Wednesday, August 3, 2011

SAMBUTAN HARI PAHLAWAN PERINGKAT NEGERI SARAWAK

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah merupakan antara yang menghadiri sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri yang julung kali diadakan di Sarawak, semalam.

Foto Kiri - TYT bersalaman dengan PW1 Kanang Langkau

Diadakan di pekarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri lama, majlis penuh bersejarah itu adalah bertujuan mengenang jasa-jasa perajurit dan wira negara.

Sambutan itu dimulakan dengan Perbarisan Kawalan Kehormatan Utama oleh Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja yang memiliki kekuatan seramai 103 anggota pelbagai pangkat.

Antara aktiviti menarik yang diadakan dalam majlis itu adalah deklamasi sajak Pahlawan, Persembahan Pantomin bertajuk ‘Kenangan Seorang Pahlawan’ dan pameran anjuran Jabatan Muzium Sarawak.

Hadir sama, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Alfred Jabu serta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Tan Sri William Mawan, Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Datuk Talib Zulpilip serta veteran-veteran perang seperti Pegawai Waran I (B) Temenggung Kanang Langkau.

Turut mengambil bahagian dalam majlis penuh bersejarah itu, pasukan badan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan lain-lain.

Majlis yang bertemakan ‘Negaraku Gemilang Pahlawan Dikenang’ itu turut diadakan serentak dengan peringkat persekutuan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur.