Wednesday, March 24, 2010

KENAPA HARUS ADA YANG MENGGANGGU URUSAN PDRM?
oleh Abdul Rahman Hashim

Sehari dua ini agak tergamam juga saya apabila mengikuti kegelisahan yang dipaparkan oleh IG Tan Sri Musa Hassan yang 'terhidu' dengan apa yang didakwanya sebagai campur tangan pihak ketiga yang cuba mencampuri urusan PDRM yang beliau pimpin sekarang ini.

Tanpa menyebutkan nama pihak yang terbabit itu, Tan Sri Musa Hassan menyatakan bahawa terdapat arahan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu kepada pegawai bawahannya tanpa pengetahuan pengurusan atasan.

Menurutnya trend seumpama ini menyalahi 'Seksyen 4 Akta Polis 1957' yang menegaskan bahawa semua arahan dan kawalan PDRM adalah di bawah KPN dan bukannya pihak lain.

Mengulas isu ini, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Foto di atas) berkata bahawa kekecewaan yang ditunjukkan oleh KPN itu haruslah diambil ingatan oleh semua pihak yang terbabit di dalam PDRM.

Menurutnya, jika benar apa yang didakwa oleh KPN itu berlaku, maka sewajarnya pihak Bukit Aman mengeluarkan arahan segera kepada semua peringkat di dalam pengurusan PDRM supaya tidak menjadikan PDRM sebagai batu loncatan kepada pihak yang berkepentingan politik.

Muhamad Yusof juga berkata selama ini memang rakyat sedang memerhatikan ketelusan dan integriti pasukan Polis kita, terutama yang membabitkan kes-kes jenayah yang perlukan pemantauan dan tindakan pantas pihak Polis.

"Saranan KPN itu hendaknya disematkan oleh semua pegawai yang terbabit, bukan sahaja di peringkat kontinjen dan daerah, malah pengurusan di peringkat Bukit Aman juga hendaklah menjaga imej PDRM supaya tidak di cucuk hidung, tegasnya lagi.

Muhamad Yusof juga meminta agar semua lapisan masyarakat di negara ini tidak memandang serong terhadap kewibawaan pasukan polis yang sentiasa bersiap siaga untuk mengawal keselamatan negara, terutama yang membabitkan kes jenayah.

Rakyat haruslah bijak untuk mempastikan keamanan negara terus terpelihara dengan memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan keselamatan, terutamanya kepada pasukan polis.

Sempena dengan sambutan Hari Polis yang jatuh pada tanggal 25 Mac ini, Skuad 69 PDRM Sarawak turut berbangga dengan pencapaian PDRM selama ini. Banyak cabaran dan onak yang telah direntasi oleh pasukan polis, namun berbekalkan dengan semangat 'espirit de corp', PDRM kelihatannya terus diperkasa dan tetap unggul!



No comments: