Wednesday, September 3, 2008

Amanat Kemerdekaan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak



[Petikan Ucapan Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak (Lihat Gambar) di dalam majlis Hi-Tea Kemerdekaan Ke-51 Bersama YB Puan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN N.7 Semariang, pada 30 Ogos, 2008, di dewan SIPEC, Jalan P. Ramlee, Kuching]

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurnia dan restuNya juga, kita semua telah dapat berkumpul pada petang ini, di dalam satu majlis ‘Hi-Tea’ Kemerdekaan Ke-51 Tahun Bersama Skuad 69 PDRM Sarawak.

2. Sebelum saya meneruskan ucapan ini, saya ingin mengajak semua yang hadir pada petang ini untuk sama-sama kita melaungkan ‘Merdeka…Merdeka….Merdeka’. Terima kasih!

3. Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak amat berbangga sekali kerana telah dapat turut serta merayakan Hari Ulangtahun Kemerdekaan yang Ke-51 pada tahun ini, dan kebetulan pula negeri Sarawak pada tahun ini sedang menyambut perayaan ‘45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia’, sebagai tanda kesyukuran dan kebangaan kita sebagai warga negeri ini yang telah menikmati kemajuan yang telah kita capai selama 45 tahun setelah Sarawak menyertai ‘Gagasan Malaysia’ pada 16 September 1963 lalu.

4. Kami amat berbangga sekali dan ingin merakamkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih yang tidak terhingganya kepada YB Puan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali selaku ADUN N.7 Samariang (Lihat Gambar Kanan), di atas kesudian beliau melapangkan masa untuk bersama-sama dengan Skuad 69 PDRM Sarawak pada petang ini, seterusnya kesempatan ini juga kita akan dapat mendengar amanat dan juga nasihat yang akan beliau berikan menerusi ucapan perasmiannya nanti. Marilah kita berikan tepukan kepada YB Puan Sharifah Hasidah..


Penyertaan Kali Ke-2

5. Untuk makluman YB, Skuad 69 PDRM Sarawak telah pun menerima jemputan daripada Kerajaan Negeri buat kali keduanya untuk mengambil bahagian di dalam upacara perararakan dan perbarisan Hari Kemerdekaan Ke-51 Peringkat Negeri Sarawak yang akan diadakan pada hari esok, 31 Ogos 2008. Kali pertama kami menyertai perbarisan seumpama ini ialah pada tahun lalu ketika negara menyambut perayaan Kemerdekaan Yang Ke-50 tahun, yang telah diadakan di Bandaraya Miri.

6. Pada tahun ini di atas semangat kemerdekaan yang masih segar dan tegar di dalam sanubari, kami sekali lagi terpanggil untuk merelakan diri menyertai perarakan Hari Kemerdekaan pada tahun ini dengan penuh kesyahduan sebagai anak Malaysia yang cintakan Negara. Kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak seramai 35 orang ini telah pun menjalani raptai perbarisan selama 3 hari bermula pada 26 Ogos lalu hinggalah raptai penuhnya yang telah berlangsung pada 28 Ogos. Walaupun kami telah meninggalkan pasukan sebagai seorang anggota polis, namun semangat kami tetap utuh dan masih unggul. Jiwa merdeka kami tidak mudah terpadam begitu saja, kerana kami merupakan pejuang yang telah berhadapan dengan musuh Negara, yang tidak mahukan Negara ini menikmati kemerdekaan.

Bertemu Kembali

7. Kami amat berbangga sekali kerana kesempatan seperti ini telah dapat kami gunakan untuk bertemu kembali di dalam satu pasukan kontinjen setelah lama kami tidak berbaris, menghayun tangan dan menghentakkan kaki untuk berkawad. Maklum sajalah, setelah menjadi polis pencen sebahagian besar daripada kami telah membawa haluan masing-masing, ada yang duduk di kampung bercucuk tanam, ada juga yang menyambung pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dan tidak kurang juga yang menceburi dunia perniagaan menjadi seorang usahawan dan sebagainya.

8. Untuk makluman YB juga, semua bekas-bekas polis yang berkumpul pada hari ini bukanlah calang-calang orang. Mereka ini menyimpan banyak pengalaman dan kenangan yang cukup dengan asam garam, pahit dan manisnya, terutamanya ketika berhadapan dengan tugas mencabar memburu pengganas komunis semasa negara dalam darurat dahulu. Pendekata, inilah dia wira-wira di dalam Skuad 69 PDRM yang telah banyak menabur bakti terhadap nusa dan bangsa.

9. Saya amat terharu sekali dengan kehadiran rakan-rakan seperjuangan di dalam majlis ini, dan perasaan saya amat tersentuh dengan kehadiran Lans Koperal (B) Seruji Ibrahim, walaupun beliau tidak sesempurna dan segagah dahulu, tetapi beliau sanggup hadir dengan berkerusi roda semata-mata untuk mengembalikan kekuatan semangatnya ketika berada di dalam pasukan polis. Kita berikan tepukan kepada mereka ini.

Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

10. Majlis hi-tea yang kita adakan pada petang ini bukan sekadar untuk menjamu selera petang, tetapi lebih daripada itu sebagai satu iltizam kami untuk menyahut seruan kerajaan supaya perayaan ulangtahun ke-51 Hari Kemerdekaan pada tahun ini dapat menyuburkan kegemilangan Malaysia sebagai sebuah negara yang telah bebas daripada cengkaman penjajah, dan rakyatnya pula sedang rancak memacu kejayaan wawasan untuk sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020.
Kami Tidak Lupa Sejarah Lalu

11. Walaupun negara kita sudah mencapai kemerdekaan sejak 51 tahun yang lalu, ini tidak bermakna yang kita sudah lupa dengan sejarah perjuangan lalu yang banyak mengajar kita tentang erti pengorbanan jiwa dan raga. Sebenarnya kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan negara kita pada hari ini banyak tergantung kepada semangat kental wira-wira negara kita yang nasionalisnya bukan alang kepalang lagi. Pejuang kita itu telah merintis kemerdekaan tanah air ini dengan menempuh segala ranjau ‘kolonialis’ seperti kezaliman tentera Jepun yang pernah bertapak di bumi kita ini sekitar tahun 1941 – 1943.

12. Sebelum itu lagi, negara kita juga telah bersilih ganti dicengkam oleh pihak penjajah bermula pada tahun 1511 dimana Portugis telah menakluki Melaka selama 130 tahun, dan diikuti pula penjajahan Belanda selama 150 tahun, dan selepas itu pula Inggeris telah dapat menguasai bumi Malaya termasuklah juga di Sarawak Bumi Kenyalang ini, dimana bermula pada tahun 1839 ‘James Brookes’ mula bertapak di negeri ini, seterusnya membentuk sebuah ‘Empayar Brookes’ yang telah menjadikan dirinya sebagai seorang Raja yang berkuasa ke atas bumi kenyalang ini dan bergelar ‘Rajah Brookes’.


13. Setelah Jepun menyerah kalah, negara kita juga dihimpit dengan ancaman pengganas komunis yang berselindung di sebalik perjuangan membebaskan negara dari penjajahan orang putih. Pergerakan bersenjata pengganas komunis di Malaya dan juga di Sarawak telah menjadi anasir terbesar yang mengancam keselamatan negara.

14. Walaupun negara telah mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, namun Parti Komunis Malaya (PKM) tidak mengktirafnya. Begitu juga dengan Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang menggabungkan Sarawak, Sabah dan Singapura di dalam sebuah kerajaan yang berdaulat yang dinamakan MALAYSIA tidak diiktiraf oleh segelintir rakyat Sarawak.

