Wednesday, July 27, 2011

INDEKS JENAYAH SARAWAK TURUN 7.7 PERATUS - DCP MOHMAD SALLEH

KUCHING: Sarawak berjaya mencatat penurunan indeks jenayah sebanyak 7.7 peratus pada tahun lepas.

Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata, hasil usaha gigih dan komitmen daripada semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kontijen Sarawak adalah antara negeri yang rendah kadar jenayahnya.

(Foto - Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak, 19 Julai 2011, di IPK Sarawak)

“Sarawak berjaya menurunkan 7.7 peratus indeks jenayah keseluruhan bagi tahun 2010 dan 21.48 peratus bagi jenayah jalanan iaitu melepasi tahap peratusan yang ditetapkan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) iaitu lima peratus bagi indeks jenayah dan 20 peratus bagi jenayah jalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat PDRM Kontinjen Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Negeri yang baru, Datuk Mortadza Nazarene, Pengarah Logistik PDRM Zulkifli Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Law Hong Soon.

Mohmad yang kini pesuruhjaya Polis Kuala Lumpur berkata, dalam memastikan Sarawak adalah antara negeri yang rendah kadar jenayahnya, pendekatan dengan cara efektif selaras dengan pelaksanaan konsep kepolisan masyarakat dan kepolisan berintegrasi perlu terus diberi penekanan sewajarnya di semua peringkat.

Menurutnya, langkah-langkah pencegahan dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Marin dan Unit Udara serta semua Ibu Pejabat Polis Daerah dalam semua operasi bersepadu menyumbang terhadap penurunan angka tersebut.

“Selain itu, saya amat berbangga kerana masyarakat turut aktif dalam aktiviti kepolisan masyarakat dengan menyertai Skim Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela dan penglibatan ini menunjukkan kesedaran terhdap tanggungjawab bersama masyarakat dalam menangani jenayah di Kontinjen Sarawak ini,” katanya yang telah bertugas selama tiga tahun tujuh bulan di Bumi Kenyalang.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa legasinya itu dapat diteruskan oleh Mortadza dengan kebolehan dan pengalaman yang ada dan berharap beliau akan dapat terus menumpukan kemudahan logistik serta penyeliaan terhadap pegawai dakwa agar terus melaksanakan tugas dengan baik selain memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat sekeliling.

Mortadza berkata, Mohmad telah meletakkan satu landasan baik untuk beliau teruskan dan akan berusaha sedaya upaya untuk menambah baik perkhidmatan polis di negeri ini.

“Saya ingin meneruskan legasi tersebut supaya kita boleh duduk dalam aman damai dari segi keselamatan dan keamanan supaya kita dapat menjalankan tugas dan kerajaan pun dapat menjalankan pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

DCP DATO' MOHMAD SALLEH KINI KETUA POLIS KUALA LUMPUR

Seramai 12 orang pegawai kanan polis naik pangkat berkuatkuasa Rabu, 20 Julai 2011.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, kenaikan pangkat serta pertukaran jawatan itu telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis Diraja Malaysia (SPP).

Proses itu menyaksikan jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur kini dipegang oleh DCP Dato' Mohmad Salleh (Foto kiri) yang sebelum ini Pesuruhjaya Polis Sarawak dan jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak pula disandang oleh DCP Datuk Mortadza Nazarene yang sebelum ini Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Ketua Polis Kelantan SAC Datuk Abd Rahim Hanafi pula menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) dengan memangku pangkat DCP.

Ketua Polis Perlis SAC Datuk Tajudin Md Isa pula bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah I, JSJK Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, SAC Huzir Mohamed juga bertukar ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas JSJ Bukit Aman.

Timbalan Komander UUP (Operasi) Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman ACP Kamarulzaman Md Jan pula dinaikkan pangkat ke jawatan Komander Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi IPK Perak ACP Zulkifli Hassan pula akan menjawat jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak dengan memangku pangkat SAC.

Jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman pula disandang oleh ACP Hasanuddin Hassan dengan memangku pangkat SAC. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pengurusan IPK Kedah.

Timbalan Ketua Polis Perlis ACP Zull Aznam Haron pula dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Perlis dengan memangku pangkat SAC.

ACP Nor Azizan Anan yang sebelum ini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas, JSJ Bukit Aman pula akan ditukarkan sebagai Ketua Bahagian (D10) Kepolisan Am, Makmal Forensik PDRM, JSJ Bukit Aman.

Jawatan Timbalan Ketua JSJ Risikan/Operasi IPK Perak pula akan diisi oleh ACP Fadzil Ahmat yang sebelum ini merupakan Ketua Bahagian (D10) Kepolisan Am, Makmal Forensik PDRM, JSJ Bukit Aman.

Supt S.Sathiya Seelan pula akan bertukar menjadi Timbalan Komander (Operasi) Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP. Beliau sebelum ini adalah Pegawai Turus Gerakan/Risikan Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman.