Sunday, September 26, 2010

MAJLIS RAMAH TAMAH AIDILFITRI
SKUAD 69 MERIAH


Tetamu-tetamu yang hadir. DSP (B) Arifin Hj Adenan (Baju Batik),
Supt (B) Helmi Bohari (Di Tengah) bersama AJK Skuad 69 PDRM Sarawak.



Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak disambut meriah kelmarin. Tuan DSP (B) Hj. Arifin Hj. Adenan (Foto kiri), Timbalan Presiden persatuan ini telah mengetuai ahli-ahli Skuad 69 Sarawak merayakan aidilfitiri ini di perkarangan rumah Mohamad bin Haji Mos (Tuan Rumah), Pengerusi Biro Kebajikan dan Sosial Skuad 69 PDRM Sarawak di Taman Sukma, Semariang, Kuching.

Semasa menyampaikan ucapan, Tuan DSP (B) Arifin Hj Adenan yang mewakili Presiden yang tidak dapat bersama di dalam majlis ini telah mengalu-alukan kehadiran ahli di majlis ramah tamah ini, kerana menurutnya ini merupakan kesempatan terbaik untuk sama-sama mengeratkan silaturrahim di dalam keluarga Skuad 69 terutama dalam suasana hari lebaran.
Justify Full

Dari kiri: DSP (B) Arifin, Mohamad Mos, Bujang dan Abd. Rahman

Bujang Boji (Kanan) bersama ahli Skuad 69

Abdul Rahman (Kanan) dan Mohamad Mos (Kiri)

Supt (B) Helmi (kiri sekali), Saili Sulaiman (Kanan sekali)

Turut hadir di dalam majlis ini ialah Supt (B) Helmi Bohari mantan KPD Sarikei yang telah menunjukkan minatnya untuk menjadi ahli kepada Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak.

Beberapa orang ahli jawatankuasa persatuan ini juga turut hadir, antaranya ialah Bujang Boji Sitam (Pemangku Setiausaha), Abdul Rahman Hashim (SUK), Saili Sulaiman (Pengerusi Biro Ekonomi), ASP (B) Faisal Abdullah (AJK), Johari Keria (AJK) dan Zainab Majid (AJK Biro Kebajikan & Sosial).

Dimulakan dengan bacaan doa

Diantara ahli Skuad 69 PDRM Sarawak yang hadir

Para tetamu sedang mengambil makanan

Zainab Majid menyanyi karaoke

Sajian makanan yang disediakan




Thursday, September 23, 2010

PASUKAN POLIS HUTAN TERSISIH, SKUAD 69 TURUT TERKILAN...

Oleh Abdul Rahman Hashim

Datuk Aba Robiyel Huk (Kiri) menunjukkan pingat yang diterimanya.

Datuk Aba Robiyel Huk di Pejabat Skuad 69 PDRM Sarawak, 2006.

Persatuan Bekas Pasukan Polis Hutan Negeri Sarawak hari ini menyatakan rasa terkilan kerana pengorbanan anggotanya meraih kemerdekaan negara tidak diiktiraf sama seperti pengiktirafan yang diberikan kepada veteran askar.

Presidennya Datuk Aba Robiyel Huk dipetik sebagai berkata di muka depan akhbar Utusan Borneo dan Borneo Post edisi Khamis 23 September 2010, bahawa semasa era perkhidmatannya sebagai anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) mulai 1959 hingga 1970 beliau bersama anggota pasukannya yang lain terlibat dalam beberapa siri peperangan sehingga meragut nyawa 11 anggotanya, manakala 37 lagi mengalami kecederaan di medan peperangan.

"Namun apa yang telah kita lakukan tidak pernah diiktiraf. Selepas tamatnya darurat sehingga 1997 Pasukan Polis Hutan dimansuhkan dan ditukar dengan Pasukan Gerakan Am (PGA), kami bagaikan terus dilupakan," katanya kepada Utusan Borneo, kelmarin.

BoldKeratan Akhbar Utusan Borneo bertarikh 23 Sept 2010

Menurutnya semasa zaman kolonial (British) pada tahun 1959, beliau bersama anggota PPH lain berkhidmat untuk British dalam pemberontakan Brunei dan selepas tamatnya pemberontakan itu beliau mendapat pingat penghargaan daripada kerajaan British dan Brunei, siap tertera dengan namanya

"Kami tidak pernah meminta agar diberikan pingat ini tetapi kerajaan British memberikannya kepada kami secara automatik. Sedangkan kerajaan Malaysia, terutamana kerajaan Negeri sehingga hari ini, langsung tiada pengiktirafan.

"Apabila sudah aman semua pihak buat tak tahu sahaja. Inilah yang membuatkan kami terkilan, kerana anggota Renjer yang berperang di Semenanjung Malaysia diberikan Pingat Jasa Malaysia (PJM)," ujarnya.

