Sunday, December 28, 2008

Perjalanan ke Bintulu singgah di rumah Apai Changak di Skrang.

Dalam perjalanan dari Kuching ke Bintulu pada hari Sabtu, 27 Disember 2008, saya telah sempat singgah di rumah Apai Changak Ak Rabong (Foto) salah seorang ahli Skuad 69 PDRM Sarawak yang tinggal di Skim Skrang di dalam Daerah Sri Aman. Saya sampai di rumahnya kira-kira jam 4.15 petang, dan kami disambut dengan penuh mesra oleh Apai serta anak dan menantunya yang sememangnya menunggu kedatangan kami.
Saya telah menelefon Apai Changak terlebih awal semasa singgah berehat di Lachau, dan beliau mengharapkan agar kami dapat singgah sebentar di rumahnya sebelum meneruskan perjalanan jauh kami ke Bintulu.
Apai Changak Ak Rabong, 67 tahun merupakan bekas anggota polis yang sudah berkhidmat sejak menjadi border scout lagi sebelum diserapkan di dalam pasukan polis (PDRM). Sambil kami dijamukan dengan minuman teh dan juga biskut, Apai Changak telah meluahkan beberapa persoalan dan juga kemusykilannya terhadap Persatuan Bekas Polis Bahagian Sarawak yang telah dianggotainya sebagai 'Ahli Seumur Hidup'.
Sambil menunjukkan resit-resit pembayaran yuran keahliannya dengan Persatuan Bekas Polis Bahagian Sarawak, beliau telah menyatakan kemusykilannya kepada saya tentang pemberian saguhati yang sepatutnya beliau perolehi setelah kematian isterinya pada bulan Mei tahun 2008 yang lalu. Sambil mengucapkan terima kasih kepada Skuad 69 PDRM Sarawak yang telah menyumbangkan wang saguhati untuk kematian isterinya, Apai Changak juga mengharapkan agar Persatuan Bekas Polis Bahagian Sarawak dan juga Skuad 69 PDRM Sarawak dapat memberikan bantuan yang sewajarnya kepada beliau yang akan menjalani pembedahan kedua-dua belah matanya Mei tahun hadapan.
Katanya, dengan adanya bantuan ini dapatlah beliau menampung sedikit sebanyak kos pembedahan yang disebutnya sekitar RM500 untuk sebelah mata.
Mengakhiri pertemuan saya dengannya, sempat saya menyerahkan senaskhah Buletin skuad 69 PDRM Sarawak kepada Apai Changak Ak Rabong. Kelihatannya beliau begitu menghormati Skuad 69 PDRM Sarawak, setelah meminta saya agar mengambil fotonya lengkap beruniform sebagai Ahli Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak (Sila lihat foto di bawah).


Apai Changak (Kanan) menerima senaskhah Buletin Edisi ke-2
Skuad 69 PDRM Sarawak
dari A. Rahman Hashim (Kiri)