Friday, October 17, 2008

Skuad 69 PDRM Sarawak dijemput sertai Istiadat Perbarisan Hari Jadi TYT Ke-87


Kontinjen Skuad 69 pada 31 Ogos 2008 lalu.

Skuad 69 PDRM Sarawak sekali lagi telah dijemput oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengambil bahagian di dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena perayaan Hari Jadi Ke-87 Tuan Yang Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang akan diadakan pada hari Sabtu, 25 Oktober 2008, bertempat di Padang Merdeka, Kuching.

Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Eksekutif Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak yang menyatakan demikian juga berkata bahawa Skuad 69 akan menghantar kontinjennya yang berjumlah 30 orang yang akan diketuai oleh SI (B) John Haji Surip. Menurutnya lagi, Skuad 69 PDRM Sarawak berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah memberikan penghormatan kepada Skuad 69 untuk mengambil bahagian di dalam perarakan ini.

Sebelum ini, Skuad 69 PDRM Sarawak juga telah diundang mengambil bahagian di dalam upacara perbarisan Hari Kemerdekaan Ke-51 Peringkat Negeri Sarawak yang telah diadakan pada 31 Ogos yang lepas. Kali pertama Skuad 69 PDRM Sarawak menyertai perbarisan seumpama ini ialah pada 31 Ogos 2007 yang lalu sempena menyambut perayaan Hari Kemerdekaan Ke-50 tahun Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Bandaraya Miri

Berikut ini ialah jadual tugas dan pergerakan Kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak yang akan mengambil bahagian di dalam perbarisan sempena Hari Jadi TYT nanti:-

1. Majlis Taklimat Skuad 69
Isnin, 20 Oktober - 2.00 petang, di Pejabat Skuad 69.

2. Raptai 1 - 21 Oktober, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.

3. Raptai 2 - 22 Oktober, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.

4. Raptai Penuh - 23 Oktober, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.

5. Perbarisan Sebenar - 25 Oktober 2008, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.



Wednesday, October 15, 2008

Majlis Pengisahan Sejarah Penubuhan Malaysia Dari Sudut Pandangan Sarawak



Suasana di dalam auditorium Pustaka Negeri.
(16 Oktober 2008)

Satu majlis 'Pengisahan Sejarah Penubuhan Malaysia Dari Sudut Pandangan Sarawak' akan diadakan esok (16 Oktober 2008), bermula pukul 8.30 pagi, bertempat di Auditorium Pustaka Negeri, di Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

Majlis ini diadakan bersempena dengan sambutan Perayaan 45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia anjuran Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak. Majlis ini dijangka akan dirasmikan oleh TB Tuan Haji Hamden Haji Ahmad, Menteri Muda Hal Ehwal Belia merangkap Menteri Muda Pelancongan Sarawak yang mewakili YAB Ketua Menteri Sarawak.

Turut hadir di dalam majlis ini nanti ialah Encik Sidek Jamil, Pengarah Arkib Negara Malaysia sendiri dan juga Tan Sri Datuk Amar Dr. Hamid Bugo, Pengerusi Pustaka Negeri Sarawak; di samping beberapa orang VIP yang terdiri daripada Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri yang berkaitan serta pemimpin-pemimpin NGO yang lainnya.

Skuad 69 PDRM Sarawak sendiri akan menghantar delegasinya untuk mengikuti acara tersebut. Tentunya majlis pengisahan sejarah ini akan memberikan banyak maklumat dan membangkitkan semula nostalgia silam, terutamanya dalam pasca penubuhan Malaysia pada tahun 1963 dan juga cabaran menghadapi pergerakan militan pengganas komunis PARAKU di negeri Sarawak.

Menurut maklumat yang diterima daripada pihak penganjur, seramai tiga orang tokoh dijangka akan menyampaikan pidatonya, antaranya ialah:-

Dato' Amar James Wong Kim Min
Dato Sri Tra Zehnder@Philomena ak Jemat

Y.A.Bhg Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya'kub

-----------------------------------------------------------------------------------

Gambar Sekitar Majlis Pengisahan Sejarah Penubuhan Malaysia Dari Sudut Pandangan Sarawak (16 September 2008)


Diantara ahli panel yang menyampaikan pidato mengenai sejarah
kemerdekaan Sarawak (Gambar Kanan berdiri ialah Dato' Amar James Wong)

Gambar-Gambar Yang Dipamerkan Di Dalam Pameran

Gambar 1 - Sebahagian anggota TNKU yang menyerang Balai Tebedu, 1964.

Gambar 2 - Senjata TNKU yang dirampas.

Gambar 3 - Anggota Suruhanjaya Cobold

Gambar 4 - Tunku Abd. Rahman dan Tun Adam Malek menandatangani perjanjian di Bangkok.

Gambar 5 - Tunjuk perasaan membantah penubuhan Malaysia di Sarawak.

1. 2.

3. 4.

5.

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri diganti dengan Malam Amal Skuad 69 PDRM Sarawak

MAKLUMAN
Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Bersama Skuad 69 PDRM Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu ini, 18 Oktober 2008, di ParkCity Everly Hotel Bintulu telah DITUNDA kepada hari Sabtu, 8 November 2008, di hotel yang sama. Nama majlis ini juga telah ditukar kepada MALAM AMAL MESRA SKUAD 69 PDRM SARAWAK.
Majlis makan malam ini dijangka akan dirasmikan oleh YB Dato Sri Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, merangkap Menteri Kemudahan Awam Sarawak. YB Dato Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri JEPAK merangkap Pengerusi SEDC Sarawak juga akan hadir untuk meraikan majlis tersebut.
Di dalam majlis ini nanti, Skuad 69 PDRM Sarawak akan menyampaikan sumbangan kebajikan berupa pakaian dan peralatan sekolah kepada anak-anak yatim dan keluarga miskin di sekitar Bintulu. Program ini merupakan siri kegiatan amal yang dijalankan oleh Biro Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak.
Justru itu, dengan penundaan tarikh berkenaan pihak urusetia juga ingin memohon maaf kepada para penyumbang dan juga syarikat-syarikat korporat yang lain yang telah menghulurkan sumbangan bakti, seterusnya kami berharap agar majlis yang bakal diadakan pada 8 November nanti dapat diraikan bersama.
Pihak urusetia juga sedang menyelaraskan urusan untuk menyediakan kemudahan pengangkutan (bas) kepada ahli-ahli yang tinggal di Kuching dan kawasan berhampiran dengannya untuk sama-sama kita meraikan majlis amal tersebut.
Semua ahli diminta dapat menghubungi urusetia untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut.

Thursday, October 2, 2008

TYT ingatkan agar tidak lupa pengorbanan pasukan keselamatan...

Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin mengingatkan rakyat supaya tidak lupa dengan pergorbanan pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang menjaga ketenteraman dan keamanan di bandar seluruh negeri dan di perbatasan pada musim perayaan.
Katanya, tanpa jasa mereka, tidak mungkin rakyat jelata dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri ini dalam keadaan aman dan damai.
“Jasa dan pergorbanan mereka amat besar sekali dan seharusnya diberi sanjungan tinggi oleh semua rakyat jelata.
“Merekalah yang memastikan kesejahteraan negeri, keselamatan dan keamanan. Saya ingin merakamkan setinggi terima kasih dan perhargaan kepada mereka,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2008 di sini semalam.
Beliau turut mengucapkan salam lebaran kepada semua anggota perkhidmatan awam dan pihak swasta yang tidak kurang pentingnya dalam memainkan peranan ke arah pembangunan negeri ini.
“Saya mengucapkan syabas atas daya usaha serta sumbangan ikhlas yang telah diberikan untuk sambutan perayaan-perayaan di negeri ini.
“Saya berharap dengan sambutan 1 Syawal ini ia akan terus memberi semangat jaya serta usaha lebih gigih bagi kita untuk memajukan negeri di masa datang,” ujarnya.
Beliau juga berharap semua nilai-nilai baik yang diamalkan umat Islam sepanjang bulan Ramadhan akan terus menjadi asas pembentukan kepada generasi progresif, berdaya saing dan mempunyai komitmen tinggi.
“Seperti tahun-tahun lepas, Hari Raya Aidilfitri sentiasa disambut dalam suasana meriah dan penuh kegembiraan. Sambil-sambil kita bergembira janganlah lupa dengan keselamatan diri dan keluarga kita. Dalam hal ini saya ingin mengingatkan mereka yang balik kampung untuk berhari raya bersama keluarga supaya berhati-hati ketika berada di jalan raya dan saya berdoa semoga semua sentiasa dalam keadaan selamat,” jelasnya.
Seperti kebiasaan, Tun Salahuddin juga mengalakkan kaum-kaum lain supaya mengadakan kunjungan ke rumah-rumah terbuka serta mempratikkan amalan kunjung-mengunjung di antara satu sama lain bagi mengeratkan hubungan dan rasa saling-mengormati di antara kita.
“Amalan kunjung-mengunjung dan juga maaf-bermaafan di antara satu sama lain merupakan kekuatan kita bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara,” ujarnya sambil menambah beliau amat berbangga dengan sumbangan rakyat dalam menjayakan Perayaan 45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia, Julai lepas.
“Perayaan istimewa ini yang diraikan setiap lima tahun sekali merupakan cara kita di negeri ini menyingkap, menilai dan menoleh kembali pencapaian pembangunan yang telah dicapai dan seterusnya diguna untuk merancang pembangunan negeri di masa hadapan.
“Pencapaian pembangunan yang amat pesat yang telah dicapai di negeri ini amatlah membanggakan dan sekali gus telah memajukan seluruh rakyat jelata. Ini telah dengan sendirinya membawa kemakmuran dan keharmonian di kalangan rakyat dan Negara,” katanya.
Tun Salahuddin sekeluarga juga turut mengucapkan Selamat Hari Rya Aidil Fitri kepada semua masyarakat Islam di Sarawak khususnya dan di mana saja mereka berada di negara ini.