Konfrontasi Ganyang Malaysia

15. Beberapa pertubuhan di negeri ini yang pro komunis terus diperalatkan oleh anasir luar yang mahu membentuk sebuah negara republik komunis. Pergerakan militan komunis di Sarawak ini telah ditunjangi oleh PARAKU yang disokong kuat oleh TNKU yang juga pro komunis di Negara Indonesia pada masa itu. Rejim Sukarno di Indonesia juga tidak mengiktiraf pembentukan Malaysia, lantas mereka melancarkan ‘Konfrontasi Ganyang Malaysia – KOGAM’ dan pengganas komunis PARAKU di Sarawak telah diperalatkan untuk mengganyang rakyat Malaysia di negeri ini.
16. Negara terpaksa diisytiharkan darurat sebagai langkah untuk menjaga keselamatan rakyat dari diancamn oleh pengganas komunis. Pihak kerajaan terpaksa mengerahkan segala kekuatan untuk memburu pengganas komunis yang mengumpulkan kekuatannya di dalam hutan untuk melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan kita.

17. Hampir setiap hari manusia terbunuh, lebih-lebih lagi orang awam yang tidak berdosa. Harta benda yang tidak ternilai turut dimusnahkan. Setiap bulan kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menamatkan kehilangan nyawa, mengakhiri pertempuran dan kemusnahan atau kerosakan akibat tindakan komunis yang durjana itu.
Rascom Ditubuh 26 Mac 1972

18. Di Sarawak, kerajaan telah menubuhkan RASCOM pada 26 Mac 1972 untuk memantau dan memulihkan masalah keselamatan rakyat terutama di Bahagian Ke-3, Bahagian Ke-6 dan Ke-7 Sarawak yang menjadi kawasan hitam ketika itu. Rascom telah berjaya memulihkan keyakinan rakyat untuk menumpukan perhatian kepada pembangunan, sebaliknya rakyat telah sebulat hati untuk menolak perjuangan komunis.



Pertemuan Bersejarah skuad 69
dengan Bong Kee Chok - 1 Ogos 2006
Di kediaman Tun Abd Rahman Yakub

19. Hari ini negara kita tidak lagi berhadapan dengan ancaman komunis. Bong Kee Chok yang mengetuai PARAKU juga telah meletakkan senjata untuk merintis jalan kembali ke pangkuan masyarakat dengan termetrainya ‘Perjanjian Sri Aman’ pada 21 Okrober 1973; dan diikuti pula pada 17 Oktober 1990 dimana “Hung Chu Ting” pemimpin komunis Sarawak pada masa itu, juga telah membubarkan pergerakan militannya untuk kembali semula ke pangkuan masyarakat menerusi perjanjian yang ditandatangani di hadapan Datuk Patinggi Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak pada tarikh berkenaan.

20. Seiring dengan keamanan yang telah dicapai ini, kami di dalam pasukan polis tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh wira-wira terbilang di dalam PDRM Sarawak khususnya, seperti Mendiang Tuan ASP Menggong Ak Panggit, Allahyarham Johnie Mustapha, Mendiang Sjn Lanyau Ak Jamba, Tuan C/I Rentap Ak Jemut dan banyak lagi nama-nama pejuang di dalam Pasukan Polis Hutan yang telah berjuang bersabung nyawa untuk mengembalikan keamanan negara dari ancaman pengganas komunis.
Waris Pejuang

21. Kami mengharapkan generasi hari ini dapat mengambil iktibar daripada titisan perjuangan generasi terdahulu ini. Tanpa dahulu, takkan wujud hari ini. Skuad 69 PDRM Sarawak merupakan sebuah pertubuhan yang mewakili waris pejuang di dalam Pasukan Polis Hutan yang telah banyak bergelumang di perbatasan negara. Hari ini walaupun kami telah dikategorikan sebagai warga emas, namun semangat kami tetap perkasa. 51 Tahun Malaysia Merdeka, dan 45 tahun Sarawak bersama Malaysia, hendaklah dihayati sepenuhnya tanpa prejudis terhadap pejuang terdahulu.

