Friday, May 29, 2009

YB AHMAD LAI BUJANG, AHLI PARLIMEN SIBUTI SERAH SUMBANGAN KEPADA SKUAD 69 PDRM SARAWAK

YB Ahmad Lai Bin Bujang (Foto, kanan), Ahli Parlimen Sibuti telah bermurah hati menyerahkan sumbangannya sebanyak RM1,500 kepada Skuad 69 PDRM Sarawak. Satu majlis penyerahan sumbangan tersebut telah berlangsung di Dynasty Hotel Miri hari ini (29 Mei 2009) yang turut disertai oleh wakil-wakil NGO yang lainnya.

Affandi Ahmad dan Mohamad Rashidi telah mewakili Skuad 69 PDRM Sarawak untuk menerima cek sumbangan tersebut daripada YB Ahmad Lai Bujang. Sebelum ini, YB Ahmad Lai telah menghadiri ke majlis makan malam sempena Jelajah Amal Skuad 69 PDRM Sarawak yang diadakan pada 24 April yang lalu di Hotel Imperial Miri.

Warga Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada YB Ahmad Lai di atas kprihatinannya terhadap bekas-bekas anggota polis di dalam Skuad 69.


BONG KEE CHOK KETUA PARAKU DI SARAWAK, MANAKALA CHIN PENG KETUAI PKM DI MALAYA.


(Foto: Bong Kee Chok)

Isu mutakhir yang sedang hangat diperkatakan di dalam media tempatan negara kita hari ini ialah mengenai KOMUNIS. Komunis merupakan suatu bentuk ideologi yang diimpot daripada negara China dan juga Rusia.

Pergerakan komunis di negara kita telah dilihat sebagai satu ancaman terbesar kepada rakyat jelata sebelum termeterai suatu perjanjian damai pada 2 Disember 1989 di Haadyai, Thailand diantara kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Di Sarawak bumi kenyalang juga tidak terkecuali daripada menerima tentangan hebat pengganas komunis yang digerakkan oleh Partai Rakyat Kalimantan Utara atau dikenali dengan nama PARAKU yang diketuai oleh BONG KEE CHOK.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
(Foto di atas: Bong Kee Chok (di tengah-tengah) ketika bersama-sama dengan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak (Kanan) dan Setiausaha Eksekutif Skuad 69 PDRM Sarawak, Abdul Rahman Hashim (Kiri). Detik pertemuan itu berlangsung di kediaman Tun Rahman Yakub di Petra Jaya, Kuching pada 1 Ogos 2006)
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PARAKU terlebih awal telah merintis jejak perdamaian setelah termeterainya Perjanjian Sri Aman pada 21 Oktober 1973, yang melibatkan pihak PARAKU dengan kerajaan Malaysia. Sebagai Pengarah Komisar Politik PARAKU, Bong Kee Chok telah mendepani hasratnya untuk kembali ke pangkuan masyarakat dengan persetujuan meletakkan senjata seterusnya berdamai dengan pihak kerajaan pada tahun yang berkenaan.

Sementara itu, CHIN PENG pula yang memimpin Parti Komunis Malaya atau PKM setelah dua kali diadakan perundingan bermula dengan 'Perundingan Baling' pada tahun 1955 sebelum merdeka yang dilihat sebagai gagal. Namun setelah berlakunya perundingan susulan pada tahun 1989, telah menyaksikan episod pertentangannya dengan pihak kerajaan Malaysia telah berjaya ditamatkan.

(Foto: Chin Peng (di tengah) bersama dengan pemimpin-pemimpin kanan PKM)

Perjanjian damai di Haadyai, di Selatan Thailand pada 2 Disember 1989 sebenarnya merupakan titik tolak yang telah mendorong kepada suatu bentuk persefahaman sebagai misi perdamaian. Chin Peng yang turut disertai bersama Rashid Maidin dan Abdullah CD iaitu pemimpin kanan Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya telah bersepakat untuk menamatkan perjuangan mereka yang telah bersarang di hutan belantara sekian lamanya dengan beberapa persetujuan yang telah dicapai dengan pihak kerajaan Malaysia.

Diantara Bong Kee Chok dan Chin Peng, sebenarnya mereka ini sama sahaja. Mereka berdua adalah pemimpin komunis. Kedua-duanya juga telah melakukan pengkhianatan yang maha dahsyat setelah pasukan gerila mereka bertempur dengan pasukan tentera dan pasukan polis sehingga mengakibatkan ribuan nyawa yang terkorban. Ketumbukan pasukan tentera dan pasukan polis terpaksa diperbesarkan untuk menentukan kesiapsiagaannya mampu berhadapan dengan anacaman pengganas komunis.

Pasukan Polis Hutan (PPH) yang terbentuk di bawah panji-panji PDRM terpaksa diperkuatkan pada tahun 1969, setelah lebih daripada lima ribu anak-anak muda dari seluruh negara direkrutkan sebagai 'mata-mata' yang bertujuan untuk memusnahkan pergerakan gerila komunis yang terdapat di semenanjung Malaysia dan juga di Sarawak.

(Foto - Anggota PPH ketika dalam operasi di Tg. Kunyit, Sarawak)

Setelah tamat latihan, anggota-anggota Skuad 69 ini telah menyarung baju hijau untuk dikerahkan menyertai berbagai operasi di seluruh negara termasuk di Sarawak. Sesungguhnya Chin Peng dan Bong Kee Chok begitu ghairah untuk mempastikan negara ini dikomuniskan dengan falsafah ideologi marxisme dan leninisme.

Paraku dan PKM sebenarnya mereka berselindung di sebalik tirai kemerdekaan kononnya negara ini belum bebas lagi dari cengkaman kolonialisme (penjajah), maka perjuangan mereka dikatakan untuk menghalau penjajah. Untuk tujuan itu, pasukan gerila mereka terpaksa berperang dengan pasukan keselamatan negara. Tindakan ini menyebabkan negara berada di dalam kondisi yang merbahaya, dan rakyat sentiasa berada dalam ketakutan.

(Foto - Anggota PPH menyeberangi Sg. Rajang di Sarikei, Sarawak)

Bong Kee Chok dan Chin Peng harus dipertanggungjawabkan di atas pengkhianatan dan kezaliman yang telah mereka lancarkan selama ini. Walaupun negara sudah bebas daripada anacaman pengganas komunis, namun rakyat negara ini masih dibelenggu dengan ingatan dan nostalgia ngeri yang memeritkan.

Bong Kee Chok bernasib baik kerana dirinya telah diterima oleh masyarakat di negeri Sarawak. Dirinya dikatakan telah mendapat layanan yang lebih baik jika dibandingkan dengan nasib perajurit dan wira-wira yang kini menjadi pesara veteran.

Nasib Chin Peng tidak sebaik Bong Kee Chok, kerana Chin Peng kini berada di dalam buangan. Kerajaan masih belum boleh menerimanya untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Chin Peng yang mengharapkan simpati untuk pulang ke tanah airnya, tetapi bumi yang disimbahnya dengan darah pejuang yang menentangnya telah bersumpah untuk tidak mahu melihatnya berada di bumi Malaaysia.

Biarlah Chin Peng menghabiskan sisa-sisa hidupnya itu di alam buangan, kerana dirinya masih tersalut dengan darah komunis.

Klik pada gambar ini untuk imej lebih besar
Keratan Akhbar: Kenyataan resmi yang dibuat oleh Presiden
Skuad 69 PDRM Sarawak berkaitan dengan isu Chin Peng
yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia muka 12
bertarikh 28 Mei 2009


Sunday, May 24, 2009

RAKYAT MALAYSIA BELUM BOLEH TERIMA 'CHIN PENG'...

Rakyat negara ini masih belum boleh menerima kehadiran Chin Peng untuk kembali ke tanah airnya. Jika ditanya kepada wira-wira pejuang di dalam pasukan Angkatan Tentera dan juga pasukan polis yang pernah bertempur dengan gerila komunis yang dipimpin oleh Chin Peng semasa negara ini diancam oleh pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu, tentunya mereka akan terkenang betapa peritnya cabaran yang telah dilalui sehingga memaksa ribuan nyawa yang telah terkorban, dan tidak kurang juga yang telah menanggung derita dengan kecacatan kekal yang dialami akibat tersadung jerangkap samar yang diperangkap oleh gerila-gerila komunis yang dikepalai oleh Chin Peng.

Oleh hal yang demikian, seluruh warga Skuad 69 PDRM Sarawak yang pernah berjuang di dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) untuk menjaga keselamatan awam ketika negara di dalam darurat dahulu tidak pernah lupa betapa kejamnya gerombolan pengganas komunis ini yang telah membunuh banyak nyawa, sehingga negara dan rakyatnya turut merasakan terancam.

(Foto: Chin Peng bersama Rashid Maidin (di belakangnya) ketika hendak menuju ke meja Rundingan Damai Baling pada 28 & 29 Disember 1955)

Tentunya Chin Peng akan mereka cipta pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan yang pernah mereka cerobohi. Negara yang telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, telah dinafikan oleh Chin Peng. Semangat patriotik cintakan negara ini tidak tertanam di dalam sanubari pemimpin Parti Komunis Malaya ini. PKM sebenarnya mahu mendominasikan negara ini dengan fahaman komunisme, tetapi rakyat telah menolaknya.

Chin Peng terpaksa mengerahkan segala kekuatannya dan telah diperkuatkan lagi dengan penubuhan Rejimen ke-10 (Tentera Pembebasan Nasional Malaya - TPNM) yang dipimpin oleh Abdullah CD. Rejim komunis ini telah bersarang di hutan belantara dengan mengangkat senjata untuk menentang pasukan keselamatan yang mereka anggap sebagai anjing kerajaan.

Benteng pertahanan negara terpaksa diperkuatkan di perbatasan tanah air kita, kerana PKM telah bertindak ganas memusnahkan balai-balai polis, merampas senjata, mengugut rakyat marhain malah mereka bertindak kejam membunuh sesiapa saja yang dilihat pro kepada pasukan keselamatan.

Oleh itu sekali lagi kami daripada warga Skuad 69 PDRM Sarawak menggesa pihak kerajaan supaya tidak melayani karenah Chin Peng ini. Kami tidak bersetuju dengan pandangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang mahukan supaya kerajaan menerima semula kehadiran bekas pemimpin PKM ini, dengan beralaskan hujah kemanusiaan.

Kita mahukan Chin Peng memahami aspirasi rakyat negara ini yang tidak boleh memaafkannya lagi kerana terlalu banyak angkara khianat yang telah dipalitkannya terhadap negara ini.

Malaysia tidak perlukan lagi spesis seperti Chin Peng ini.


Monday, May 18, 2009

SKUAD 69 PDRM SARAWAK ADAKAN MESYUARAT AGUNG TAHUNANNYA PADA 20 JUN 2009, DI BINTULU.

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak akan mengadakan mesyuarat agung tahunan 2009 pada hari Sabtu, 20 Jun 2009, jam 3.00 petang, bertempat di New World Suites, di Bintulu. Mesyuarat agung kali ke-3 ini akan dirasmikan oleh YB Datuk Haji Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak (N.58).

Sempena dengan mesyuarat agung kali ini, Skuad 69 PDRM Sarawak juga akan mengadakan Expo yang bertemakan 'Keamanan Satu Malaysia' yang akan memaparkan bahan-bahan sejarah perjuangan anggota pasukan keselamatan khususnya ketika mempertahankan negara ini daripada ancaman pengganas komunis.

Expo ini akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 19 hingga 21 Jun 2009, yang akan diadakan di ParkCity Mall, Bintulu. Selain Skuad 69, expo ini juga akan disertai oleh Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Negeri Sarawak dan juga daripada Jabatan Arkib Negara Negeri Sarawak. Manakala Jabatan Kesihatan Daerah juga akan terlibat dengan membuka kaunter pemeriksaan kesihatan sepanjang expo ini berjalan.






