Wednesday, May 13, 2009

SKUAD 69 PDRM SARAWAK DEKATI MASYARAKAT UNTUK PERANGI JENAYAH

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengambil langkah ke hadapan dengan mendekati masyarakat menerusi program Jelajah Amalnya ke seluruh daerah di setiap Bahagian di negeri ini, dengan membawa satu mesej untuk membantu mensifarkan jenayah yang kian meningkat jejak akhir-akhir ini.

"Dalam kata lain program jelajah amal ini diadakan adalah untuk memasyarakatkan Skuad 69 PDRM Sarawak sebagai sebuah pertubuhan yang cintakan keamanan untuk mengajak masyarakat supaya bersama-sama memerangi jenayah," demikian kata Presiden Skuad 69, DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Foto), ketika berucap di majlis makan malam di Miri.

DSP (B) Muhamad Yusof Isa turut menarik perhatian dengan berkata bahawa Skuad 69 PDRM Sarawak menerusi aktiviti jelajahnya akan menubuhkan 'Skuad Anti Jenayah 69' yang berperanan untuk menjadi mata dan telinga kepada pasukan polis.

"Saya percaya dengan adanya pengalaman yang ditimba semasa masih berkhidmat dalam pasukan polis, anggota skuad ini mampu menggalas tugas ini dengan baik," ujar beliau sambil mengaku semangat mereka tidak pernah luntur walaupun telah bersara.

Di dalam ucapannya juga, DSP (B) Muhamad Yusof Isa telah menyatakan bahawa program jelajah amal ini juga pihak persatuan akan mengadakan pameran bergerak untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan tentang komitmen pasukan keselamatan terutamanya pasukan polis dalam menghadapi ancaman pengganas komunis ketika negara menghadapai darurat.

Dalam pameran ini, persatuan ini juga akan mendapat kerjasama daripada Jabatan Arkib Negara Sarawak yang akan membekalkan bahan-bahan maklumat yang berkaitan dengan perjuangan pasukan keselamatan semasa melaksanakan RASCOM sekitar tahun 1970-an, di negeri ini.

Turut menyertai pameran jelajah amal Skuad 69 PDRM Sarawak ialah pihak Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Anti Dadah (AADK), Jabatan Kesihatan Daerah dan juga PDRM sendiri.

(Sila lihat koleksi gambar sempena majlis makan malam Jelajah Amal Skuad 69 PDRM Sarawak di dalam posting seperti di bawah ini.

No comments: