Saturday, June 6, 2009

BEKAS ANGGOTA SKUAD 69 DI SABAH AKAN TUBUHKAN PERSATUAN KEBAJIKAN PERJUANGKAN NASIB KELUARGA 69

Bekas-bekas anggota polis skuad 69 di negeri Sabah bakal dikumpulkan untuk menyertai persatuan kebajikan yang akan ditubuhkan di negeri tersebut. DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Foto) yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak telah diundang ke Sabah untuk mengadakan pertemuan dengan bekas-bekas anggota polis Skuad 69 bagi merintis penubuhan sebuah persatuan yang akan menjaga hal ehwal kebajikan keluarga anggota skuad 69 di negeri bawah bayu itu.


-------------------------------------------------------------
Foto Kiri - suasana perbincangan di antara Presidein Skuad 69 dengan Encik Gastan (Kanan). Foto Kanan: Presiden meletakkan kalungan bunga di hadapan tugu peringatan 'double 6 di Kota Kinabalu, Sabah.'
-------------------------------------------------------------
Di negeri Sarawak persatuan ini telah pun ditubuhkan dengan mendapat kelulusan daripada pendaftar pertubuhan negeri berkenaan pada 30 Ogos 2006. Lebih daripada 100 orang bekas anggota polis di dalam Skuad 69 telah menjadi ahli di dalam Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak. Persatuan ini akan mengadakan mesyuarat agung tahunan buat kali yang ke-3 pada 20 Jun 2009 ini, di Bintulu.

Bekas-bekas anggota Skuad 69 PDRM yang berada di Sabah telah lama menanti untuk menubuhkan persatuan yang akan memperjuangkan nasib dan masa depan keluarga anggota Skuad 69 yang telah meninggalkan pasukan sejak awal tahun 2006.

Sebahagian besar daripada bekas anggota ini telah menceburkan diri di dalam pelbagai sektor seperti berniaga, bercucuk tanam dan ada juga yang menyambung pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di gedung-gedung perniagaan sekitar bandaraya Kota Kinabalu dan bandar-bandar kecil yang lainnya di negeri ini.

Anggota Skuad 69 PDRM merupakan sebahagian daripada anggota polis yang telah diserapkan di dalam Pasukan Polis Hutan untuk dihantar ke perbatasan tanah air menyertai misi dan operasi memburu pengganas komunis.

DSP (B) Muhamad Yusof Isa merasa terharu dengan sambutan yang diberikan oleh sebahagian daripada bekas anggota Skuad 69 di negeri ini yang benar-benar mengharapkan persatuan seumpama ini dapat ditubuhkan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan menghargai daya usaha yang diambil oleh Encik Gastan Bin Sabah seorang bekas anggota pasukan polis di negeri ini yang telah mengumpulkan beberapa orang bekas anggota Skuad 69 untuk menjadi ahli jawatankuasa penaja persatuan ini. Gastan Bin Sabah yang telah bersara daripada perkhidmatan polis pada tahun 2003 pernah dihantar berkhidmat di negeri Sarawak sekitar tahun 1973 untuk menyertai pelbagai operasi RASCOM yang berpusat di Sibu.

Gastan menyambut baik hasrat sebilangan anggota skuad 69 yang mahukan persatuan ini ditubuhkan di negeri ini. Menurutnya, jika negeri Sarawak persatuan ini telah dapat bergerak cergas, kenapa negeri Sabah tidak boleh berbuat demikian.

Hasrat untuk menubuhkan persatuan kebajikan Skuad 69 di Sabah telah dirintis sendiri oleh DSP (B) Muhamad Yusof Isa ketika beliau mengadakan kunjungan hormat terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah pada tahun 2007 yang lalu.

Dato' Noor Rashid Ibrahim (Foto) yang baru sahaja dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah pada tahun berkenaan telah menyatakan persetujuannya supaya persatuan ini dapat ditubuhkan di negeri ini. Dato' Noor Rashid berpendapat dengan adanya persatuan ini maka dapatlah segala masalah yang berkaitan dengan kebajikan anggota keluarga Skuad 69 dapat di manfaatkan oleh semua bekas anggota yang terbabit.