Wednesday, July 27, 2011

INDEKS JENAYAH SARAWAK TURUN 7.7 PERATUS - DCP MOHMAD SALLEH

KUCHING: Sarawak berjaya mencatat penurunan indeks jenayah sebanyak 7.7 peratus pada tahun lepas.

Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata, hasil usaha gigih dan komitmen daripada semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kontijen Sarawak adalah antara negeri yang rendah kadar jenayahnya.

(Foto - Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak, 19 Julai 2011, di IPK Sarawak)

“Sarawak berjaya menurunkan 7.7 peratus indeks jenayah keseluruhan bagi tahun 2010 dan 21.48 peratus bagi jenayah jalanan iaitu melepasi tahap peratusan yang ditetapkan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) iaitu lima peratus bagi indeks jenayah dan 20 peratus bagi jenayah jalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat PDRM Kontinjen Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Negeri yang baru, Datuk Mortadza Nazarene, Pengarah Logistik PDRM Zulkifli Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Law Hong Soon.

Mohmad yang kini pesuruhjaya Polis Kuala Lumpur berkata, dalam memastikan Sarawak adalah antara negeri yang rendah kadar jenayahnya, pendekatan dengan cara efektif selaras dengan pelaksanaan konsep kepolisan masyarakat dan kepolisan berintegrasi perlu terus diberi penekanan sewajarnya di semua peringkat.

Menurutnya, langkah-langkah pencegahan dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Marin dan Unit Udara serta semua Ibu Pejabat Polis Daerah dalam semua operasi bersepadu menyumbang terhadap penurunan angka tersebut.

“Selain itu, saya amat berbangga kerana masyarakat turut aktif dalam aktiviti kepolisan masyarakat dengan menyertai Skim Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela dan penglibatan ini menunjukkan kesedaran terhdap tanggungjawab bersama masyarakat dalam menangani jenayah di Kontinjen Sarawak ini,” katanya yang telah bertugas selama tiga tahun tujuh bulan di Bumi Kenyalang.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa legasinya itu dapat diteruskan oleh Mortadza dengan kebolehan dan pengalaman yang ada dan berharap beliau akan dapat terus menumpukan kemudahan logistik serta penyeliaan terhadap pegawai dakwa agar terus melaksanakan tugas dengan baik selain memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat sekeliling.

Mortadza berkata, Mohmad telah meletakkan satu landasan baik untuk beliau teruskan dan akan berusaha sedaya upaya untuk menambah baik perkhidmatan polis di negeri ini.

“Saya ingin meneruskan legasi tersebut supaya kita boleh duduk dalam aman damai dari segi keselamatan dan keamanan supaya kita dapat menjalankan tugas dan kerajaan pun dapat menjalankan pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

No comments: