Sunday, May 24, 2009

RAKYAT MALAYSIA BELUM BOLEH TERIMA 'CHIN PENG'...

Rakyat negara ini masih belum boleh menerima kehadiran Chin Peng untuk kembali ke tanah airnya. Jika ditanya kepada wira-wira pejuang di dalam pasukan Angkatan Tentera dan juga pasukan polis yang pernah bertempur dengan gerila komunis yang dipimpin oleh Chin Peng semasa negara ini diancam oleh pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu, tentunya mereka akan terkenang betapa peritnya cabaran yang telah dilalui sehingga memaksa ribuan nyawa yang telah terkorban, dan tidak kurang juga yang telah menanggung derita dengan kecacatan kekal yang dialami akibat tersadung jerangkap samar yang diperangkap oleh gerila-gerila komunis yang dikepalai oleh Chin Peng.

Oleh hal yang demikian, seluruh warga Skuad 69 PDRM Sarawak yang pernah berjuang di dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) untuk menjaga keselamatan awam ketika negara di dalam darurat dahulu tidak pernah lupa betapa kejamnya gerombolan pengganas komunis ini yang telah membunuh banyak nyawa, sehingga negara dan rakyatnya turut merasakan terancam.

(Foto: Chin Peng bersama Rashid Maidin (di belakangnya) ketika hendak menuju ke meja Rundingan Damai Baling pada 28 & 29 Disember 1955)

Tentunya Chin Peng akan mereka cipta pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan yang pernah mereka cerobohi. Negara yang telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, telah dinafikan oleh Chin Peng. Semangat patriotik cintakan negara ini tidak tertanam di dalam sanubari pemimpin Parti Komunis Malaya ini. PKM sebenarnya mahu mendominasikan negara ini dengan fahaman komunisme, tetapi rakyat telah menolaknya.

Chin Peng terpaksa mengerahkan segala kekuatannya dan telah diperkuatkan lagi dengan penubuhan Rejimen ke-10 (Tentera Pembebasan Nasional Malaya - TPNM) yang dipimpin oleh Abdullah CD. Rejim komunis ini telah bersarang di hutan belantara dengan mengangkat senjata untuk menentang pasukan keselamatan yang mereka anggap sebagai anjing kerajaan.

Benteng pertahanan negara terpaksa diperkuatkan di perbatasan tanah air kita, kerana PKM telah bertindak ganas memusnahkan balai-balai polis, merampas senjata, mengugut rakyat marhain malah mereka bertindak kejam membunuh sesiapa saja yang dilihat pro kepada pasukan keselamatan.

Oleh itu sekali lagi kami daripada warga Skuad 69 PDRM Sarawak menggesa pihak kerajaan supaya tidak melayani karenah Chin Peng ini. Kami tidak bersetuju dengan pandangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang mahukan supaya kerajaan menerima semula kehadiran bekas pemimpin PKM ini, dengan beralaskan hujah kemanusiaan.

Kita mahukan Chin Peng memahami aspirasi rakyat negara ini yang tidak boleh memaafkannya lagi kerana terlalu banyak angkara khianat yang telah dipalitkannya terhadap negara ini.

Malaysia tidak perlukan lagi spesis seperti Chin Peng ini.


1 comment:

Gedung Akal said...

Tuan,
Satu penyelesaian mudah ialah dakwahkan Cnin Peng agar Masuk Islam. Orang Melayu sudah tidak marah lagi sebab Chin Peng sudah masuk Melayu (dan dipotong anunya)
Mari kita lihat apa reaksi Rais Yatim, Jamil Khir, PKPIM dan askar-askar Melayu.
Apa tunggu lagi ABIM, JIM, WADAH,JAIP dll.ergilah dakwah Chin Peng agar masuk Islam.