Wednesday, November 12, 2008

PENGALAMAN SKUAD 69 DIPERLUKAN UNTUK PERANGI JENAYAH




Gambar kiri: Datuk Talib sedang memecahkan bongkah ais .Gambar Kanan: AJK dan Petugas Malam Mesra Amal Skuad 69.


Pengalaman yang dimiliki oleh Skuad 69 sebagai bekas anggota polis masih diperlukan terutama untuk membantu kerajaan dalam memerangi jenayah yang sering berlaku hari ini. Demikian pandangan yang telah diutarakan oleh YB Datuk Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak semasa berucap merasmikan Buletin dan Laman Blog Skuad 69 PDRM Sarawak di Bintulu, sabtu lepas (8 November).
Skuad 69 miliki pengalaman dan keupayaan
Datuk Talib Zulpilip berkata, dua elemen penting yang ada pada Skuad 69 iaitu pengalaman dan keupayaan wajar digunakan untuk membantu anggota polis semasa membanteras jenayah di negeri ini.
"Kita mahu tindakan cepat dengan mengambil semula pesara polis terutama yang masih cergas untuk membantu mengekang jenayah daripada terus berleluasa di negeri ini."
Datuk Talib juga berkata, semua pihak boleh menyumbang sesuatu dalam usaha membanteras jenayah, lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang merosot dilihat menjadi salah satu faktor kepada pertaambahan kes-kes jenayah.
Membantu memburu penjenayah
Bekas polis dan tentera terutamanya bekas-bekas pegawai amat penting dalam membantu masyarakat dalam perkara ini memandangkan tenaga, pengalaman dan kepandaian yang mereka miliki akan dapat membantu memburu penjenayah," jelasnya.
"Mengapa pengalaman mereka yang telah bersara tetapi masih cergas tidak dimanfaatkan untuk memburu penjanayah? Tidak salah jika kita meminta mereka dengan memberikan elaun bagi membantu masyarakat membanteras jenayah"
Saya rasa pesara-pesara Skuad 69 dapat membantu kita dalam perkara ini. Jika hendak mengambil orang baru akan mengambil masa yang lama untuk melatih mereka, di samping kurang pengalaman," jelasnya.
miliki semangat patriotik
"Justeru, kita perlu manfaatkan keupayaan pesara-pesara polis ini yang masih gagah, cergas ditambah pula memiliki semangat patriotik yang kental. Kita perlu memikirkan perkara ini demi untuk negara," katanya.
Datuk Talib turut menyarankan agar pesara-pesara polis dan tentera dapat bekerjasama membantu masyarakat dengan kebijaksanaan memberikan maklumat kepada pihak polis tentang kejadian jenayah seperti kes-kes penyeludupan beras yang menyukarkan rakyat untuk memperolehinya, sebaliknya penyeludup dan penyorok beras pula yang mengaut keuntungan.
Terima kasih kepada Skuad 69
"Begitupun, adakah kita memiliki keberanian untuk membuat laporan mengenai kegiatan sebegini? Saya yakin bekas-bekas anggota polis seperti Skuad 69 ini ada sifat itu, kerana kita tidak boleh membiarkan kegiatan sebegini berleluasa," tegasnya lagi.
"Semangat patriotik tidak boleh berhenti dalam diri kita walaupun kita telah bersara," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Skuad 69 atas jasa yang telah ditaburkan sehingga melumpuhkan kegiatan komunis di negara ini.
Di dalam majlis yang sama, Datuk Talib telah menyampaikan sumbangan amal berupa hamper kepada lima orang anak yatim daripada Kpg Sebiew dan lima orang ibu tunggal dari Kpg Jepak dan Kpg Assyakirin, Bintulu. \
Turut hadir dalam majlis ini ialah Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak, DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Timbalan Residen Bintulu Sirai Daha dan Pengerusi Kolej Penerbangan Antarabangsa GGIFA Dato' Morshidi Abdul Rahman.


Sebahagian daripada anak yatim dan ibu tunggal yang menerima sumbangan hamper

No comments: