Gereja Kristian Anglican di Miri yang dikhianati
Skuad 69 PDRM Sarawak turut tersentuh dengan situasi yang menyelubungi negara mutakhir ini, terutama yang membabitkan insiden pembakaran dan serangan terhadap beberapa buah gereja termasuk sebuah gereja Good Shepherd (Anglican) di Lutong, Miri pada pagi ahad yang lalu.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri di dalam satu kenyataannya kelmarin menyatakan sehingga ini terdapat tujuh buah gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak yang telah menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme oleh pihak tertentu.
"Keadaan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu khuatir dan diingatkan juga supaya tidak terpengaruh dengan laporan-laporan di dalam internet serta melalui khidmat pesanan ringkas SMS," katanya.
Insiden yang memalukan ini berlaku ekoran daripada tindakan emosi yang dipercayai dilakukan oleh golongan yang berfikiran sempit yang bertindak atas nama kecintaan kepada 'Allah' sehingga mereka terlupa bahawa Allah Taala tidak membenarkan umat Islam menceroboh mana-mana rumah ibadat walaupun di dalam peperangan.
Skuad 69 PDRM Sarawak amat kesal dan kecewa dengan kejadian ini, kerana negara Malaysia selama ini memang terkenal sebagai negara yang aman sentosa walaupun terdiri daripada pelbagai anutan agama dan juga bangsa.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama resminya, namun ia tidak bermakna bahawa Malaysia boleh melakukan tindakan-tindakan provokatif yang menghalang penganut agama yang lainnya untuk bebas beribadat di rumah ibadat masing-masing termasuk gereja.
Isu penggunaan kalimat 'Allah' di dalam majalah 'The Herald' oleh Roman Katholik Kristian yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini bukan bermakna umat Islam mesti bertindak terhadap agama kristian dengan membakar atau merosakkan gereja-gereja. Tindakan sedemikian bukanlah terlalu bijaksana untuk diteladani, kerana isunya adalah ALLAH sebagai Tuhan yang dimuliakan, bukannya meletakkan Allah sebagai lambang kezaliman.
Oleh yang demikian, sebagai sebuah persatuan yang dianggotai oleh pelbagai ahli yang menganuti agama Islam dan juga agama Kristian, maka Skuad 69 PDRM Sarawak mengutuk perbuatan melampau ini, seterusnya kami berharap supaya isu ini dapat segera diatasi untuk mengembalikan suasana yang lebih harmoni di negara ini.
Kami juga berpendapat seharusnya selepas ini dialog diantara agama dapat diadakan secara toleran bagi membolehkan semua penganut agama di negara ini menghormati kemuliaan agama masing-masing tanpa menjejaskan penghormatan terhadap agama Islam sebagai agama resmi negara ini.
No comments:
Post a Comment