Tuesday, June 30, 2009


YB Datuk Talib Zulpilip merasmikan Jelajah Amal Skuad 69 di Bintulu

JELAJAH AMAL KEAMANAN SATU MALAYSIA
DI
BINTULU, BERJAYA...!!

Program Jelajah Amal Skuad 69 PDRM Sarawak yang bertemakan 'Keamanan 1Malaysia' telah berkunjung ke Bintulu selepas kejayaan siri pertamanya di Miri pada 24, 25 dan 26 April lalu. Jelajah siri ke-2 di Bintulu ini telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 19 Jun dan berakhir pada hari ketiganya pada 21 Jun 2009.

(Foto: Presiden Skuad 69 telah ditemuramah oleh pihak RTM)

Progam Jelajah Amal di Bintulu ini telah mencatatkan kejayaan dengan terlaksananya beberapa aktiviti yang telah dijadualkan. Sempena dengan program ini juga, Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengadakan juga mesyuarat agung tahunannya bagi tahun 2009 yang telah berlangsung pada 20 Jun 2009, di New World Suites, Bintulu.


Foto Kiri: Anggota Skuad 69 menunjukkan visual pameran. Foto Kanan: Makan bersantai.

Program jelajah amal kali ini juga telah menyaksikan penyertaan yang ramai oleh ahli-ahli Skuad 69 yang telah berkampung di Bintulu selama 4 hari 3 malam. Sebahagian besar ahli-ahli yang datang daripada Kuching telah menaiki bas yang disediakan oleh persatuan pada hari Khamis, 18 Jun. Mereka bertolak dari Kuching kira-kira jam 10.00 pagi dan tiba di bandar Bintulu kira-kira jam 8.30 malam. Kesemua mereka ini disediakan penginapan di hotel Faber Inn yang terletak di Bandar Bintulu.

Keesokan harinya iaitu pada hari Jumaat, 19 Jun 2009, semua pejuang Skuad 69 ini telah berkunjung ke Kampung Assyakirin, Bintulu untuk menghadiri satu majlis bersama dengan pemimpin-pemimpin masyarakat yang terdiri daripada Ketua-Ketua Kaum dan Pengerusi JKKK dalam daerah Bintulu.
Di dalam majlis ini juga para hadirin telah diperdengarkan suatu majlis pengisahan yang telah disampaikan sendiri oleh para pejuang Skuad 69 berkisar kepada kisah perjuangan ketika berhadapan dengan pengganas komunis PARAKU.

(Foto: Acara menandatangani di atas kain pemidang)

Selain daripada DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak yang telah menyampaikan ucapan aluannya di awal majlis, hadirin juga telah dapat mendengar penceritaan yang telah disampaikan oleh Sjn (B) Anthony Nyoel dan juga Peet Awi.

Majlis ini telah pun dirasmikan oleh Tuan Ismawie Salleh, Timbalan Residen Bahagian Bintulu yang turut menyampaikan ucapan yang telah berjaya memukau hadirin yang mendengarnya. Majlis pengisahan ini telah berakhir dengan acara khas iaitu menandatangani kain pemidang (banner) yang bertemakan 'No Communist & No Crime' yang dimulakan dengan tandatangan Encik Ismawie Salleh dengan diikuti oleh Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak sendiri sebelum ditandatangani oleh semua pemimpin masyarakat yang hadir.

Pameran Keamanan Satu Malaysia

Pameran yang bertemakan Keamanan Satu Malaysia juga telah diadakan selama tiga hari yang bermula pada hari Jumaat, 19 Jun dan berakhir pada hari Ahad, 21 Jun 2009. Pameran yang diadakan di ParkCity Mall ini turut disertai oleh Jabatan Pertahanan Awam dan juga AADK telah berjaya menarik kehadiran para pengunjung yang ramai di pusat membeli belah ini. Booth Skuad 69 telah memaparkan visual yang berkaitan dengan kisah pahit getir ketika berhadapan dengan ancaman pengganas komunis di Sarawak.

Ceramah Isu Semasa

Pada hari Sabtu, 20 Jun iaitu pada jam 9.00 pagi telah diadakan satu majlis penerangan berkaitan dengan isu-isu semasa yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Khusairi Suhaibo, Pegawai Penerangan Daerah Daro.

Di dalam ceramah itu, Haji Khusairi telah menyentuh beberapa isu perpaduan yang menjadi teras kepada kejayaan konsep Satu Malaysia. Majlis ini telah diadakan di ruang legar ParkCity Mall, Bintulu.

(Foto: Suasana majlis ceramah isu semasa)

Malam Amal Keamanan Satu Malaysia

Kemuncak kepada acara Jelajah Amal di Bintulu ini ialah majlis makan malam amal 'Keamanan Satu Malaysia Peringkat Bintulu' yang diadakan pada hari Sabtu, 20 Jun 2009, di Dewan New World 1, New World Suites, Bintulu.

Majlis makan malam ini telah dirasmikan oleh YB DatukHaji Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak merangkap Pengerusi SEDC Negeri Sarawak. Di dalam majlis ini juga YB Datuk Talib telah mengetuai acara menandatangani pemidang 'No Communist & No Crime' yang disediakan di atas pentas.

(Foto: Datuk Talib dan DSP (B) Muhamad Yusof di atas pentas makan malam)

Di dalam ucapannya, YB Datuk Talib Zulpilip telah banyak menyentuh tentang isu-isu yang berkaitan dengan komunis. Beliau memuji usaha yang diambil oleh Skuad 69 PDRM Sarawak dengan membuat program jelajah ke seluruh Sarawak untuk memberikan suntikan semangat patriotik kepada masyarakat tempatan yang dikunjunginya.

(Foto: Majlis makan malam)



Kor Keselamatan Komuniti 69 Daerah Bintulu

YB Datuk Talib Zulpilip juga menyambut baik hasrat persatuan ini untuk menubuhkan 'Kor Keselamatan Komuniti 69 Daerah Bintulu' sebagaimana yang diumumkan oleh DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak semasa berucap di majlis makan malam pada 20 Jun 2009.

Kor ini akan memulakan misi penubuhannya dengan pembentukan sebuah jawatankuasa di peringkat daerah Bintulu yang akan dianggotai oleh Ketua-Ketua Kaum atau Pengerusi JKKK yang terbabit. Jawatankuasa ini juga akan dianggotai oleh wakil-wakil jabatan peringkat daerah yang akan terbabit untuk merangka modus operandinya. Pejabat Residen Bahagian Bintulu telah menyatakan persetujuannya untuk menjadi urusetia kepada Kor yang bakal ditubuhkan ini.