BeliaU menambah semasa darurat PPH telah berperang bersama askar yang kesemuanya dari Semenajung Malaysia sehingga ada anggotanya terkorban dan mengalami kecederaan.

"Kerajaan hanya memberi penghargaan kepada askar (veteran) sahaja bagaimana dengan kami? Sekurang-kurangnya kerajaan memberikan pengiktirafan yang sama, agar kami rasa dihargai," tegasnya.

Ekoran daripada kenyataan itu, Skuad 69 PDRM Sarawak turut memberikan reaksinya. Presidennya DSP (B) Muhamad Yusof Isa telah mengeluarkan kenyataan medianya menerusi emel yang dikirimkan kepada Utusan Borneo, Borneo Post dan juga Utusan Sarawak sebagaimana berikut:-

KENYATAAN MEDIA SKUAD 69 PDRM SARAWAK

Saya ingin memberikan reaksi terhadap kenyataan Datuk Aba Robiyel Huk, Presiden Persatuan Bekas Pasukan Polis Hutan Negeri Sarawak (PBPPH) yang disiarkan di dalam akhbar ‘Utusan Borneo dan Borneo Post’ edisi hari ini, Khamis, 23 September 2010, berkaitan dengan rintihannya bahawa Pasukan Polis Hutan amat terkilan kerana pengorbanan anggotanya meraih kemerdekaan negara tidak diiktiraf sama seperti pengiktirafan yang diberikan kepada veteran askar.

(Foto Kiri: DSP (B) Muhamad Yusof Isa)

Skuad 69 PDRM Sarawak turut menyokong kenyataan itu, kerana kami berpendapat pengorbanan anggota pasukan keselamatan samada di pihak anggota tentera mahu pun di pihak pasukan polis tidak harus dibezakan sehingga menampakkan jurang diskriminasi terhadap anggota pasukan polis yang berkhidmat di dalam Pasukan Polis Hutan.

Kiri: Anggota Skuad 69 PPH Platun 5 Batalion 1 semasa menjalani operasi di Jakar Road, Sarikei tahun 1972. Kanan: Anggota PPH semenanjung turut dikerahkan ke Sarawak. Mereka menaiki kapal Kota Rajah ke Kuching.

Kiri: Keratan akhbar tentang kejayaan PPH dalam operasi di Paradom, Sibu, 1971. Kanan: Diantara senarai Wira PPH yang terkorban.

Kiri: Kejayaan PPH dalam Ops Ngayau Tiga, 1978. Kanan: Ops Kilong II,Binatang (Bintangor), 1969

Pasukan Polis Hutan (PPH) juga merupakan sebahagian daripada benteng pertahanan negara ketika negara berhadapan dengan ancaman pengganas komunis. Kerahan anggota Pasukan Polis Hutan di dalam berbagai operasi memburu pengganas komunis juga merupakan operasi bersama dengan pasukan tentera (ATM).

Pasukan Polis Hutan (PPH) turut dilibatkan di dalam operasi keselamatan yang dilaksanakan oleh RASCOM sejak 16 Mac 1972 hingga 9 November 1994 bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan operasi bersepadu untuk mengekang ancaman pengganas komunis PARAKU terutama di Bahagian Ke-3, Ke-6 dan Ke-7 Negeri Sarawak.

Selain daripada kejayaan anggota pasukan tentera menghapuskan keganasan gerila komunis di dalam operasinya, peranan dan jasa yang dicurahkan oleh anggota Pasukan Polis Hutan pula janganlah dipinggirkan begitu sahaja.

Kematian dan kecederaan bukan sahaja dialami oleh anggota pasukan tentera, bahkan anggota Pasukan Polis Hutan juga turut menjadi mangsa ketika di medan pertempuran. Oleh itu sewajarnyalah pihak kerajaan memberikan pengiktirafan yang sama kepada bekas-bekas anggota Pasukan Polis Hutan yang turut dianggotai oleh bekas-bekas anggota Skuad 69 PDRM.

Keratan akhbar Utusan Borneo bertarikh 24 Sept. 2010

Mengenepikan jasa dan pengorbanan bekas-bekas anggota Pasukan Polis Hutan merupakan diskriminasi terhadap pejuang veteran yang telah berjuang sehingga negara menikmati keamanan dan kemakmuran.

Skuad 69 PDRM Sarawak juga merupakan sebuah persatuan yang turut dianggotai oleh anggota-anggota Pasukan Polis Hutan yang berkhidmat pada tahun 1969. Walaupun Pasukan Polis Hutan (PPH) telah ditukar namanya kepada Pasukan Gerakan AM (PGA), namun keperwiraan Pasukan Polis Hutan janganlah diketepikan begitu sahaja.

