Wednesday, March 24, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS KE-203

Berikut ini ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak sempena menyambut Hari Ulangtahun Ke-203 Polis Diraja Malaysia yang dirayakan esok, 25 Mac 2010.
PDRM KE-203 TAHUN
(1807 - 2010)


DSP (B) Muhamad Yusof Isa Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak ingin mengucapkan selamat menyambut ulangtahun ke-203 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan merayakannya pada 25 Mac 2010 ini.


2. Walaupun lebih daripada 5,000 anggota Skuad 69 PDRM tidak lagi berada di dalam pasukan, namun kami turut terpanggil untuk menyatakan kebanggaan di atas tahap kecemerlangan pasukan polis Negara ini sejak ia ditubuhkan pada tahun 1807 hingga kini.


3. Di tahap usia 203 tahun, tentunya PDRM telah melangkah jauh untuk menjadi sebuah pasukan keselamatan yang lebih perkasa dengan jumlah keanggotaannya yang kini mencecah 102,037 pegawai dan kakitangan di seluruh Negara.


4. Sejumlah 98,747 anggota dan para pegawai PDRM di seluruh Negara juga bakal menikmati skim perkhidmatan baru yang membolehkan mereka mendapat penyelarasan tiga pergerakan gaji tahunan dan juga kenaikan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP) yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2009.


5. Walaupun tarikh pembayarannya masih belum ditetapkan namun Ini merupakan usaha berterusan pihak kerajaan dalam menjaga kepentingan dan kebajikan anggota polis di seluruh Negara.


6. Dalam pada itu, kami juga mengharapkan agar pihak Kementerian Dalam Negeri dapat segera mewujudkan bahagian veteran (bekas Polis) yang bertaraf jabatan supaya masalah kebajikan bekas-bekas anggota pasukan polis dapat diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.


7. Selama ini bekas-bekas anggota pasukan polis hanya dapat bersandar kepada beberapa persatuan yang sedia ada termasuk Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak. Dengan adanya sebuah jabatan khas yang bertanggungjawab terhadap kebajikan bekas-bekas anggota ini maka dapatlah persatuan-persatuan seumpama ini bergerak dengan lebih terancang dengan mendapat sokongan oleh pihak berkuasa.


8. Keazaman pasukan polis untuk menurunkan kadar kes jenayah di seluruh Negara juga kelihatan menampakkan kejayaannya kerana statistik pada tahun lepas menunjukkan sebanyak 209,417 kes jenayah yang berlaku, berbanding sebanyak 211,645 kes pada tahun sebelumnya iaitu pada tahun 2008. Penurunan sebanyak 2,228 kes merupakan tahap kejayaan yang patut diberikan penghargaan kepada PDRM.


9. Kami mengharapkan supaya PDRM terus diperkasakan walaupun banyak cabaran yang dihadapi menjelang usianya yang ke-203 pada 25 Mac ini. Sebagai sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh bekas-bekas pejuang di dalam Skuad 69 PDRM, kami akan tetap berdiri teguh mempertahankan maruah pasukan polis di kaca mata rakyat.


10. Sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat di Negara ini, kami juga berjanji akan meneruskan semangat ‘espirit de corp’ untuk bekerjasama dengan pasukan polis dalam usaha memerangi jenayah di kalangan masyarakat. Kami berpendapat usaha membanteras jenayah tidak hanya terletak di bahu pasukan polis, malah anggota masyarakat juga mempunyai peranan untuk mewujudkan suasana yang kondusif tanpa jenayah.


11. Untuk mencapai tujuan itu, Skuad 69 PDRM Sarawak sedang berusaha untuk menubuhkan ‘Kor Keselamatan Komuniti 69’ di setiap lokaliti dalam pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Sarawak.


12. Kami sedang mengadakan perundingan dengan beberapa pihak yang bakal menjadi ‘Rakan Penaja’ untuk mempastikan kor ini dapat berjalan dengan penglibatan semua pihak dari peringkat komuniti hinggalah di peringkat sektor kerajaan. Kami amat berterima kasih di atas sokongan dan juga tahap kerjasama yang telah diberikan oleh pelbagai pihak selama ini kepada Skuad 69 PDRM Sarawak.


KENAPA HARUS ADA YANG MENGGANGGU URUSAN PDRM?
oleh Abdul Rahman Hashim

Sehari dua ini agak tergamam juga saya apabila mengikuti kegelisahan yang dipaparkan oleh IG Tan Sri Musa Hassan yang 'terhidu' dengan apa yang didakwanya sebagai campur tangan pihak ketiga yang cuba mencampuri urusan PDRM yang beliau pimpin sekarang ini.

Tanpa menyebutkan nama pihak yang terbabit itu, Tan Sri Musa Hassan menyatakan bahawa terdapat arahan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu kepada pegawai bawahannya tanpa pengetahuan pengurusan atasan.

Menurutnya trend seumpama ini menyalahi 'Seksyen 4 Akta Polis 1957' yang menegaskan bahawa semua arahan dan kawalan PDRM adalah di bawah KPN dan bukannya pihak lain.

Mengulas isu ini, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Foto di atas) berkata bahawa kekecewaan yang ditunjukkan oleh KPN itu haruslah diambil ingatan oleh semua pihak yang terbabit di dalam PDRM.

Menurutnya, jika benar apa yang didakwa oleh KPN itu berlaku, maka sewajarnya pihak Bukit Aman mengeluarkan arahan segera kepada semua peringkat di dalam pengurusan PDRM supaya tidak menjadikan PDRM sebagai batu loncatan kepada pihak yang berkepentingan politik.

Muhamad Yusof juga berkata selama ini memang rakyat sedang memerhatikan ketelusan dan integriti pasukan Polis kita, terutama yang membabitkan kes-kes jenayah yang perlukan pemantauan dan tindakan pantas pihak Polis.

"Saranan KPN itu hendaknya disematkan oleh semua pegawai yang terbabit, bukan sahaja di peringkat kontinjen dan daerah, malah pengurusan di peringkat Bukit Aman juga hendaklah menjaga imej PDRM supaya tidak di cucuk hidung, tegasnya lagi.

Muhamad Yusof juga meminta agar semua lapisan masyarakat di negara ini tidak memandang serong terhadap kewibawaan pasukan polis yang sentiasa bersiap siaga untuk mengawal keselamatan negara, terutama yang membabitkan kes jenayah.

Rakyat haruslah bijak untuk mempastikan keamanan negara terus terpelihara dengan memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan keselamatan, terutamanya kepada pasukan polis.

Sempena dengan sambutan Hari Polis yang jatuh pada tanggal 25 Mac ini, Skuad 69 PDRM Sarawak turut berbangga dengan pencapaian PDRM selama ini. Banyak cabaran dan onak yang telah direntasi oleh pasukan polis, namun berbekalkan dengan semangat 'espirit de corp', PDRM kelihatannya terus diperkasa dan tetap unggul!