Wednesday, November 26, 2008

Presiden Skuad 69 terpilih Ahli Lembaga Pengadil MAVA


Gambar hiasan Bola Tampar

DSP (B) Muhamad Yusof Isa Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak telah terpilih dengan majoriti tertinggi sebagai Ahli Lembaga Pengadil Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) 2008-2009. Beliau yang mewakili Negeri Perlis di dalam mesyuarat agung MAVA yang diadakan pada hari sabtu lalu, 22 November 2008 telah memperolehi 13 undi daripada 16 orang wakil yang hadir di dalam mesyuarat tersebut yang diadakan di Kemaman, Terengganu.

Di dalam mesyuarat agung itu juga telah memilih Joseph Gerard dari Kuala Lumpur sebagai Pengerusi, manakala Abdul Rashid Hamzah daripada Selangor telah dipilih sebagai Naib Pengerusi, Abd. Rahman Ahmad daripada Kuala Lumpur sebagai Setiausaha, Azmi Abdul Rahman daripada Pahang terpilih sebagai Penolong Setiausaha dan Ahmad Ridhuan daripada Negeri Sembilan pula terpilih sebagai Bendahari.

Selain DSP (B) Muhamad Yusof Isa, turut dipilih menduduki ahli jawatankuasa MAVA ialah Jimmy Tang daripada Johor. Sementara itu bagi jawatan juruaudit telah disandang oleh Lok Chun Fong dan Haji Abidin Bachik kedua-duanya dari Melaka.

Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan setinggi tahniah kepada DSP (B) Muhamad Yusof Isa di atas kejayaan dan juga penghormatan yang telah diberikan oleh MAVA. Bolehlah beliau mengambil daya usaha untuk menganjurkan kejohanan bola tampar di negeri Sarawak ini. Skuad 69 boleh bertindak sebagai penganjurnya.

1 comment:

Joseph Gerard said...

Saya bagi pihak Ahli-Ahli Exco dan ahli-ahli Lembaga Pengadil Persatuan Bola Tampar Kuala Lumpur (KLAVA), ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Muhamad Isa di atas perlantikan beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Lembaga Pengadil Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA). Sesungguhnya perlantikan beliau adalah tepat pada masanya.

Walaupun Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Muhamad Isa kini merupakan Pengerusi Lembaga Pengadil Persatuan Bola Tampar Negeri Perlis, hubungan Tuan dengan Lembaga Pengadil KLAVA telah lama wujud. Sebelum beliau memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengadil di Negeri Perlis, Tuan merupakan ahli, Timbalan Pengerusi dan Penasihat Lembaga Pengadil KLAVA. Selama beliau bersama-sama dengan lembaga kami, beliau telah menunjukkan kebolehan, keaktifan dan komitmen yang cemerlang.

Di sini saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Muhamad Isa, diatas sokongan, kepercayaan dan kerjasama yang telah diberikan kepada saya, dengan melantik saya sebagai Pengerusi Lembaga Pengadil MAVA.

Sekali lagi, TAHNIAH Tuan.


Joseph Gerard
Pengerusi Lembaga Pengadil MAVA
merangkap,
Pengerusi Lembaga Pengadil KLAVA