YB, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

22. Sempena dengan sambutan dan perayaan kemerdekaan yang ke-51 dan 45 tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia ini juga, Skuad 69 PDRM Sarawak akan melancarkan ‘Buletin Edisi Keduanya’ sebagai ‘Edisi Khas Kemerdekaan’ yang dijangka akan diterbitkan pada bulan Oktober nanti. Edisi yang pertama telah pun diterbitkan dan ianya telah dilancarkan pada 30 Jun tahu lalu di Sibu.

23. ‘Edisi Merdeka’ ini akan memuatkan maklumat yang berkaitan dengan kisah perjuangan Pasukan Polis Hutan (PPH) dalam meredah onak dan duri untuk mengembalikan keamanan kepada rakyat dan negara. Tanpa pengkisahan ini sudah tentu generasi hari ini tidak dapat menjiwai detik-detik getir dan cabaran untuk sebuah kemerdekaan sejagat.

24. Kami mengharapkan edisi khasnya ini akan menjadi bingkisan berharga untuk menjadi tatapan kita semua. Dalam menjayakan penerbitan edisi ini, kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan juga kerjasama, terutamanya kepada IPK Sarawak, semua IPD dan KPDnya termasuk juga rakan-rakan penaja daripada sector korporat dan swasta yang begitu supportive terhadap penerbitan ini.
Penghargaan Kepada Rakan Penaja

25. Saya juga ingin mengambil kesempatan yang berharga ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada rakan-rakan penaja yang turut serta di dalam majlis kita pada hari ini, yang terdiri daripada Ir. Abdul Rahim Mahmud, daripada Syarikat Medansri Bina Sdn Bhd, begitu juga daripada Syarikat Tegas Jayasama Plantation Sdn Bhd yang diwakili oleh Encik Saili Sulaiman yang juga merupakan Pengerusi Biro Ekonomi Skuad 69 PDRM Sarawak.

26. Saya juga tidak lupa untuk menyatakan setinggi penghargaan kepada Encik Ramizan Bujang daripada Syarikat Ramizar Enterprise kerana begitu bermurah hati menjadi rakan penaja kami, dan seterusnya tidak lupa kepada Syarikat Ezzanoni Fashion & Beauty yang diwakili oleh Datin Ezanoni sendiri yang juga menjadi rakan penaja baru kami. Kami juga amat berterima kasih kepada Encik Chin Chee Nam daripada Syarikat Chin Electrical & Electronic Service dan juga kepada Puan Hajah Mariam daripada Mariam Cake yang menyediakan sajian Kek Lapis Sarawaknya untuk jamuan kita pada petang ini.

27. Mudah-mudahan sokongan dan kerjasama yang telah diberikan ini akan dapat diteruskan di masa-masa yang akan datang. Budi baik yang ditaburkan itu akan kekal di dalam ingatan kami. Kepada semua ahli jawatankuasa dan juga seluruh anggota Skuad 69 PDRM Sarawak, saya amat terhutang budi dengan tuan-tuan semua. Sokongan yang diberikan terhadap kepimpinan amatlah dihargai dan akan tersemat abadi di dalam ingatan saya. Insya Allah, di tahun hadapan kita akan sekali lagi mengambil bahagian di dalam upacara perbarisan Hari Kemerdekaan seperti hari ini.

28. Saya ingin mengakhiri ucapan ini dengan sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Puan Sharifah Hasidah di atas kesudian melapangkan masa bersama-sama kami pada petang ini. Semoga hubungan intim ini dapat memberikan manfaat kepada seluruh warga Skuad 69 PDRM Sarawak.

29. Semoga sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini dapat dirayakan dengan penuh semangat kebangsaan yang tulen demi untuk agama, bangsa dan negara.

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!

Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamu Alaikum Wr Wb.

----------------------------------------------------------------------------------------
Gambar Lokasi (30 Ogos) :

Majlis Hi-Tea Kemerdekaan Skuad 69 di Dewan Sipec, Kuching





No comments: