Friday, May 29, 2009

YB AHMAD LAI BUJANG, AHLI PARLIMEN SIBUTI SERAH SUMBANGAN KEPADA SKUAD 69 PDRM SARAWAK

YB Ahmad Lai Bin Bujang (Foto, kanan), Ahli Parlimen Sibuti telah bermurah hati menyerahkan sumbangannya sebanyak RM1,500 kepada Skuad 69 PDRM Sarawak. Satu majlis penyerahan sumbangan tersebut telah berlangsung di Dynasty Hotel Miri hari ini (29 Mei 2009) yang turut disertai oleh wakil-wakil NGO yang lainnya.

Affandi Ahmad dan Mohamad Rashidi telah mewakili Skuad 69 PDRM Sarawak untuk menerima cek sumbangan tersebut daripada YB Ahmad Lai Bujang. Sebelum ini, YB Ahmad Lai telah menghadiri ke majlis makan malam sempena Jelajah Amal Skuad 69 PDRM Sarawak yang diadakan pada 24 April yang lalu di Hotel Imperial Miri.

Warga Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada YB Ahmad Lai di atas kprihatinannya terhadap bekas-bekas anggota polis di dalam Skuad 69.


BONG KEE CHOK KETUA PARAKU DI SARAWAK, MANAKALA CHIN PENG KETUAI PKM DI MALAYA.


(Foto: Bong Kee Chok)

Isu mutakhir yang sedang hangat diperkatakan di dalam media tempatan negara kita hari ini ialah mengenai KOMUNIS. Komunis merupakan suatu bentuk ideologi yang diimpot daripada negara China dan juga Rusia.

Pergerakan komunis di negara kita telah dilihat sebagai satu ancaman terbesar kepada rakyat jelata sebelum termeterai suatu perjanjian damai pada 2 Disember 1989 di Haadyai, Thailand diantara kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Di Sarawak bumi kenyalang juga tidak terkecuali daripada menerima tentangan hebat pengganas komunis yang digerakkan oleh Partai Rakyat Kalimantan Utara atau dikenali dengan nama PARAKU yang diketuai oleh BONG KEE CHOK.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
(Foto di atas: Bong Kee Chok (di tengah-tengah) ketika bersama-sama dengan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak (Kanan) dan Setiausaha Eksekutif Skuad 69 PDRM Sarawak, Abdul Rahman Hashim (Kiri). Detik pertemuan itu berlangsung di kediaman Tun Rahman Yakub di Petra Jaya, Kuching pada 1 Ogos 2006)
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PARAKU terlebih awal telah merintis jejak perdamaian setelah termeterainya Perjanjian Sri Aman pada 21 Oktober 1973, yang melibatkan pihak PARAKU dengan kerajaan Malaysia. Sebagai Pengarah Komisar Politik PARAKU, Bong Kee Chok telah mendepani hasratnya untuk kembali ke pangkuan masyarakat dengan persetujuan meletakkan senjata seterusnya berdamai dengan pihak kerajaan pada tahun yang berkenaan.

Sementara itu, CHIN PENG pula yang memimpin Parti Komunis Malaya atau PKM setelah dua kali diadakan perundingan bermula dengan 'Perundingan Baling' pada tahun 1955 sebelum merdeka yang dilihat sebagai gagal. Namun setelah berlakunya perundingan susulan pada tahun 1989, telah menyaksikan episod pertentangannya dengan pihak kerajaan Malaysia telah berjaya ditamatkan.

(Foto: Chin Peng (di tengah) bersama dengan pemimpin-pemimpin kanan PKM)

Perjanjian damai di Haadyai, di Selatan Thailand pada 2 Disember 1989 sebenarnya merupakan titik tolak yang telah mendorong kepada suatu bentuk persefahaman sebagai misi perdamaian. Chin Peng yang turut disertai bersama Rashid Maidin dan Abdullah CD iaitu pemimpin kanan Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya telah bersepakat untuk menamatkan perjuangan mereka yang telah bersarang di hutan belantara sekian lamanya dengan beberapa persetujuan yang telah dicapai dengan pihak kerajaan Malaysia.

Diantara Bong Kee Chok dan Chin Peng, sebenarnya mereka ini sama sahaja. Mereka berdua adalah pemimpin komunis. Kedua-duanya juga telah melakukan pengkhianatan yang maha dahsyat setelah pasukan gerila mereka bertempur dengan pasukan tentera dan pasukan polis sehingga mengakibatkan ribuan nyawa yang terkorban. Ketumbukan pasukan tentera dan pasukan polis terpaksa diperbesarkan untuk menentukan kesiapsiagaannya mampu berhadapan dengan anacaman pengganas komunis.

Pasukan Polis Hutan (PPH) yang terbentuk di bawah panji-panji PDRM terpaksa diperkuatkan pada tahun 1969, setelah lebih daripada lima ribu anak-anak muda dari seluruh negara direkrutkan sebagai 'mata-mata' yang bertujuan untuk memusnahkan pergerakan gerila komunis yang terdapat di semenanjung Malaysia dan juga di Sarawak.

(Foto - Anggota PPH ketika dalam operasi di Tg. Kunyit, Sarawak)

Setelah tamat latihan, anggota-anggota Skuad 69 ini telah menyarung baju hijau untuk dikerahkan menyertai berbagai operasi di seluruh negara termasuk di Sarawak. Sesungguhnya Chin Peng dan Bong Kee Chok begitu ghairah untuk mempastikan negara ini dikomuniskan dengan falsafah ideologi marxisme dan leninisme.

Paraku dan PKM sebenarnya mereka berselindung di sebalik tirai kemerdekaan kononnya negara ini belum bebas lagi dari cengkaman kolonialisme (penjajah), maka perjuangan mereka dikatakan untuk menghalau penjajah. Untuk tujuan itu, pasukan gerila mereka terpaksa berperang dengan pasukan keselamatan negara. Tindakan ini menyebabkan negara berada di dalam kondisi yang merbahaya, dan rakyat sentiasa berada dalam ketakutan.

(Foto - Anggota PPH menyeberangi Sg. Rajang di Sarikei, Sarawak)

Bong Kee Chok dan Chin Peng harus dipertanggungjawabkan di atas pengkhianatan dan kezaliman yang telah mereka lancarkan selama ini. Walaupun negara sudah bebas daripada anacaman pengganas komunis, namun rakyat negara ini masih dibelenggu dengan ingatan dan nostalgia ngeri yang memeritkan.

Bong Kee Chok bernasib baik kerana dirinya telah diterima oleh masyarakat di negeri Sarawak. Dirinya dikatakan telah mendapat layanan yang lebih baik jika dibandingkan dengan nasib perajurit dan wira-wira yang kini menjadi pesara veteran.

Nasib Chin Peng tidak sebaik Bong Kee Chok, kerana Chin Peng kini berada di dalam buangan. Kerajaan masih belum boleh menerimanya untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Chin Peng yang mengharapkan simpati untuk pulang ke tanah airnya, tetapi bumi yang disimbahnya dengan darah pejuang yang menentangnya telah bersumpah untuk tidak mahu melihatnya berada di bumi Malaaysia.

Biarlah Chin Peng menghabiskan sisa-sisa hidupnya itu di alam buangan, kerana dirinya masih tersalut dengan darah komunis.

Klik pada gambar ini untuk imej lebih besar
Keratan Akhbar: Kenyataan resmi yang dibuat oleh Presiden
Skuad 69 PDRM Sarawak berkaitan dengan isu Chin Peng
yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia muka 12
bertarikh 28 Mei 2009


Sunday, May 24, 2009

RAKYAT MALAYSIA BELUM BOLEH TERIMA 'CHIN PENG'...

Rakyat negara ini masih belum boleh menerima kehadiran Chin Peng untuk kembali ke tanah airnya. Jika ditanya kepada wira-wira pejuang di dalam pasukan Angkatan Tentera dan juga pasukan polis yang pernah bertempur dengan gerila komunis yang dipimpin oleh Chin Peng semasa negara ini diancam oleh pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu, tentunya mereka akan terkenang betapa peritnya cabaran yang telah dilalui sehingga memaksa ribuan nyawa yang telah terkorban, dan tidak kurang juga yang telah menanggung derita dengan kecacatan kekal yang dialami akibat tersadung jerangkap samar yang diperangkap oleh gerila-gerila komunis yang dikepalai oleh Chin Peng.

Oleh hal yang demikian, seluruh warga Skuad 69 PDRM Sarawak yang pernah berjuang di dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) untuk menjaga keselamatan awam ketika negara di dalam darurat dahulu tidak pernah lupa betapa kejamnya gerombolan pengganas komunis ini yang telah membunuh banyak nyawa, sehingga negara dan rakyatnya turut merasakan terancam.

(Foto: Chin Peng bersama Rashid Maidin (di belakangnya) ketika hendak menuju ke meja Rundingan Damai Baling pada 28 & 29 Disember 1955)

Tentunya Chin Peng akan mereka cipta pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan yang pernah mereka cerobohi. Negara yang telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, telah dinafikan oleh Chin Peng. Semangat patriotik cintakan negara ini tidak tertanam di dalam sanubari pemimpin Parti Komunis Malaya ini. PKM sebenarnya mahu mendominasikan negara ini dengan fahaman komunisme, tetapi rakyat telah menolaknya.

Chin Peng terpaksa mengerahkan segala kekuatannya dan telah diperkuatkan lagi dengan penubuhan Rejimen ke-10 (Tentera Pembebasan Nasional Malaya - TPNM) yang dipimpin oleh Abdullah CD. Rejim komunis ini telah bersarang di hutan belantara dengan mengangkat senjata untuk menentang pasukan keselamatan yang mereka anggap sebagai anjing kerajaan.

Benteng pertahanan negara terpaksa diperkuatkan di perbatasan tanah air kita, kerana PKM telah bertindak ganas memusnahkan balai-balai polis, merampas senjata, mengugut rakyat marhain malah mereka bertindak kejam membunuh sesiapa saja yang dilihat pro kepada pasukan keselamatan.

Oleh itu sekali lagi kami daripada warga Skuad 69 PDRM Sarawak menggesa pihak kerajaan supaya tidak melayani karenah Chin Peng ini. Kami tidak bersetuju dengan pandangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang mahukan supaya kerajaan menerima semula kehadiran bekas pemimpin PKM ini, dengan beralaskan hujah kemanusiaan.

Kita mahukan Chin Peng memahami aspirasi rakyat negara ini yang tidak boleh memaafkannya lagi kerana terlalu banyak angkara khianat yang telah dipalitkannya terhadap negara ini.

Malaysia tidak perlukan lagi spesis seperti Chin Peng ini.


Monday, May 18, 2009

SKUAD 69 PDRM SARAWAK ADAKAN MESYUARAT AGUNG TAHUNANNYA PADA 20 JUN 2009, DI BINTULU.

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak akan mengadakan mesyuarat agung tahunan 2009 pada hari Sabtu, 20 Jun 2009, jam 3.00 petang, bertempat di New World Suites, di Bintulu. Mesyuarat agung kali ke-3 ini akan dirasmikan oleh YB Datuk Haji Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak (N.58).

Sempena dengan mesyuarat agung kali ini, Skuad 69 PDRM Sarawak juga akan mengadakan Expo yang bertemakan 'Keamanan Satu Malaysia' yang akan memaparkan bahan-bahan sejarah perjuangan anggota pasukan keselamatan khususnya ketika mempertahankan negara ini daripada ancaman pengganas komunis.

Expo ini akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 19 hingga 21 Jun 2009, yang akan diadakan di ParkCity Mall, Bintulu. Selain Skuad 69, expo ini juga akan disertai oleh Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Negeri Sarawak dan juga daripada Jabatan Arkib Negara Negeri Sarawak. Manakala Jabatan Kesihatan Daerah juga akan terlibat dengan membuka kaunter pemeriksaan kesihatan sepanjang expo ini berjalan.






Wednesday, May 13, 2009

PENGUMUMAN
MESYUARAT AHLI JAWATANKUASA SKUAD 69 PDRM SARAWAK

Mesyuarat ahli jawatankuasa Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:-

Tarikh:
Hari Sabtu, 16 Mei 2009
Masa:
3.00 petang
Tempat:
Bilik Mesyuarat Skuad 69 PDRM Sarawak
Jalan Rubber, Kuching.

Semua AJK yang berkenaan dijemput hadir. Terima kasih.


Maklumat daripada: Urusetia Skuad 69 PDRM Sarawak.
SKUAD 69 PDRM SARAWAK DEKATI MASYARAKAT UNTUK PERANGI JENAYAH

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengambil langkah ke hadapan dengan mendekati masyarakat menerusi program Jelajah Amalnya ke seluruh daerah di setiap Bahagian di negeri ini, dengan membawa satu mesej untuk membantu mensifarkan jenayah yang kian meningkat jejak akhir-akhir ini.

"Dalam kata lain program jelajah amal ini diadakan adalah untuk memasyarakatkan Skuad 69 PDRM Sarawak sebagai sebuah pertubuhan yang cintakan keamanan untuk mengajak masyarakat supaya bersama-sama memerangi jenayah," demikian kata Presiden Skuad 69, DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Foto), ketika berucap di majlis makan malam di Miri.

DSP (B) Muhamad Yusof Isa turut menarik perhatian dengan berkata bahawa Skuad 69 PDRM Sarawak menerusi aktiviti jelajahnya akan menubuhkan 'Skuad Anti Jenayah 69' yang berperanan untuk menjadi mata dan telinga kepada pasukan polis.

"Saya percaya dengan adanya pengalaman yang ditimba semasa masih berkhidmat dalam pasukan polis, anggota skuad ini mampu menggalas tugas ini dengan baik," ujar beliau sambil mengaku semangat mereka tidak pernah luntur walaupun telah bersara.

Di dalam ucapannya juga, DSP (B) Muhamad Yusof Isa telah menyatakan bahawa program jelajah amal ini juga pihak persatuan akan mengadakan pameran bergerak untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan tentang komitmen pasukan keselamatan terutamanya pasukan polis dalam menghadapi ancaman pengganas komunis ketika negara menghadapai darurat.

Dalam pameran ini, persatuan ini juga akan mendapat kerjasama daripada Jabatan Arkib Negara Sarawak yang akan membekalkan bahan-bahan maklumat yang berkaitan dengan perjuangan pasukan keselamatan semasa melaksanakan RASCOM sekitar tahun 1970-an, di negeri ini.

Turut menyertai pameran jelajah amal Skuad 69 PDRM Sarawak ialah pihak Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Anti Dadah (AADK), Jabatan Kesihatan Daerah dan juga PDRM sendiri.

(Sila lihat koleksi gambar sempena majlis makan malam Jelajah Amal Skuad 69 PDRM Sarawak di dalam posting seperti di bawah ini.

SEKITAR MAJLIS MAKAN MALAM JELAJAH AMAL SKUAD 69
PDRM SARAWAK DI IMPERIAL HOTEL, MIRI - 24 APRIL 2009


YB ANDY CHIA CHU FATT, Adun Pujut (Di tengah-tengah) bersama-sama
dengan Ahli Jawatankuasa Pengelola Malam Amal.




Presiden & Tim. Presiden - aksi berkaraoke


Kiri: Ketika melancarkan program Jelajah Amal Skuad 69 PDRM Sarawak.
Kanan: Para Penaja dengan replika cek masing-masing


BERUCAP. YB Andy Chia Chu Fatt (Kiri), DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Kanan)


Kiri: Abd. Rahman (MC). Kanan: Meja VVIP


Susana di meja makan.


Kiri: VIP diraikan di bilik VIP Hotel Imperial.
Kanan: YB Andy Chia Chu Fatt
diberi sambutan.


Kiri: YB Ahmad Lai Bujang (Ahli Parlimen Sibuti) bersama DSP (B) Arifin Adenan.
Kanan: YB Ahmad Lai diberikan bunga 'roset' oleh penyambut tetamu.
SEKITAR PAMERAN JELAJAH AMAL DI IMPERIAL MALL MIRI
24. 25 & 26 APRIL 2009









Saturday, May 9, 2009

UCAPAN PRESIDEN SKUAD 69 PDRM SARAWAK DI DALAM MAJLIS MAKAN MALAM MESRA JELAJAH AMAL PADA 24 APRIL 2009

ASSALAMU ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

DAN SALAM SEJAHTERA.


ALHAMUDLILLAH, TERLEBIH DAHULU SAYA INGIN MENGUCAPKAN SYUKUR KE HADRAT ALLAH SWT, KERANA DENGAN BERKAT DAN LIMPAH KURNIANYA JUGA, KITA SEMUA TELAH DAPAT BERADA DI DALAM MAJLIS MAKAN MALAM MESRA SEMPENA PROGRAM JELAJAH AMAL SKUAD 69 PDRM SARAWAK YANG JULUNG KALI DIADAKAN, DI MANA BAHAGIAN MIRI MERUPAKAN BAHAGIAN YANG PERTAMA YANG KAMI SINGGAH DI DALAM SIRI JELAJAH AMAL KE SELURUH NEGERI SARAWAK.


2. SEBELUM SAYA MENERUSKAN UCAPAN INI, SAYA JUGA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN YANG BERHARGA INI UNTUK MENGUCAPKAN SETINGGI PENGHARGAAN DAN JUTAAN TERIMA KASIH YANG TIDAK TERHINGGANYA KEPADA TETAMU KEHORMAT KITA PADA MALAM INI, IAITU YB DATUK PETER CHIN FAH KUI, MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR MERANGKAP AHLI PARLIMEN MIRI, YANG JUGA SEORANG AHLI KEHORMAT KEPADA SKUAD 69 PDRM SARAWAK, YANG TELAH SUDI HADIR SEKALI LAGI KE MAJLIS ANJURAN SKUAD 69 PDRM SARAWAK.


3. SEBELUM INI, YB DATUK PETER CHIN JUGA TELAH BERSAMA-SAMA DENGAN SKUAD 69 PDRM SARAWAK DI DALAM SATU MAJLIS SAMBUTAN RAMAH TAMAH AIDILFITRI YANG DIADAKAN PADA TAHUN 2007 YANG LALU BERTEMPAT DI KEM BATALION 12 PASUKAN GERAKAN AM MIRI.


4. SAYA JUGA BAGI PIHAK SELURUH WARGA SKUAD 69 PDRM SARAWAK INGIN MENGAMBIL PELUANG INI UNTUK MERAKAMKAN UCAPAN TAHNIAH KEPADA YB DATUK KERANA TELAH DIKEKALKAN DI DALAM BARISAN JEMAAH MENTERI YANG BARU SAJA DIBENTUK OLEH PERDANA MENTERI KITA YANG BARU, IAITU YAB DATUK SERI MOHD. NAJIB TUN RAZAK PADA DUA MINGGU YANG LEPAS, DENGAN POTFOLIO YANG BARU, SEBAGAI MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR. KITA BERIKAN TEPUKAN TAHNIAH KEPADA BELIAU.


5. TENTUNYA KAMI JUGA TURUT BERGEMBIRA DI ATAS PERLANTIKAN DATUK DI KEMENTERIAN YANG BARU INI, DAN KAMI YAKIN BAHAWA YB DATUK PETER CHIN AKAN SENTIASA ‘DELIVER’ DENGAN TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB YANG BARU INI SEBAGAIMANA KECEMERLANGANNYA DI DALAM KEMENTERIAN LAMANYA, DI KEMENTERIAN PERLADANGAN, PERUSAHAAN DAN KOMIDITI.

TUAN PENGERUSI, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKELIAN.