Skuad 69 PDRM Sarawak bersedia menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bekas Pasukan Polis Hutan Negeri Sarawak yang baru sahaja ditubuhkan itu dalam perjuangan membela bekas-bekas anggoa Pasukan Polis Hutan yang pernah menjadi wira kepada negara.

Saya yakin pihak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri tidak akan mengalpakan jasa-jasa anggota pasukan polis khususnya anggota yang pernah berjuang di dalam Pasukan Polis Hutan.


[ DSP (B) MUHAMAD YUSOF ISA,PRESIDEN SKUAD 69 PDRM SARAWAK ]


Saturday, September 18, 2010

SYABAS...PDRM DAPAT MENYELESAIKAN KES PEMBUNUHAN SOSILAWATI

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan tahniah dan syabas kepada PDRM kerana telah dapat menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya (Foto Kanan) bersama 3 rakan yang lainnya dalam masa yang singkat.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kewibawaan PDRM dari kaca mata dunia adalah merupakan sebuah pasukan yang terbilang.

Dalam kes pembunuhan Sosilawati ini PDRM dilihat telah berjaya menjalankan tanggungjawabnya sehingga tertangkapnya suspek-suspek yang dipercayai terlibat melakukan pembunuhan kejam itu.

Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak dalam satu pertemuan dengan panitia skuad69.blogspot.com di Kuala Lumpur menyatakan kebanggaannya terhadap kejayaan pasukan polis itu, dan beliau merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada PDRM.

Kejayaan memberkas semua suspek termasuk suspek utamanya seorang peguam yang bergelar Datuk telah menyelongkar banyak kes-kes pembunuhan dan penculikan yang lainnya. Kes pembunuhan Datuk Sosilawati ini dijangka akan disebutkan di Mahkamah dalam masa terdekat ini.

Rata-rata masyarakat berpuas hati dan memuji tindakan pantas yang dilakukan oleh pihak polis sambil mengharapkan agar mereka yang terbabit itu dapat dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44, Pegawai Bank CIMB Cawangan Kg. Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah sebelum keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.


Tuesday, September 14, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada semua ahli jawatankuasa dan ahli-ahli Skuad 69 yang merayakan hari lebaran pada tahun ini. Semasa di bulan Ramadan yang lepas, Skuad 69 PDRM Sarawak telah memberikan sumbangan amal berupa keperluan hari raya kepada beberapa orang balu bekas anggota Skuad 69 PDRM Sarawak.

Tuan DSP (B) Haji Arifin Haji Adenan, Timbalan Presiden Persatuan ini telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada mereka yang berkenaan. Turut mengiringi beliau ialah Bujang Boji Sitam (Pemangku Setiausaha), Mohamad Haji Mos (Pengerusi Biro Kebajikan dan Sosial), Peet Awi (Tim Pengerusi Keselamatan) dan Zainab Majid (AJK Biro Kebajikan dan Sosial).

Tuesday, May 18, 2010

SKUAD 69 TURUT BANTU GERAK KERJA
PILIHAN RAYA KECIL P.212 SIBU



Makan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin TPM dan Dato' Amar Abang Johari
Tun Abang Hj Openg di RH Hotel.

Bersama Dato' Amar Abang Johari Tun Abg Hj Openg
Menteri Perumahan Sarawak.

Gambar kenangan blogger dan wakil media bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri.

Keaadaan Rumah Panjang Juan

Sambutan murid-murid sekolah Rumah Panjang Juan

Sejurus sampai di Rumah Panjang Juan

Antara yang menyokong DAP

Sejurus sampai di Jeti Rumah Panjang Juan

Kami disambut dengan gadis-gadis Iban

Kanak-Kanak Iban Rumah Panjang Juan


DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak
sempat berjumpa Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn

Menteri Dalam Negeri di Hotel RH Sibu


Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri
bergambar kenangan bersama Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak
DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Dua dari kiri)
dan blogger terkemuka tanahair
terdiri daripada Roslan Bian (Kiri sekali) dari agendadaily, Zaharin Yasin @ Sangkelembai (Dua dari kanan)


Bersama Datuk Awang Bemee Ali Basah, ADUN Nangka
(Duduk tiga dari kiri). DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Dua dari kiri).
Pertemuan di majlis dialog warga pendidik bersama Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Duduk di tengah)
bersama rombongan Kelab Sukan & Rekreasi Wargakota Kuala Lumpur
yang turut serta dalam majlis 'Sepetang Bersama Skuad 69
PDRM Sarawak' pada 10 Mei 2010, di Hotel Paramount, Sibu.

DSP (B) Muhamad Yusof Isa sedang berucap
di dalam majlis Sepetang Bersama Skuad 69 PDRM Sarawak, 10 Mei 2010.

Suasana majlis Sepetang Bersama Skuad 69 PDRM Sarawak.
Kelihatan Stanley Ak Manggi dan Sakai Ak Chulat di meja hadapan.

Di Rumah Panjang Juan.

Thursday, March 25, 2010

KDN DICADANG PERCEPATKAN PENUBUHAN JABATAN POLIS VETERAN

Sila perhatikan keratan akhbar yang disiarkan hari ini (25 Mac) berkaitan dengan cadangan tersebut:-



Dari Kiri: Akhbar See Hua Daily, Akhbar Borneo Post


Keratan Akhbar Utusan Borneo

Wednesday, March 24, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS KE-203

Berikut ini ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak sempena menyambut Hari Ulangtahun Ke-203 Polis Diraja Malaysia yang dirayakan esok, 25 Mac 2010.
PDRM KE-203 TAHUN
(1807 - 2010)


DSP (B) Muhamad Yusof Isa Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak ingin mengucapkan selamat menyambut ulangtahun ke-203 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan merayakannya pada 25 Mac 2010 ini.


2. Walaupun lebih daripada 5,000 anggota Skuad 69 PDRM tidak lagi berada di dalam pasukan, namun kami turut terpanggil untuk menyatakan kebanggaan di atas tahap kecemerlangan pasukan polis Negara ini sejak ia ditubuhkan pada tahun 1807 hingga kini.


3. Di tahap usia 203 tahun, tentunya PDRM telah melangkah jauh untuk menjadi sebuah pasukan keselamatan yang lebih perkasa dengan jumlah keanggotaannya yang kini mencecah 102,037 pegawai dan kakitangan di seluruh Negara.


4. Sejumlah 98,747 anggota dan para pegawai PDRM di seluruh Negara juga bakal menikmati skim perkhidmatan baru yang membolehkan mereka mendapat penyelarasan tiga pergerakan gaji tahunan dan juga kenaikan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP) yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2009.


5. Walaupun tarikh pembayarannya masih belum ditetapkan namun Ini merupakan usaha berterusan pihak kerajaan dalam menjaga kepentingan dan kebajikan anggota polis di seluruh Negara.


6. Dalam pada itu, kami juga mengharapkan agar pihak Kementerian Dalam Negeri dapat segera mewujudkan bahagian veteran (bekas Polis) yang bertaraf jabatan supaya masalah kebajikan bekas-bekas anggota pasukan polis dapat diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.


7. Selama ini bekas-bekas anggota pasukan polis hanya dapat bersandar kepada beberapa persatuan yang sedia ada termasuk Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak. Dengan adanya sebuah jabatan khas yang bertanggungjawab terhadap kebajikan bekas-bekas anggota ini maka dapatlah persatuan-persatuan seumpama ini bergerak dengan lebih terancang dengan mendapat sokongan oleh pihak berkuasa.


8. Keazaman pasukan polis untuk menurunkan kadar kes jenayah di seluruh Negara juga kelihatan menampakkan kejayaannya kerana statistik pada tahun lepas menunjukkan sebanyak 209,417 kes jenayah yang berlaku, berbanding sebanyak 211,645 kes pada tahun sebelumnya iaitu pada tahun 2008. Penurunan sebanyak 2,228 kes merupakan tahap kejayaan yang patut diberikan penghargaan kepada PDRM.


9. Kami mengharapkan supaya PDRM terus diperkasakan walaupun banyak cabaran yang dihadapi menjelang usianya yang ke-203 pada 25 Mac ini. Sebagai sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh bekas-bekas pejuang di dalam Skuad 69 PDRM, kami akan tetap berdiri teguh mempertahankan maruah pasukan polis di kaca mata rakyat.


10. Sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat di Negara ini, kami juga berjanji akan meneruskan semangat ‘espirit de corp’ untuk bekerjasama dengan pasukan polis dalam usaha memerangi jenayah di kalangan masyarakat. Kami berpendapat usaha membanteras jenayah tidak hanya terletak di bahu pasukan polis, malah anggota masyarakat juga mempunyai peranan untuk mewujudkan suasana yang kondusif tanpa jenayah.


11. Untuk mencapai tujuan itu, Skuad 69 PDRM Sarawak sedang berusaha untuk menubuhkan ‘Kor Keselamatan Komuniti 69’ di setiap lokaliti dalam pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Sarawak.


12. Kami sedang mengadakan perundingan dengan beberapa pihak yang bakal menjadi ‘Rakan Penaja’ untuk mempastikan kor ini dapat berjalan dengan penglibatan semua pihak dari peringkat komuniti hinggalah di peringkat sektor kerajaan. Kami amat berterima kasih di atas sokongan dan juga tahap kerjasama yang telah diberikan oleh pelbagai pihak selama ini kepada Skuad 69 PDRM Sarawak.