Thursday, December 15, 2011

RASMI - PERSATUAN KEBAJIKAN BEKAS ANGGOTA SKUAD 69 PDRM SABAH TELAH DIDAFTARKAN PENUBUHANNYA

KENYATAAN MEDIA

Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM Sabah telah pun mendapat kelulusan daripada pihak Pendaftar Pertubuhan Malaysia Negeri Sabah sebagai sebuah pertubuhan yang berdaftar yang sah di sisi undang-undang di bawah seksyen 7 Akta Pertubuhan, 1966 dengan nombor pendaftarannya 5181-11-SBH.

2. Kelulusan mendaftarkan persatuan ini telah pun diperolehi pada hari ini 13 Disember 2011 setelah permohonannya kami kemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Sabah pada 29 November 2011 yang lepas; dan dimateraikan kelulusannya bertarikh pada 2 Disember 2011.

3. Di antara tujuan asas dan matlamat penubuhan Persatuan ini ialah untuk mengumpulkan semula bekas-bekas anggota polis yang berkhidmat pada tahun 1969 bagi seluruh negeri Sabah di dalam satu wadah perjuangan untuk menjaga kebajikan ahli-ahli dan keluarga masing-masing setelah mereka ini meninggalkan pasukan samada mereka yang bersara wajib ataupun yang telah berhenti dari perkhidmatan PDRM atas sebab-sebab yang lainnya.

Sijil Pendaftaran Skuad 69 PDRM Sabah

4. Kami menganggarkan sekitar 500 orang anggota Skuad 69 PDRM dalam negeri Sabah yang telah meninggalkan pasukan bermula pada tahun 2005, dan kini pejuang-pejuang Skuad 69 PDRM ini telah membawa hala tuju masing-masing sebagai seorang pesara polis. Kami amat menyedari bahawa sebahagian besar daripada pejuang-pejuang Skuad 69 ini masih bersemangat waja walaupun semakin dimamah usia.

5. Persatuan ini akan berusaha menjejaki semua para pejuang Skuad 69 PDRM di negeri ini supaya mereka dapat menjadi ahli persatuan, lantas menyusun program-program yang boleh diceburi untuk membantu keluarga ahli dalam beberapa aspek kebajikan termasuk menyalurkan bantuan pendidikan untuk anak-anak ahli yang memerlukannya.

6. Kepada mereka yang berkenaan ini bolehlah menghubungi urus setia Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM Sabah yang beralamat di No. 21B Tingkat 1, Plaza MARA, Lorong Likas Plaza, 88400 Kota Kinabalu; atau menelefon Presiden Skuad 69 PDRM Sabah, DSP (B) Haji Muhamad Yusof Isa, No. talian 010-2614833 atau 013-5758999.

7. Persatuan ini juga akan merancang untuk mengumpulkan dana kebajikan dengan mendapatkan sokongan dan juga kerjasama pelbagai sektor korporat di negeri ini untuk mempelbagaikan kegiatan yang menjurus kepada kesejahteraan dan pembelaan terhadap bekas-bekas anggota polis dalam menjalani kehidupan sebagai orang awam, setelah lebih 30 tahun mereka mencurahkan bakti dan melakukan pengorbanan demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam Negara ini.

8. Sebagai sebuah persatuan yang baru, kami berhasrat untuk mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah dan juga mengunjungi Pesuruhjaya Polis Sabah untuk memperkenalkan persatuan ini kepada mereka pada bulan Januari tahun hadapan.

9. Kewujudan persatuan ini juga bukanlah untuk bersaing dengan Persatuan Bekas Polis di negeri ini, malah kami akan berusaha mengorak langkah untuk menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bekas Polis Sabah, terutama melibatkan kegiatan yang menjurus kepada aspek kebajikan bekas-bekas anggota polis yang kini menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat.

Terima kasih.

Kenyataan media oleh:

DSP (B) Haji Muhamad Yusof Bin Isa

Presiden, Skuad 69 PDRM Sabah.

Bertarikh: 13 Disember 2011.