Friday, October 9, 2009

SKUAD 69 DIJEMPUT SERTAI ISTIADAT PERBARISAN HARI JADI KE-88 TYT YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK.

DIRGAHAYU
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng
Yang Di-Pertua Negeri Sarawak.


Skuad 69 PDRM Sarawak sekali lagi telah diberikan penghormatan untuk menyertai istiadat perbarisan dan rapat raksasa sempena perayaan hari jadi yang ke-88 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang bakal diadakan pada 24 Oktober depan bertempat di Padang Dewan Suarah Bintulu, Sarawak.

Jemputan terhadap Skuad 69 PDRM Sarawak ini telah dibuat oleh Pejabat Residen Bahagian Bintulu melalui sepucuk surat yang telah difaxkan ke urusetia persatuan ini Khamis lalu (8 Oktober 2009).

Di dalam surat jemputan itu menyatakan bahawa pihak penganjur mensasarkan 88 buah kontinjen dari seluruh Sarawah, dan Skuad 69 PDRM Sarawak adalah diantara NGO yang diminta menghantar kontinjen sekurang-kurangnya 34 orang ahlinya.

Skuad 69 PDRM Sarawak sebelum ini telah menyertai upacara perbarisan sempena Hari Kemerdekaan Negara Ke-50 Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Bandaraya Miri pada tahun 2007; dan juga upacara yang sama sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-51 yang telah diadakan di Stadium Negeri, Kuching pada tahun 2008. Pada tahun yang sama juga di dalam bulan Oktober Skuad 69 turut menghantar kontinjennya di dalam istiadat perbarisan sempena Hari Jadi TYT yang ke-87 tahun yang diadakan di Padang Merdeka, di Kuching.

Pihak Skuad 69 PDRM Sarawak amat menghargai di atas jemputan kali ini, kerana ia menjadi pendorong semangat yang lebih jitu untuk persatuan ini menggerakkan khidmat baktinya kepada masyarakat, terutama di dalam aspek pencegahan jenayah.

Skuad 69 sebelum ini telah melancarkan program Jelajah Amal Keamanan 1Malaysia Peringkat Bahagian Bintulu pada bulan Jun yang lalu. Serentak dengan program itu juga, Skuad 69 telah menubuhkan Jawatankuasa Kor Keselamatan Komuniti 69 bagi Bahagian Bintulu yang dianggotai oleh beberapa orang pemimpin masyarakat di dalam daerah ini.

Kor Keselamatan Komuniti 69 merupakan projek yang digagaskan oleh Skuad 69 untuk membantu pihak kerajaan khususnya dengan pihak Polis dalam menangani permasalahan jenayah yang dihadapi di dalam daerah berkenaan.




Sunday, September 13, 2009

LIPUTAN MEDIA SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE-52


















(Keratan Akhbar Utusan Sarawak - 31 Ogos 2009)



Saturday, August 22, 2009

14,725 LAGI BEKAS POLIS TERIMA SAGU HATI DARURAT









Seramai 14,725 lagi anggota polis yang pernah berkhidmat semasa darurat termasuk di Sabah dan Sarawak akan menerima saguhati berjumlah RM14,725 juta secara berperingkat-peringkat sehingga akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemberian saguhati itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa dan pengorbanan mereka menjaga keselamatan negara daripada ancaman komunis.

Katanya, peruntukan terbaru itu akan diagihkan kepada seramai 8,425 bekas polis di Semenanjung dan 6,300 di Sabah dan Sarawak yang telah mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup 28 Februari tahun lalu.

''Sejak 8 Ogos 2001 kerajaan meluluskan RM72.108 juta untuk saguhati kepada golongan terlibat termasuk balu dan duda anggota berkenaan.

''Daripada angka itu sebanyak 66,608 anggota polis di Semenanjung menerima sumbangan membabitkan peruntukan RM66.608 juta manakala 5,500 bekas polis di Sarawak pula sebanyak RM5.5 juta," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata demikian selepas menyampaikan cek sumbangan saguhati khas kepada bekas polis yang berkhidmat semasa darurat (1948-1972) bagi negeri Terengganu di Wisma Darul Iman Julai lalu.

Hishammuddin berkata, mereka yang berkhidmat sebagai Special Constabulary, Home Guard, Auxiliary Police, Extra Police Constable dan Women Special Constable layak menerima sumbangan tersebut.

Sementara itu, katanya, bekas polis di Sabah dan Sarawak pula terdiri daripada mereka yang pernah berkhidmat dalam Border Scout, North Borneo Army Constabulary, Sarawak Constabulary, Contract Assistant Superintendant Police, Contract Inspector dan Police Field Force Reservist.

Hishammuddin menambah, seramai 1,346 anggota polis terkorban ketika menjalankan tugas semasa darurat iaitu 511 anggota biasa, 593 polis khas dan 242 anggota polis tambahan.

Katanya, sebanyak 701 anggota polis biasa, 746 anggota polis khas dan 154 anggota polis tambahan turut tercedera.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, bekas anggota dan pegawai polis akan dijadikan mata dan telinga kerajaan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di seluruh negara.

