Tuesday, September 23, 2008

Ucapan DSP (B) Arifin Haji Adenan Dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim


(Petikan ucapan Tuan DSP (B) Arifin Haji Adenan (GAMBAR) Timbalan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak di dalam majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Kompleks Laila Taib, di Petra Jaya, Kuching - Isnin, 22 September, 2008)

Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah sama-sama kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya juga, kita semua telah dapat berkumpul pada petang yang berbahagia ini, untuk sama-sama kita meraikan anak-anak yatim yang menghuni di Kompleks Kebajikan Laila Taib di dalam satu majlis berbuka puasa sebentar lagi.


2. Sebelum saya meneruskan ucapan ini, terlebih dahulu saya ingin menyampaikan salam takzim daripada Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak, Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Isa yang tidak dapat hadir di dalam majlis ini, kerana beliau kini berada di Kuala Lumpur di atas urusan yang memerlukan kehadirannya di sana. Beliau telah meminta saya mewakilinya untuk menyampaikan ucapan di dalam majlis pada hari ini.

3. Bagi pihak seluruh warga Skuad 69 PDRM Sarawak saya ingin mengucapkan selamat datang dan setinggi penghargaan kepada YB Dr. Abdul Rahman Haji Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri N.4 Pantai Damai bersama-sama isteri beliau, Y.Bhg Puan Rugayah yang telah dapat melapangkan masa untuk bersama-sama kita pada petang ini, seterusnya dapat pula berbuka puasa dengan anak-anak yatim yang menghuni di kompleks ini. Saya difahamkan jadual YB pada hari ini begitu sibuk, kerana selepas ini YB juga akan hadir ke satu majlis lain yang telah dijadualkan.
Hari Lebaran Aidilfitri

4. Hari ini merupakan hari yang ke-22 kita berpuasa, dan lebih kurang satu minggu saja lagi kita semua akan menyambut ‘Hari Lebaran Aidilfitri’ sebagai hari kemenangan umat Islam setelah sebulan kita menunaikan kewajipan berpuasa. Dalam menjalani ibadah puasa ini, kita sentiasa digalakkan untuk meningkatkan pahala berpuasa dengan mempertingkatkan amalan bersedekah dan membuat kerja-kerja amal yang lainnya.

5. Skuad 69 PDRM Sarawak turut terpanggil untuk meng-Ihyakan Ramadan ini dengan mengadakan berbagai-bagai aktiviti kebajikan sebagai langkah untuk mendekatkan lagi hubungan kami dengan anggota masyarakat. Program kita pada hari ini juga merupakan satu kegiatan amal yang diusahakan oleh Biro Kebajikan Persatuan ini, untuk sama-sama kita mendekatkan diri dengan anak-anak yatim di kompoleks kebajikan Laila Taib, dan tentunya kami amat berbangga sekali kerana program seumpama ini telah mendapat kerjasama dan juga sokongan daripada berbagai pihak yang menjadi PENAJA yang telah bermurah hati pada bulan yang penuh keberkatan ini, dengan menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan bukan sahaja kepada anak-anak yatim di kompleks ini, malah beliau juga telah banyak menyumbangkan amal jariah kepada golongan-golongan marhain yang lainnya di sepanjang bulan Ramadan ini.

6. Di atas baik budi dan keluhuran hati mereka yang budiman itu, kami amatlah menghargainya, dan kami semua mendoakan kesejahteraan kepada mereka. Mudah-mudahan Allah SWT merahmati dan juga memberkati serta murahkan rezki mereka, agar segala amal bakti yang dicurahkan selama ini mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah SWT jua hendaknya. Amin.

Insan Cemerlang, Gemilang & Terbilang


7. Kepada anak-anak yatim yang menerima sumbangan hari raya ini, kami mengharapkan anak-anak sekelian dapat menyambut hari lebaran nanti dengan penuh keceriaan dan kegembiraan. Kita mesti sematkan keazaman untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan juga di akhirat. Walau apa jua cabaran kehidupan yang dihadapi, anak-anak mestilah mengharunginya dengan penuh ketabahan dan meningkatkan lagi usaha supaya kita menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

8. Skuad 69 PDRM Sarawak akan sentiasa prihatin dengan anak-anak sekelian, dan kami mengharapkan agar di masa akan datang kami akan dapat mengaturkan satu lagi majlis seumpama ini. Untuk makluman YB dan Y.Bhg Dato’ serta hadirin sekelian, Skuad 69 PDRM Sarawak juga akan mengadakan majlis Ramah Tamah Aidilfitri pada 18 Oktober nanit di Bintulu, dan sempena majlis itu juga, kami akan melancarkan Edisi Khas Buletin Skuad 69 PDRM Sarawak. Kami berharap dengan bingkisan aktiviti kebajikan yang dijalankan ini akan dapat sama-sama kita manfaatkannya. Insya Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

9. Saya tidaklah berhajat untuk memanjangkan lagi ucapan ini, kerana selepas ini kita hendak mendengar pula ucapan yang bakal disampaikan oleh YB Dr. Abdul Rahman Junaidi, ADUN N.4 Pantai Damai. Saya tidak lupa untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada Pengurus dan Kakitanagan Kompleks Kebajikan Laila Taib ini di atas kerjasama yang telah diberikan untuk menjayakan majlis kita pada hari ini.

10. Akhir kalam, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian yang turut serta pada hari ini untuk sama-sama kita meraikan anak-anak yatim di dalam majlis berbuka puasa ini. Mudah-mudahan kita semua mendapat keampunan dan keberkatan sempena bulan yang mulia ini.

11. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir, Maaf Zahir dan Batin.

Sekian sahaja, wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamu Alaikum Wr Wb.


-----------------------------------------------------------------------------------
Gambar Lokasi Di Rumah Kebajikan Laila Taib (22 September):


Gambar 1 - Sebahagian daripada kanak-kanak yatim yang diraikan

Gambar 2 - DSP (B) Arifin menyampaikan cenderahati kepada YB Dr. Rahman.

Gambar 3 - YB Dr. Rahman sedang berucap di hadapan kanak-kanak yatim.

1. 2.

3.

No comments: