2007 yang lalu sempena menyambut perayaan Hari Kemerdekaan Ke-50 tahun Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Bandaraya Miri

Berikut ini ialah jadual tugas dan pergerakan Kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak yang akan mengambil bahagian di dalam perbarisan sempena Hari Jadi TYT nanti:-

1. Majlis Taklimat Skuad 69
Isnin, 20 Oktober - 2.00 petang, di Pejabat Skuad 69.

2. Raptai 1 - 21 Oktober, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.

3. Raptai 2 - 22 Oktober, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.

4. Raptai Penuh - 23 Oktober, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.

5. Perbarisan Sebenar - 25 Oktober 2008, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.