Katanya, pengalaman mereka amat diperlukan untuk menyokong usaha pihak berkuasa mengesan kegiatan jenayah.

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus.

''Kita bukan mahu mereka mengejar mat rempit atau menangkap penjenayah kerana ada kalangan mereka sudah tidak kuat, tetapi yang diperlukan ialah perkongsian maklumat dan pengalaman menangani jenayah," katanya.

Tuesday, August 11, 2009

SIK ADA ANGIN, SIK ADA RIBUT SILING OFIS TERJATUH....



Oghang Sarawak madah, sik ada angin sik ada ribut tang ada aja siling ofis Skuad 69 PDRM Sarawak di Kuching guguk. Kejadian ini disedari oleh staf Dahlia apabila beliau memasuki pejabat pada Isnin lalu (10 Ogos), tiba-tiba didapati bahagian siling dan lampu terjatuh menimpa meja di ruang pejabat am pejabat Skuad 69.

Dahlia telah segera menghubungi 'land lord' tentang kejadian ini, dan pihak berkenaan telah datang ke lokasi untuk membaik pulihnya.

Saturday, July 18, 2009

ABD. RAHMAN, NELSON ANSANG, BUJANG BOJI DAN LIMA AJK TAMBAHAN DILANTIK MEMBARISI JAWATANKUASA SKUAD 69 PDRM SARAWAK 2009-2011


Kelihatan sebahagian daripada ahli jawatankuasa sedang mendengar ucapan Presiden
Skuad 69 PDRM Sarawak di dalam mesyuarat AJK yang pertama 17 Julai lalu.

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak yang baru sahaja mengadakan mesyuarat agung tahunannya pada 20 Jun lalu, kini dibarisi oleh mereka yang benar-benar berkelayakan yang telah dipilih di dalam mesyuarat agung yang diadakan di Bintulu.

Di dalam perkembangan yang berkaitan juga, DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak telah mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa buat kali pertama bagi sesi 2009-2011 pada hari jumaat, 17 Julai lalu, di pejabat urusetia persatuan Setia, di Jalan Rubber, Kuching.

Di dalam mesyuarat itu, Presiden telah membuat pengumuman melantik Abdul Rahman Sedek Haji Alias sebagai Setiausaha yang baru menggantikan Kusin Simon. Bagi jawatan Bendahari pula, Presiden telah melantik Nelson Ansang Ak Majeng menggantikan Stanley Ak Manggi yang kini telah menduduki jawatan ahli jawatankuasa.

Bujang Boji Sitam (Foto Kiri) pula telah dilantik sebagai Pegawai Penerangan dan Perhubungan Awam iaitu satu jawatan baru yang diwujudkan yang bertaraf 'pegawai'. Sementara itu Abdul Rahman Hashim (Foto Kanan) telah dikekalkan jawatan eksekutifnya sebagai 'Setiausaha Kerja' yang disandangnya sejak tahun 2006.

Muhamad Yusof Isa juga telah melantik lima orang menduduki jawatan ahli jawatankuasa tambahan. Mereka berkenaan ialah Peet Awi, Sakai Ak Chulat, Mazlan Barham, Haji Wan Drahman Tku Mahsen, dan Fazarious Saili.

Bagi memperkasakan lagi pengurusan persatuan ini, presiden juga telah mengumumkan pembentukan enam biro yang ditugaskan untuk merangka kegiatan-kegiatan sepanjang tahun. Diantara biro-biro itu ialah:-

1. Biro Pengurusan dan Pentadbiran
Abdul Rahman Sedek Haji Alias
Abdul Rahman Hashim

2. Biro Penerangan, Perhubungan Awam dan Keahlian
DSP (B) Haji Arifin Haji Adenan
Bujang Boji Sitam
Mazlan Barham
Peet Awi

3. Biro Ekonomi
Saili Sulaiman
Nelson Ansang Ak Majeng

4. Biro Latihan dan Keselamatan
Anthony Nyoel Ak Juken
Razali Mat Taha
Johari Keria

5. Biro Kebajikan dan Sosial
Mohamad Haji Mos
Jihip Ak Munjew
Suhaimi Jais
Stanley Ak Manggi

6. Pelajaran & Agama
Haji Wan Drahman Tku Mahsen
Fazarious Saili
Haji Deris Olek



Friday, July 17, 2009

MESYUARAT JELAJAH AMAL KEAMANAN 1MALAYSIA PERINGKAT BAHAGIAN SIBU, PADA 15 JULAI 2009.


Suasana di dalam mesyuarat Jelajah Amal Keamanan 1Malaysia yang diadakan di Hotel Paramount, Sibu pada 15 Julai lalu.

Mesyuarat mengenai program Jelajah Amal Keamanan 1Malaysia 69, Peringkat Bahagian Sibu telah diadakan pada 15 Julai lalu, di Hotel Paramount, Sibu. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak telah dihadiri oleh wakil-wakil Jabatan Kerajaan Peringkat Daerah Sibu, yang terdiri daripada:

1. Ishak Mahdan (Majlis Perbandaran Sibu)
2. Harlina Halim (Pejabat Residen Bahagian Sibu)
3. Mohamed Asri (Pejabat Daerah Sibu)
4. William (Jabatan Pelajaran Daerah Sibu)
5. Sani Bin Sulhi (Jabatan Penerangan Daerah Sibu)
6. Viviana Kiu (Wisma Sanyan)
7. Tony Hil (Wisma Sanyan)

Sementara itu wakil-wakil Skuad 69 PDRM Sarawak yang turut hadir di dalam mesyuarat ini ialah:-

1. Abdul Rahman Hashim
2. Saili Sulaiman
3. Affandi Ahmad
4. Ahmad Rashidi

Program Jelajah Amal Keamanan 1Malaysia Peringkat Bahagian Sibu telah ditetapkan tarikhnya iaitu pada 9, 10 dan 11 Oktober 2009. Semua Jabatan Daerah yang terbabit telah menyatakan sokongan dan juga persetujuan untuk menjayakan program ini.


Monday, July 13, 2009

SKUAD 69 SAHUT SERUAN PERDANA MENTERI UNTUK PERANGI JENAYAH DENGAN MENUBUHKAN KOR KESELAMATAN KOMUNITI 1MALAYSIA 69


Suasana di dalam mesyuarat kor keselamatan Komuniti 1Malaysia 69, di Hotel Regency Plaza, Bintulu pada 13 Julai 2009.

Seruan Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang mahukan agar semua lapisan rakyat memerangi jenayah telah disahut oleh Skuad 69 PDRM Sarawak dengan tertubuhnya Kor Keselamatan Komuniti 1Malaysia 69 di seluruh Sarawak, di mana Bahagian Bintulu telah menjadi daerah yang pertama yang bakal melaksanakannnya.

Di dalam mesyuarat pusingan pertama yang diadakan hari ini (13 Julai) semua Ahli Majlis Kor 69 Bahagian Bintulu (AMB) yang dipengerusikan oleh Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak sendiri, DSP (B) Muhamad Yusof Isa telah memperincikan beberapa perkara yang berkaitan dengan kor ini sebagai mengambil sempena slogan yang digagaskan oleh Perdana Menteri, sekaligus telah membuat keputusan untuk menamakan kor ini sebagai 'Kor Keselamatan Komuniti 1Malaysia 69, Bahagian Bintulu'.

Sebelum ini kor berkenaan disebut sebagai 'Kor Keselamatan Komuniti 69' tanpa menyebut perkatan 1MALAYSIA. Penambahan kepada perkataan 1MALAYSIA jelas memperlihatkan betapa Skuad 69 PDRM Sarawak sentiasa prihatin dengan memahami maksud yang tersurat dan yang tersirat daripada slogan cetusan Perdana Menteri itu, terutamanya dalam aspek perpaduan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang cintakan keamanan.

Mesyuarat yang diadakan hari ini juga telah dihadiri oleh beberapa orang wakil jabatan kerajaan peringkat daerah Bintulu dan juga ketua-ketua kaum serta Pengerusi JKKK sekitar daerah Bintulu. Diantara wakil-wakil jabatan yang hadir adalah terdiri daripada Jabatan Penerangan, Jabatan Pelajaran, Jabatan Belia dan Sukan dan juga Jabatan Pertahanan Awam.

Di dalam mesyuarat ini, Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Eksekutif Skuad 69 PDRM Sarawak telah memberikan taklimat dan juga membentangkan kertas modus operandi Kor Keselamatan Komuniti 1Malaysia 69 bagi Bahagian Bintulu.

Di dalam taklimat itu, beliau telah menggariskan tata cara yang akan diguna pakai bagi tujuan melaksanakannya di Bahagian Bintulu ini. Secara amnya, Kor ini merupakan sukarelawan komuniti yang bakal dianggotai oleh segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada golongan muda, pelajar-pelajar sekolah, pemimpin-pemimpin pertubuhan masyarakat dan juga dari kalangan orang ramai yang berminat untuk menjadi anggota kor ini.

Di Bahagian Bintulu ini, orang ramai boleh mengemukakan permohonan untuk menjadi anggota kor dengan menghubungi Pengerusi JKKK, Ketua-Ketua Kaum dan juga Tuai Rumah di rumah-rumah panjang. Sebuah Jawatankuasa di peringkat Bahagian Bintulu yang dinamakan sebagai AHLI MAJLIS KOR BAHAGIAN (MKB) akan dibentuk untuk menyelaraskan semua urusan yang berkaitan. Pejabat Residen Bahagian Bintulu bakal menjadi urusetia kepada Kor di peringkat Bahagian Bintulu.

Ahli Majlis Kor Bahagian Bintulu ini akan dilantik secara rasminya setelah mendapat lampu hijau daripada YB Datuk Haji Talib Zulpilip, ADUN Jepak yang juga sebagai Penaung Kor di Bahagian Bintulu.

Diharapkan kor ini akan berfungsi dengan aktifnya, terutamanya untuk menggalas tugas mewujudkan suasana aman dan harmoni tanpa jenayah di kalangan masyarakat di Bahagian Bintulu ini.