Tuesday, January 12, 2010

MENGAPA SAYANGKAN ALLAH, GEREJA DIROSAKKAN?



Gereja Kristian Anglican di Miri yang dikhianati

Skuad 69 PDRM Sarawak turut tersentuh dengan situasi yang menyelubungi negara mutakhir ini, terutama yang membabitkan insiden pembakaran dan serangan terhadap beberapa buah gereja termasuk sebuah gereja Good Shepherd (Anglican) di Lutong, Miri pada pagi ahad yang lalu.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri di dalam satu kenyataannya kelmarin menyatakan sehingga ini terdapat tujuh buah gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak yang telah menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme oleh pihak tertentu.

"Keadaan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu khuatir dan diingatkan juga supaya tidak terpengaruh dengan laporan-laporan di dalam internet serta melalui khidmat pesanan ringkas SMS," katanya.

Insiden yang memalukan ini berlaku ekoran daripada tindakan emosi yang dipercayai dilakukan oleh golongan yang berfikiran sempit yang bertindak atas nama kecintaan kepada 'Allah' sehingga mereka terlupa bahawa Allah Taala tidak membenarkan umat Islam menceroboh mana-mana rumah ibadat walaupun di dalam peperangan.

Skuad 69 PDRM Sarawak amat kesal dan kecewa dengan kejadian ini, kerana negara Malaysia selama ini memang terkenal sebagai negara yang aman sentosa walaupun terdiri daripada pelbagai anutan agama dan juga bangsa.

Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama resminya, namun ia tidak bermakna bahawa Malaysia boleh melakukan tindakan-tindakan provokatif yang menghalang penganut agama yang lainnya untuk bebas beribadat di rumah ibadat masing-masing termasuk gereja.

Isu penggunaan kalimat 'Allah' di dalam majalah 'The Herald' oleh Roman Katholik Kristian yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini bukan bermakna umat Islam mesti bertindak terhadap agama kristian dengan membakar atau merosakkan gereja-gereja. Tindakan sedemikian bukanlah terlalu bijaksana untuk diteladani, kerana isunya adalah ALLAH sebagai Tuhan yang dimuliakan, bukannya meletakkan Allah sebagai lambang kezaliman.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah persatuan yang dianggotai oleh pelbagai ahli yang menganuti agama Islam dan juga agama Kristian, maka Skuad 69 PDRM Sarawak mengutuk perbuatan melampau ini, seterusnya kami berharap supaya isu ini dapat segera diatasi untuk mengembalikan suasana yang lebih harmoni di negara ini.

Kami juga berpendapat seharusnya selepas ini dialog diantara agama dapat diadakan secara toleran bagi membolehkan semua penganut agama di negara ini menghormati kemuliaan agama masing-masing tanpa menjejaskan penghormatan terhadap agama Islam sebagai agama resmi negara ini.


Monday, January 11, 2010

MESYUARAT AHLI JAWATANKUASA KE-2

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasanya kali ke-2 pada Sabtu lepas, 9 Januari 2010, di pejabat urusetia Skuad 69 di Jalan Rubber, Kuching, Sarawak. Mesyuarat yang pertama telah diadakan pada 17 Julai 2009.

Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 12 orang ahli jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tuan DSP (B) Arifin Haji Adenan, Timbalan Presiden, Skuad 69 PDRM Sarawak. DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 tidak bersama di dalam mesyuarat ini kerana beliau berada di Kuala Lumpur atas urusan yang tidak dapat dielakkan.

Sunday, November 22, 2009

HARI KELUARGA '69 DI SEMATAN JADI PEMBUKA TIRAI 2010.


Pemandangan di Holiday Chalet Sematan yang menjadi venue Hari Keluarga '69

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak akan mengadakan Hari Keluarga '69 sebagai acara pembuka tirai tahun 2010. Hari Keluarga '69 ini dijadualkan akan berlangsung pada 1 Januari 2010 sehingga 2 Januari 2010, bertempat di Holiday Chalet Sematan.

Hari Keluarga yang julung kali diadakan ini akan diseliakan oleh Biro Kebajikan dan Sosial Skuad 69 PDRM Sarawak yang dipengerusikan oleh Encik Mohamad Haji Mos. Tujuan hari keluarga ini diadakan adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di dalam satu ikatan keluarga Skuad 69 PDRM Sarawak.

Perhimpunan Keluarga '69 ini juga dijangka akan dapat menyuntik semangat baru yang lebih jitu ke arah memantapkan organisasi ini dengan berkat sokongan moral yang diperolehi daripada anggota keluarga '69 yang bakal memeriahkan Hari Keluarga ini.

Hari Keluarga '69 ini dijangka akan disertai oleh semua ahli yang terdiri daripada bekas-bekas anggota polis di dalam Skuad 69 di seluruh Sarawak. Sehingga hari ini seramai 105 orang bekas anggota Skuad 69 PDRM Sarawak telah menjadi ahli kepada Persatuan ini.

Semua ahli juga disarankan agar membawa isteri masing-masing dan juga anak-anak untuk mengambil bahagian di dalam beberapa acara sukaneka yang akan dijalankan nanti. Di dalam majlis itu juga Persatuan ini akan menyampaikan sumbangan kebajikan berupa alat-alat persekolahan kepada kanak-kanak yang memerlukannya.

Pihak Persatuan telah pun megundang YB Dato' Seri Amar Adenan Satem, ADUN Tanjung Datu yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak untuk merasmikan Hari Keluarga '69 pada hari tersebut. Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak juga menyeru kepada semua bekas anggota Skuad 69 PDRM di negeri Sarawak khususnya yang berada di kawasan Sematan dan Lundu supaya dapat mengambil bahagian sempena Hari Keluarga yang diadakan itu, seterusnya kepada mereka yang berkenaan yang masih belum lagi menjadi ahli supaya dapat menjadi ahli dengan mengemukakan borang permohonan yang boleh diperolehi pada hari keluarga nanti.



Sunday, October 11, 2009

NAJIB RASMI SAMBUTAN HARI MALAYSIA DI KUCHING

10 Oktober 2009 - Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan sambutan HARI MALAYSIA sempena Hari Kemerdekaan Negara yang ke-52 tahun yang dirayakan di Padang Merdeka, Kuching malam tadi.

Turut menyaksikan upacara yang bersejarah itu ialah TYT Tun Datuk Patinggi Muhammad Salehuddin Abang Barieng Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi serta para pembesar negeri Sarawak yang lainnya.

Acara sambutan dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian beberapa orang artis seperti Fiq, Lotus, Calaudia dan Hafiz. Lebih daripada 10,000 warga Kuching telah membanjiri Padang Merdeka sejak 7.00 malam dan ianya berakhir kira-kira jam 12.00 malam.

Di dalam ucapannya, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat supaya benar-benar menghayati konsep 1Malaysia untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia bersatu padu dalam memacu arus pembangunan negara.

Hari Malaysia dirayakan untuk mengenang kembali detik-detik bersejarah penubuhan MALAYSIA pada 16 September 1963 yang telah menggabungkan Sarawak, Sabah, Singapura dan negeri-negeri di semenanjung Tanah Melayu (Malaya). Singapura tidak lama berada di dalam Malaysia, kerana pada tahun 1965 Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia.


Poster Dato' Sri Najib bersama citation 1MALAYSIA
di Pameran Hari Malaysia
yang diadakan
di Tebingan Sungai Sarawak pad
a 10 Oktober 09.

Poster Pameran 1MALAYSIA di Tebingan Sungai Sarawak
bermula 10 - 11 Oktober 2009

Diantara foto sejarah penubuhan Malaysia yang dipamerkan
di Pameran 1Malaysia. Gambar Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj
semasa melawat Sarawak

Gambar poster Dato' Sri Najib bersalaman dengan rakyat Sarawak


Dato' Sri Najib beramah mesra dengan para VIP sebelum meninggalkan majlis.

TYT Sarawak, Dato' Sri Najib dan para tetamu ketika meninggalkan majlis

Orang ramai menyaksikan acara persembahan di pentas utama

Pancaran bunga api turut menyinari kemeriahan di Padang Medrdeka

Friday, October 9, 2009

SKUAD 69 DIJEMPUT SERTAI ISTIADAT PERBARISAN HARI JADI KE-88 TYT YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK.

DIRGAHAYU
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng
Yang Di-Pertua Negeri Sarawak.


Skuad 69 PDRM Sarawak sekali lagi telah diberikan penghormatan untuk menyertai istiadat perbarisan dan rapat raksasa sempena perayaan hari jadi yang ke-88 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang bakal diadakan pada 24 Oktober depan bertempat di Padang Dewan Suarah Bintulu, Sarawak.

Jemputan terhadap Skuad 69 PDRM Sarawak ini telah dibuat oleh Pejabat Residen Bahagian Bintulu melalui sepucuk surat yang telah difaxkan ke urusetia persatuan ini Khamis lalu (8 Oktober 2009).

Di dalam surat jemputan itu menyatakan bahawa pihak penganjur mensasarkan 88 buah kontinjen dari seluruh Sarawah, dan Skuad 69 PDRM Sarawak adalah diantara NGO yang diminta menghantar kontinjen sekurang-kurangnya 34 orang ahlinya.

Skuad 69 PDRM Sarawak sebelum ini telah menyertai upacara perbarisan sempena Hari Kemerdekaan Negara Ke-50 Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Bandaraya Miri pada tahun 2007; dan juga upacara yang sama sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-51 yang telah diadakan di Stadium Negeri, Kuching pada tahun 2008. Pada tahun yang sama juga di dalam bulan Oktober Skuad 69 turut menghantar kontinjennya di dalam istiadat perbarisan sempena Hari Jadi TYT yang ke-87 tahun yang diadakan di Padang Merdeka, di Kuching.

Pihak Skuad 69 PDRM Sarawak amat menghargai di atas jemputan kali ini, kerana ia menjadi pendorong semangat yang lebih jitu untuk persatuan ini menggerakkan khidmat baktinya kepada masyarakat, terutama di dalam aspek pencegahan jenayah.

Skuad 69 sebelum ini telah melancarkan program Jelajah Amal Keamanan 1Malaysia Peringkat Bahagian Bintulu pada bulan Jun yang lalu. Serentak dengan program itu juga, Skuad 69 telah menubuhkan Jawatankuasa Kor Keselamatan Komuniti 69 bagi Bahagian Bintulu yang dianggotai oleh beberapa orang pemimpin masyarakat di dalam daerah ini.

Kor Keselamatan Komuniti 69 merupakan projek yang digagaskan oleh Skuad 69 untuk membantu pihak kerajaan khususnya dengan pihak Polis dalam menangani permasalahan jenayah yang dihadapi di dalam daerah berkenaan.




Sunday, September 13, 2009

LIPUTAN MEDIA SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE-52


















(Keratan Akhbar Utusan Sarawak - 31 Ogos 2009)



Saturday, August 22, 2009

14,725 LAGI BEKAS POLIS TERIMA SAGU HATI DARURAT









Seramai 14,725 lagi anggota polis yang pernah berkhidmat semasa darurat termasuk di Sabah dan Sarawak akan menerima saguhati berjumlah RM14,725 juta secara berperingkat-peringkat sehingga akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemberian saguhati itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa dan pengorbanan mereka menjaga keselamatan negara daripada ancaman komunis.

Katanya, peruntukan terbaru itu akan diagihkan kepada seramai 8,425 bekas polis di Semenanjung dan 6,300 di Sabah dan Sarawak yang telah mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup 28 Februari tahun lalu.

''Sejak 8 Ogos 2001 kerajaan meluluskan RM72.108 juta untuk saguhati kepada golongan terlibat termasuk balu dan duda anggota berkenaan.

''Daripada angka itu sebanyak 66,608 anggota polis di Semenanjung menerima sumbangan membabitkan peruntukan RM66.608 juta manakala 5,500 bekas polis di Sarawak pula sebanyak RM5.5 juta," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata demikian selepas menyampaikan cek sumbangan saguhati khas kepada bekas polis yang berkhidmat semasa darurat (1948-1972) bagi negeri Terengganu di Wisma Darul Iman Julai lalu.

Hishammuddin berkata, mereka yang berkhidmat sebagai Special Constabulary, Home Guard, Auxiliary Police, Extra Police Constable dan Women Special Constable layak menerima sumbangan tersebut.

Sementara itu, katanya, bekas polis di Sabah dan Sarawak pula terdiri daripada mereka yang pernah berkhidmat dalam Border Scout, North Borneo Army Constabulary, Sarawak Constabulary, Contract Assistant Superintendant Police, Contract Inspector dan Police Field Force Reservist.

Hishammuddin menambah, seramai 1,346 anggota polis terkorban ketika menjalankan tugas semasa darurat iaitu 511 anggota biasa, 593 polis khas dan 242 anggota polis tambahan.

Katanya, sebanyak 701 anggota polis biasa, 746 anggota polis khas dan 154 anggota polis tambahan turut tercedera.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, bekas anggota dan pegawai polis akan dijadikan mata dan telinga kerajaan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di seluruh negara.

Katanya, pengalaman mereka amat diperlukan untuk menyokong usaha pihak berkuasa mengesan kegiatan jenayah.

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus.

''Kita bukan mahu mereka mengejar mat rempit atau menangkap penjenayah kerana ada kalangan mereka sudah tidak kuat, tetapi yang diperlukan ialah perkongsian maklumat dan pengalaman menangani jenayah," katanya.