6. SAYA JUGA BAGI PIHAK WARGA SKUAD 69 PDRM SARAWAK INGIN JUGA MERAKAMKAN UCAPAN TERIMA KASIH DI ATAS KEHADIRAN YB ENCIK AHMAD LAI BUJANG, AHLI PARLIMEN SIBUTI, BEGITU JUGA KEPADA YB ENCIK ANDY CHIA CHU FATT, ADUN PUJUT YANG JUGA AHLI KEHORMAT SKUAD 69 PDRM SARAWAK DI ATAS KESUDIAN MENGHADIRI KE MAJLIS MAKAN MALAM INI.


7. KEHADIRAN YANG BERHORMAT BERDUA TERMASUK DENGAN KEHADIRAN YBHG TIMBALAN RESIDEN BHG MIRI DAN TETAMU KHAS YANG LAINNYA KE MAJLIS INI KAMI RASAKAN SEBAGAI SUATU PENGHORMATAN YG TINGGI YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA SKUAD 69 PDRM SARAWAK. MUDAH-MUDAHAN JALINAN AKRAB DIANTARA SKUAD 69 PDRM SARAWAK DENGAN AHLI-AHLI YANG BERHORMAT INI DAPAT DISERASIKAN LAGI DEMI UNTUK KEBAIKAN KITA BERSAMA.


8. SKUAD 69 PDRM SARAWAK MERUPAKAN SEBUAH PERSATUAN KEBAJIKAN YANG DIANGGOTAI OLEH BEKAS-BEKAS PEJUANG DI DALAM PDRM YANG TELAH MENABURKAN KHIDMAT BAKTINYA KEPADA NUSA DAN BANGSA SEJAK TAHUN 1969 LAGI SEHINGGALAH KAMI MENINGGALKAN PASUKAN BERMULA DARI TAHUN 2006.


9. HARI INI KESEMUA PEJUANG SKUAD 69 PDRM INI TELAH PUN MENJADI PESARA POLIS YANG BERKELANA SEBAGAI SEORANG POLIS PENCEN SETELAH LEBIH 36 TAHUN BERGELUMANG, BERJUANG MENENTANG MUSUH-MUSUH NEGARA SEJAK ERA PASCA KOMUNIS HINGGALAH GERILA KOMUNIS INI MENAMATKAN KEGANASANNYA PADA TAHUN 1989 DI SEMENANJUNG DAN PADA TAHUN 1990 PULA KOMUNIS SECARA KESELURUHANNYA TELAH BERJAYA DISIFARKAN DI SARAWAK BUMI KENYALANG.


10. KESEMUA RENTETAN PERJUANGAN MEMPERTAHANKAN MARUAH NEGARA TERCINTA INI HANYA TINGGAL KENANGAN DAN MENJADI NOSTALGIA YANG TIDAK MUDAH UNTUK KAMI MELUPAKANNYA. SESUNGGUHNYA GENERASI HARI INI AMAT BERTUAH KERANA TELAH DAPAT MEWARISI SEBUAH NEGARA YANG AMAN MAKMUR, DIMANA SEGENAP LAPISAN MASYARAKATNYA YANG BERBILANG BANGSA DAN KETURUNAN TELAH DAPAT MELAYARI KEHIDUPAN UNTUK MEMBINA SEBUAH NEGARA BANGSA YANG CEMERLANG.


11. KALAU DAHULU PADA TAHUN 1969, KAMI YANG BARU SAJA BERUSIA SEKITAR 19 DAN 20 TAHUN TELAH MEMASUKI PASUKAN POLIS DENGAN BERBEKALKAN SEMANGAT KENTAL UNTUK BERKORBAN APA SAJA DEMI NEGARA TERCINTA. PADA WAKTU ITU, KAMI TELAH MENYABUNG NYAWA BERTEMPUR DI DALAM HUTAN BELANTARA, KERANA GERILA KOMUNIS PARAKU TELAH BANGKIT MENGANGKAT SENJATA BERSAMA-SAMA DENGAN PARAKU UNTUK MENCEROBOH PERBATASAN NEGARA SEHINGGA KEAMANAN NEGERI INI TELAH DIGUGAT OLEH GERILA KOMUNIS INI.


12. BERBAGAI USAHA TELAH DILAKUKAN OLEH PIHAK PEMERINTAH KETIKA ITU UNTUK MENGEMBALIKAN KEAMANAAN KEPADA RAKYAT SEHINGGA TERBENTUKNYA RASCOM YANG BERTINDAK SEBAGAI BADAN PENGGERAK UTAMA DALAM USAHA MEMBANTERAS PENGARUH DAN IDEOLOGI KOMUNIS DI NEGERI SARAWAK.


13. SKUAD 69 PDRM SARAWAK YANG BERADA DI DALAM PASUKAN POLIS HUTAN KETIKA ITU JUGA TURUT TERLIBAT DENGAN PELBAGAI OPERASI, BERSAMA-SAMA DENGAN ANGKATAN TENTERA MENGGALAS SUATU TANGGUNGJAWAB UNTUK MENEGAKKAN KEAMANAN DEMI UNTUK MASA DEPAN NEGARA.


14. HARI INI SEBAHAGIAN BESAR DARIPADA PEJUANG SKUAD 69 PDRM INI SUDAH PUN MENCECAH USIA EMAS, MALAH ADA JUGA RAKAN-RAKAN KAMI YANG TIDAK SEMPAT BERUSIA EMAS SEPERTI KAMI HARI INI, KERANA MEREKA INI TELAH TERKORBAN DI MEDAN JUANG.


15. WALAUPUN KAMI KINI DILIHAT SEBAGAI ‘WARGA EMAS’, NAMUN SEMANGAT JUANG KAMI TIDAK PERNAH LUNTUR. SEBAGAI WARGA POLIS SEBELUM INI, KAMI TELAH DILATIH SEBAGAI SEORANG PEJUANG YANG SANGGUP MERENTASI APA JUA CABARAN. SEMANGAT ESPIRIT DE CORP TELAH TERTANAM SEJAK KAMI DIKERAH MEMASUKI HUTAN BELANTARA MEMBURU PENGGANAS KOMUNIS.


16. WALAUPUN SEMANGAT JUANG ITU TIDAK LAGI DI DALAM HUTAN, NAMUN HARI INI KAMI TETAP BERSEMANGAT UNTUK MENJADI WARGA NEGARA YANG PATRIOTIK, KERANA KAMI SENTIASA INSAF DAN SEDAR BETAPA GENERASI HARI INI PERLU DIGILAP SEMANGAT MEREKA UNTUK MEWARISI NEGARA YANG KIAN TERDEDAH DENGAN ANCAMAN-ANCAMAN YANG LAINNYA.


17. KALAU DAHULUI KOMUNIS MENJADI FENOMENANYA, TETAPI KINI MASYARAKAT KITA TERDEDAH PULA DENGAN ANCAMAN JENAYAH YANG LAINNYA. GERAKAN GANGSTERISME TERUTAMANYA DI BANDAR-BANDAR BESAR SEPERTI DI MIRI INI KINI MENJADI FOBEA KEPADA MASYARAKATNYA.


18. ANCAMAN JENAYAH SEUMPAMA INI SEMAKIN MENJADI FENOMENA YANG PERLU DIBANTERAS SEGERA. MASYARAKAT KITA HARI INI TERUTAMANYA DI BANDAR-BANDAR METROPOLITAN SERING JUGA TERDEDAH DENGAN KEJADIAN-KEJADIAN ROMPAKAN, PECAH RUMAH, SEHINGGALAH KEPADA JENAYAH BERAT YANG MELIBATKAN PEMBUNUHAN DI SANA SINI. SEMUA KES JENAYAH SEPERTI INI MERUPAKAN SUATU BENTUK ANCAMAN YANG MEMERLUKAN KERJASAMA SEMUA PIHAK.


19. SAYA PERCAYA PIHAK POLIS SENDIRI JIKA TANPA BANTUAN DAN KERJASAMA DARIPADA MASYARAKAT SEKELILING, SUDAH TENTU TIDAK DAPAT MEMBANTERAS KESELURUHANNYA KES-KES JENAYAH TERSEBUT.


20. DALAM HUBUNGAN INI, SAYA INGIN TEGASKAN SEKALI LAGI BAHAWA SKUAD 69 PDRM SARAWAK SANGGUP MEMBERIKAN KOMITMENNYA UNTUK MENUBUHKAN SKUAD ANTI JENAYAH 69 YANG BERPERANAN UNTUK MENJADI MATA DAN TELINGA KEPADA PASUKAN POLIS. PENGALAMAN KAMI YANG DITIMBA DI DALAM PASUKAN DAHULU AKAN KAMI TERAPKAN DI DALAM SKUAD ANTI JENAYAH 69 INI. MUNGKIN DI DALAM ASPEK-ASPEK KESELAMATAN, BANYAK PERKARA YANG PERLU DISUNTIKKAN DI DALAM BEBERAPA NGO YANG BERGERAK DI PERINGKAT AKAR UMBINYA.


21. SKUAD INI JUGA AKAN BEKERJASAMA DENGAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN MASYARAKAT AKAR UMBI SEPERTI RUKUN TETANGGA, PASUKAN RELA DAN JUGA PERSATUAN-PERSATUAN BELIA SUPAYA IKATAN KERJAMASA INI DAPAT MEMBANTU MEMPERKUKUHKAN BENTENG KESELAMATAN DARI PERINGKAT AKAR UMBI LAGI. KAMI SANGGUP UNTUK MENJALANKAN PROGRAM-PROGRAM BERBENTUK LATIHAN KREPADA PETUGAS-PETUGAS KESELAMATAN YANG DIBENTUK OLEH NGO-NGO TERTENTU INI.


22. SKUAD 69 PDRM SARAWAK AKAN MENGGEMBLENGKAN TENAGA DAN BUAH FIKIRAN DARIPADA SEMUA BEKAS-BEKAS ANGGOTA PASUKAN POLIS TERUTAMANYA ANGGOTA SKUAD 69 PDRM YANG HARI INI TELAH MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA ORANG AWAM UNTUK MENABURKAN KHIDMAT BAKTI KEPADA MASYARAKAT DEMI KESEJAHTERAAN SEJAGAT NEGARA MALAYSIA.


23. SAYA PERCAYA LANGKAH YANG DIAMBIL INI AKAN MENDAPAT SOKONGAN DARIPADA SEMUA AHLI YANG BERHORMAT YANG MENJADI WAKIL RAKYAT DI SEMUA KAWASAN DI NEGERI INI, KHUSUSNYA DI BAHAGIAN MIRI.

TUAN2 DAN PUAN2 YANG DHORMATI SEKELIAN,


24. UNTUK MENCAPAI TUJUAN INI, MAKA PIHAK KAMI TERDORONG UNTUK MELANCARKAN SATU PROGRAM XPDC YANG DINAMAKAN ‘JELAJAH AMAL SKUAD 69 PDRM SARAWAK’ YANG BERMULA HARI INI DI MIRI. PROGRAM INI BERTUJUAN UNTUK MEMASYARAKATKAN SKUAD 69 PDRM SARAWAK SEBAGAI SEBUAH PERTUBUHAN YANG CINTAKAN KEAMANAN UNTUK MENGAJAK MASYARAKAT SUPAYA BERSAMA-SAMA MEMERANGI JENAYAH.


25. PROGRAM INI AKAN DIGERAKKAN KE SELURUH BAHAGIAN DI NEGERI INI DENGAN MELIBATKAN JALINAN KERJASAMA DARIPADA PELBAGAI PIHAK DI DAERAH-DAERAK YANG TERBABIT SEPERTI IBU PEJABAT POLIS DAERAH, PEJABAT-PEJABAT RESIDEN, PEJABAT DAERAH, DAN JABATAN-JABATAN KERAJAAN PERINGKAT DAERAH YANG LAINNYA.


26. DI SETIAP BAHAGIAN ATAUPUN DAERAH YANG KAMI SINGGAH, SKUAD 69 PDRM SARAWAK AKAN MEMBAWA BERSAMA SUATU MESEJ BERBENTUK PAMERAN UNTUK MENGAJAK MASYARAKAT SUPAYA LEBIH MENGENALI DAN MEMAHAMI PERJUANGAN PASUKAN KESELAMATAN, TERUTAMANYA PASUKAN POLIS YANG TELAH BERTINDAK MENJAGA KETENTERAMAN AWAM.


27. DI DALAM PROGRAM JELAJAH INI JUGA, KAMI AKAN MEBDEKATI MASYARAKAT DENGAN PELBAGAI AKTIVITI YANG MELIBATKAN BANTUAN KEBAJIKAN KEPADA BALU-BALU PEJUANG SKUAD 69 PDRM, ANAK-ANAK YATIM TERMASUK WARGA EMAS YANG MEMERLUKAN BANTUAN. KAMI TIDAK KESEORANGAN DALAM MISI MEMBERI BANTUAN KEBAJIKAN INI. KAMI BERSYUKUR KERANA KAMI JUGA DIBANTU OLEH BEBERAPA SYARIKAT PENAJA TERMASUK ORANG PERSEORANGAN YANG TELAH TURUT MENJADI PENYUMBANG KEPADA AKTIVITI SKUAD 69 PDRM SARAWAK.


28. KAMI AMAT BERTERIMA KASIH KEPADA RANGKAIAN PENAJA-PENAJA INI YANG TELAH SUDI MENDERMA MENERUSI AKTIVITI SEPERTI MAKAN MALAM PADA HARI INI. SETIAP SUMBANGAN YANG DIBERIKAN AMAT MEMBERI MAKNA KEPADA KAMI YANG MASIH INGIN MENERUSKAN KHIDMAT BAKTI KEPADA MASYARAKAT.


29. SEBAGAI SEBUAH PERSATUAN, TENTUNYA KAMI AMAT MEMERLUKAN BANTUAN SEPERTI YANG TELAH TUAN-TUAN BERIKAN SELAMA INI. KAMI MASIH MEMERLUKAN PERHATIAN DAN JUGA SOKONGAN, KERANA USAHA KEBAJIKAN INI HARUSLAH BERTERUSAN. OLEH ITU, MELALUI KESEMPATAN YANG BERHARGA INI, BESARLAH HARAPAN KAMI AGAR SOKONGAN TUAN-TUAN INI TIDAK TERHENTI SETAKAT HARI INI.


30. BIARLAH HENDAKNYA JALINAN KERJASAMA INI DAPAT DILIPAT GANDAKAN LAGI DEI MASA-MASA HADAPAN, TERUTAMA UNTUK MENJAYAKAN PROGRAM JELAJAH KAMI KE SELURUH NEGERI SARAWAK INI.


31. KEPADA YB DATUK PETER CHIN, KAMI JUGA AMAT BERTERIMA KASIH DENGAN PERHATIAN DAN JUGA SOKONGAN YANG TELAH DIBERIKAN SELAMA INI KEPADA SKUAD 69 PDRM SARAWAK. PADA TAHUN 2007 YANG LALU, DATUK PETER CHIN TELAH BERMURAH HATI MENCURAHKAN DERMA BAKTINYA KEPADA TABUNG SKUAD 69 PDRM SARAWAK YANG TELAH PUN DIMANFAATKAN.


32. HARI INI TENTUNYA ADA KHABAR GEMBIRA SEKALI LAGI DARIPADA YB DATUK UNTUK KEBAIKAN KAMI SEMUA. SEBAGAI SEBUAH NGO YANG BERUNSURKAN KEBAJIKAN TENTUNYA SEGALA BANTUAN YANG DIBERIKAN ITU AKAN KAMI SALURKAN UNTUK KEBAIKAN PERSATUAN INI.


33. SEBAGAI MENGAKHIRI UCAPAN INI, SAYA SEKALI LAGI MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA TUAN-TUAN SEMUA YANG SUDI MENJADI TETAMU KEPADA MAJLIS MAKAN MALAM INI. TANPA KEHADIRAN TUAN-TUAN SEKELIAN TENTUNYA MAJLIS INI TIDAK SEMERIAH YANG DIHARAPKAN. NAMUN BEGITU SAYA TIDAK LUPA UNTUK MEMOHON MAAF SEKIRANYA TERDAPAT APA JUA BENTUK LAYANAN YANG MUNGKIN TIDAK MEMUASKAN HATI TUAN2 SEMUA.


34. SEKALI LAGI DIUCAPKAN RIBUAN TERIMA KASIH KEPADA YB DATUK PETER CHIN DAN KEPADA TETAMU-TETAMU KEHORMAT YANG LAINNYA. MUDAH-MUDAHAN JALINAN KEMESRAAN INI DAPAT DIPANJANGKAN DI DALAM MAJLIS-MAJLIS YANG LAINNYA.


SEKIAN SAHAJA UCAPAN SAYA, DAN SAYA SUDAHI DENGAN WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH, WASSALAMU ALAIKUM WR WBKTH.

Friday, May 1, 2009

JELAJAH AMAL SKUAD 69 PDRM KE SELURUH SARAWAK TELAH BERMULA DI MIRI

.
SEKITAR PAMERAN JELAJAH AMAL DI MIRI
PADA 24, 25 & 26 APRIL 2009, DI IMPERIAL MALL


Murid-murid sekolah diantara pengunjung pameran Skuad 69 di Miri


Ketika bergambar bersama-sama dengan wakil-wakil agensi yang mengambil
bahagian pameran Skuad 69 PDRM Sarawak.


Gambar Kiri - Presiden Skuad 69 bersama seorang Pegawai Jabatan Pertahanan Awam. Gambar Kanan -
Bersama dengan Encik Liew Ahli Kehormat
Skuad 69 PDRM Sarawak
yang turut berada di lokasi pameran.



Gambar Kiri - Bersama KPD Miri, ACP Jamaludin

Skuad 69 PDRM Sarawak telah melancarkan program 'Jalajah Amal' ke seluruh negeri Sarawak bermula dengan 'Bahagian Miri' yang telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Datuk Peter Chin Fah Kui, (Foto), Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Ahli Parlimen Miri di dalam satu majlis makan malam yang diadakan pada Jumaat, 24 April 2009, di Grand Ballroom, Imperial Hotel, Miri.

YB Encik Andy Chia Chu Fatt, Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut yang juga 'Ahli Kehormat' Skuad 69 PDRM Sarawak telah mewakili Datuk Peter Chin yang tidak hadir ke majlis ini di saat-saat akhir. Diantara tetamu VIP lain yang hadir meraikan majlis makan malam ini ialah YB Encik Ahmad Lai Bujang, Ahli Parlimen Sibuti, Encik Sebastian Ting, Setiausaha Politik Datuk Peter Chin dan Timbalan Residen Bahagian Miri, di samping Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak, DSP (B) Muhamad Yusof Isa dan Timbalannya DSP (B) Haji Arifin Haji Adenan.

Lebih 200 tetamu yang terdiri daripada para penaja yang mewakili syarikat-syarikat swasta sekitar Miri turut merai memeriahkan makan malam ini.

Jelajah Amal Skuad 69 ini merupakan satu aktiviti Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak yang akan bergerak ke seluruh negeri ini dengan membawa mesej keamanan di samping mendekati masyarakat setempat menerusi aktiviti-aktiviti amal bersama penaja. Menerusi Jelajah Amal ini juga, penganjur akan mengadakan pameran yang memaparkan kisah perjuangan pasukan keselamatan dalam menegakkan KEAMANAN khususnya di negeri Sarawak.

Di peringkat Bahagian Miri, pameran tersebut telah berjaya menambat hati orang ramai yang berkunjung ke Imperial Mall. Pameran 3 hari ini telah bermula pada 24, 25 dan 26 April 2009. Selain Skuad 69 PDRM Sarawak, turut mengambil bahagian di dalam pameran ini ialah Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan juga daripada Jabatan Kesihatan Daerah Miri yang telah membuka kaunter pemeriksaan kesihatan.

Siri jelajah amal Skuad 69 PDRM Sarawak akan diteruskan selepas ini di Bahagian Bintulu yang akan diadakan pada 19, 20 dan 21 Jun 2009.