Wednesday, May 13, 2009

PENGUMUMAN
MESYUARAT AHLI JAWATANKUASA SKUAD 69 PDRM SARAWAK

Mesyuarat ahli jawatankuasa Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:-

Tarikh:
Hari Sabtu, 16 Mei 2009
Masa:
3.00 petang
Tempat:
Bilik Mesyuarat Skuad 69 PDRM Sarawak
Jalan Rubber, Kuching.

Semua AJK yang berkenaan dijemput hadir. Terima kasih.


Maklumat daripada: Urusetia Skuad 69 PDRM Sarawak.
SKUAD 69 PDRM SARAWAK DEKATI MASYARAKAT UNTUK PERANGI JENAYAH

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengambil langkah ke hadapan dengan mendekati masyarakat menerusi program Jelajah Amalnya ke seluruh daerah di setiap Bahagian di negeri ini, dengan membawa satu mesej untuk membantu mensifarkan jenayah yang kian meningkat jejak akhir-akhir ini.

"Dalam kata lain program jelajah amal ini diadakan adalah untuk memasyarakatkan Skuad 69 PDRM Sarawak sebagai sebuah pertubuhan yang cintakan keamanan untuk mengajak masyarakat supaya bersama-sama memerangi jenayah," demikian kata Presiden Skuad 69, DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Foto), ketika berucap di majlis makan malam di Miri.

DSP (B) Muhamad Yusof Isa turut menarik perhatian dengan berkata bahawa Skuad 69 PDRM Sarawak menerusi aktiviti jelajahnya akan menubuhkan 'Skuad Anti Jenayah 69' yang berperanan untuk menjadi mata dan telinga kepada pasukan polis.

"Saya percaya dengan adanya pengalaman yang ditimba semasa masih berkhidmat dalam pasukan polis, anggota skuad ini mampu menggalas tugas ini dengan baik," ujar beliau sambil mengaku semangat mereka tidak pernah luntur walaupun telah bersara.

Di dalam ucapannya juga, DSP (B) Muhamad Yusof Isa telah menyatakan bahawa program jelajah amal ini juga pihak persatuan akan mengadakan pameran bergerak untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan tentang komitmen pasukan keselamatan terutamanya pasukan polis dalam menghadapi ancaman pengganas komunis ketika negara menghadapai darurat.

Dalam pameran ini, persatuan ini juga akan mendapat kerjasama daripada Jabatan Arkib Negara Sarawak yang akan membekalkan bahan-bahan maklumat yang berkaitan dengan perjuangan pasukan keselamatan semasa melaksanakan RASCOM sekitar tahun 1970-an, di negeri ini.

Turut menyertai pameran jelajah amal Skuad 69 PDRM Sarawak ialah pihak Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Anti Dadah (AADK), Jabatan Kesihatan Daerah dan juga PDRM sendiri.

(Sila lihat koleksi gambar sempena majlis makan malam Jelajah Amal Skuad 69 PDRM Sarawak di dalam posting seperti di bawah ini.

SEKITAR MAJLIS MAKAN MALAM JELAJAH AMAL SKUAD 69
PDRM SARAWAK DI IMPERIAL HOTEL, MIRI - 24 APRIL 2009


YB ANDY CHIA CHU FATT, Adun Pujut (Di tengah-tengah) bersama-sama
dengan Ahli Jawatankuasa Pengelola Malam Amal.




Presiden & Tim. Presiden - aksi berkaraoke


Kiri: Ketika melancarkan program Jelajah Amal Skuad 69 PDRM Sarawak.
Kanan: Para Penaja dengan replika cek masing-masing


BERUCAP. YB Andy Chia Chu Fatt (Kiri), DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Kanan)


Kiri: Abd. Rahman (MC). Kanan: Meja VVIP


Susana di meja makan.


Kiri: VIP diraikan di bilik VIP Hotel Imperial.
Kanan: YB Andy Chia Chu Fatt
diberi sambutan.


Kiri: YB Ahmad Lai Bujang (Ahli Parlimen Sibuti) bersama DSP (B) Arifin Adenan.
Kanan: YB Ahmad Lai diberikan bunga 'roset' oleh penyambut tetamu.