Wednesday, July 27, 2011

INDEKS JENAYAH SARAWAK TURUN 7.7 PERATUS - DCP MOHMAD SALLEH

KUCHING: Sarawak berjaya mencatat penurunan indeks jenayah sebanyak 7.7 peratus pada tahun lepas.

Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata, hasil usaha gigih dan komitmen daripada semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kontijen Sarawak adalah antara negeri yang rendah kadar jenayahnya.

(Foto - Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak, 19 Julai 2011, di IPK Sarawak)

“Sarawak berjaya menurunkan 7.7 peratus indeks jenayah keseluruhan bagi tahun 2010 dan 21.48 peratus bagi jenayah jalanan iaitu melepasi tahap peratusan yang ditetapkan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) iaitu lima peratus bagi indeks jenayah dan 20 peratus bagi jenayah jalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat PDRM Kontinjen Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Negeri yang baru, Datuk Mortadza Nazarene, Pengarah Logistik PDRM Zulkifli Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Law Hong Soon.

Mohmad yang kini pesuruhjaya Polis Kuala Lumpur berkata, dalam memastikan Sarawak adalah antara negeri yang rendah kadar jenayahnya, pendekatan dengan cara efektif selaras dengan pelaksanaan konsep kepolisan masyarakat dan kepolisan berintegrasi perlu terus diberi penekanan sewajarnya di semua peringkat.

Menurutnya, langkah-langkah pencegahan dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Marin dan Unit Udara serta semua Ibu Pejabat Polis Daerah dalam semua operasi bersepadu menyumbang terhadap penurunan angka tersebut.

“Selain itu, saya amat berbangga kerana masyarakat turut aktif dalam aktiviti kepolisan masyarakat dengan menyertai Skim Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela dan penglibatan ini menunjukkan kesedaran terhdap tanggungjawab bersama masyarakat dalam menangani jenayah di Kontinjen Sarawak ini,” katanya yang telah bertugas selama tiga tahun tujuh bulan di Bumi Kenyalang.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa legasinya itu dapat diteruskan oleh Mortadza dengan kebolehan dan pengalaman yang ada dan berharap beliau akan dapat terus menumpukan kemudahan logistik serta penyeliaan terhadap pegawai dakwa agar terus melaksanakan tugas dengan baik selain memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat sekeliling.

Mortadza berkata, Mohmad telah meletakkan satu landasan baik untuk beliau teruskan dan akan berusaha sedaya upaya untuk menambah baik perkhidmatan polis di negeri ini.

“Saya ingin meneruskan legasi tersebut supaya kita boleh duduk dalam aman damai dari segi keselamatan dan keamanan supaya kita dapat menjalankan tugas dan kerajaan pun dapat menjalankan pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

DCP DATO' MOHMAD SALLEH KINI KETUA POLIS KUALA LUMPUR

Seramai 12 orang pegawai kanan polis naik pangkat berkuatkuasa Rabu, 20 Julai 2011.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, kenaikan pangkat serta pertukaran jawatan itu telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis Diraja Malaysia (SPP).

Proses itu menyaksikan jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur kini dipegang oleh DCP Dato' Mohmad Salleh (Foto kiri) yang sebelum ini Pesuruhjaya Polis Sarawak dan jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak pula disandang oleh DCP Datuk Mortadza Nazarene yang sebelum ini Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Ketua Polis Kelantan SAC Datuk Abd Rahim Hanafi pula menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) dengan memangku pangkat DCP.

Ketua Polis Perlis SAC Datuk Tajudin Md Isa pula bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah I, JSJK Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, SAC Huzir Mohamed juga bertukar ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas JSJ Bukit Aman.

Timbalan Komander UUP (Operasi) Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman ACP Kamarulzaman Md Jan pula dinaikkan pangkat ke jawatan Komander Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi IPK Perak ACP Zulkifli Hassan pula akan menjawat jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak dengan memangku pangkat SAC.

Jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman pula disandang oleh ACP Hasanuddin Hassan dengan memangku pangkat SAC. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pengurusan IPK Kedah.

Timbalan Ketua Polis Perlis ACP Zull Aznam Haron pula dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Perlis dengan memangku pangkat SAC.

ACP Nor Azizan Anan yang sebelum ini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas, JSJ Bukit Aman pula akan ditukarkan sebagai Ketua Bahagian (D10) Kepolisan Am, Makmal Forensik PDRM, JSJ Bukit Aman.

Jawatan Timbalan Ketua JSJ Risikan/Operasi IPK Perak pula akan diisi oleh ACP Fadzil Ahmat yang sebelum ini merupakan Ketua Bahagian (D10) Kepolisan Am, Makmal Forensik PDRM, JSJ Bukit Aman.

Supt S.Sathiya Seelan pula akan bertukar menjadi Timbalan Komander (Operasi) Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP. Beliau sebelum ini adalah Pegawai Turus Gerakan/Risikan Unit Udara Polis Jabatan KDN/KA Bukit Aman.

Saturday, April 9, 2011

WALAUPUN VIDEO ITU ASLI, NAMUN SUSUK TUBUH ANWAR BUKAN ASLI?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Datin Seri Wan Azizah ketika berceramah di N4 Pantai Damai


Sebahagian daripada penduduk Bandar Baru Semariang yang
mengikuti ceramah Wan Azizah

Datin Seri Wan Azizah menafikan sekali lagi bahawa pelakun utama video sex yang terdapat di dalam youtube itu bukan suaminya. Beliau berkata, walaupun Ketua Polis Negara menyatakan bahawa video itu adalah yang asli, namun keasliannya bukan bermakna bahawa itu adalah Anwar yang asli.

Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini ketika menyampaikan ceramah di hadapan lebih 200 orang penduduk Bandar Baru Samariang di kawasan DUN N.4 Pantai Damai malam ini (8 April). Beliau yang juga Presiden PKR menyatakan bahawa Nazri Aziz tidak berhak untuk menafikan haknya sebagai seorang isteri kepada Anwar untuk menentukan kesahihan susuk tubuh Anwar seperti yang terdapat di dalam video tersebut.

Namun begitu penafian Wan Azizah itu sekali lagi tidak disertai dengan bukti bahawa jam Omega milik Anwar yang dikatakan tertinggal di bilik hotel semasa rakaman itu dibuat masih berada di dalam simpanannya.

Sewajarnya Wan Azizah segera menunjukkan bukti bahawa jam suaminya itu tetap berada di dalam simpanannya jika beliau mahu mempertahankan maruah suaminya yang didakwa sebagai pemegang watak utama video lucah itu.

Kegagalannya berbuat demikian menambahkan lagi keraguan orang ramai kerana 'Datuk T' sebelum ini mendakwa bahawa beliau telah diarahkan supaya mengambil jam yang tertinggal dalam bilik itu ketika meninggalkan lokasi.

Kelihatannya Datin Seri Wan Azizah begitu yakin bahawa suaminya memang benar-benar menjadi mangsa fitnah jahat oleh pihak yang terbabit.

Wednesday, March 23, 2011

PILIHAN RAYA SARAWAK : PENAMAAN CALON 6 APRIL, HARI MENGUNDI PULA 16 APRIL 2011

Pilihan raya negeri Sarawak Ke-10, 16 April 2011

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon untuk pilihan raya negeri Sarawak yang ke-10 pada 6 April manakala hari pengundiannya pula jatuh pada 16 April 2011. Ini bermakna tempoh berkempen selama 10 hari.

Pengumuman itu dibuat oleh pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Kuching, hari ini. DUN Sarawak dibubarkan Isnin lalu yang mana secara perlembagaan, pilihan raya hendaklah diadakan sebelum Julai tahun ini.

BN Sarawak menguasai 63 daripada 71 kerusi dalam dewan manakala pembangkang pula dengan tujuh kerusi, termasuk satu masing-masing milik bebas dan Parti Cinta Malaysia. Pilihan raya sebelum ini diadakan pada 20 Mei 2006.

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Pengerusi BN Negeri dan juga Ketua Menteri Sarawak akan berhempas pulas untuk mempertahankan dominasi BN menguasai negeri bumi kenyalang menjelang pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini sebelum beliau melepaskan jawatan yang disandangnya sejak tahun 1981.


Monday, October 18, 2010

PENGHARGAAN KERAJAAN NEGERI SARAWAK
KEPADA SKUAD 69 PDRM SARAWAK

Kerajaan Negeri Sarawak telah memberikan penghargaan kepada Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak yang telah menyertai dan mengambil bahagian di dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-89 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang berlangsung pada 16 Oktober 2010.

Sijil Penghargaan Kerajaan Negeri Sarawak.

Saturday, October 16, 2010

DIRGAHAYU TYT YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK!!


TYT Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Yang di-Pertua Negeri Sarawak
diiringi oleh Pehin Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak ketika melintasi memeriksa
perbarisan Pasukan Kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak.

Dirgahayu...ke atas TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak kerana hari ini seluruh warga negeri bumi kenyalang menyambut Hari Jadi Ke-89 tahun TYT Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng (Foto kiri) yang disifatkan oleh Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak sebagai seorang Ketua negeri ini yang berjiwa rakyat.

Hari ini, 16 Oktober 2010 telah diadakan acara sambutannya dengan penuh gilang gemilang di mana istiadat perbarisan dan rapat raksasa telah diadakan di Padang Merdeka, Kuching yang disertai oleh 89 pasukan kontinjen termasuk kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak.

Kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak diketuai oleh Mohamad Bin Haji Mos telah melakukan lintas hormat di hadapan pentas VIP tepat pada jam 10.50 pagi setelah 85 pasukan yang lain mendahuluinya.

Sebelum itu TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang diiringi oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah di bawa turun ke Padang Merdeka untuk memeriksa perbarisan 89 kontinjen yang mengambil bahagian. Kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak turut memberikan penghormatan yang tinggi ke atas TYT yang telah melintasi pasukan Skuad 69.

FOTO SEKITAR ISTIADAT PERBARISAN DAN RAPAT RAKSASA HARI JADI KE-89
TYT YDP NEGERI SARAWAK, 16 OKT 2010




Thursday, October 14, 2010

RAPTAI PENUH PERBARISAN HARI JADI KE-89 TYT YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK PADA 14 OKTOBER 2010

Hari ini, 14 Oktober 2010 telah diadakan raptai penuh istiadat perbarisan dan rapat raksasa sempena sambutan Hari Jadi Ke-89 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Istiadat ini akan berlangsung pada hari Sabtu, 16 Oktober 2010 di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak.

Kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak yang mengandungi 30 orang anggota begitu segak dengan pakaian seragamnya menyertai upacara perbarisan yang penuh gilang gemilang ini. Sila lihat foto-foto yang sempat dirakamkan di dalam raptai penuh yang berlangsung hari ini:-

Kontinjen ATM yang membawa bendera Malaysia dan bendera Sarawak
di dalam perbarisan Hari Jadi TYT Ke-89

Sebahagian anggota kontinjen Skuad 69 yang mengambil bahagian

SM (B) Nelson Ansang Ak Juken

ASP (B) Mohd. Faisal Abdullah

Suhaimi@Philip

Kpl (B) Mohamad Haji Mos

Kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak melakukan lintas hormat di hadapan Merdeka Palace.

Mohamad Bin Haji Sebli

Kontinjen Skuad 69 siap menunggu arahan untuk berbaris.

Abd. Rahman Hashim, SUK Skuad 69 PDRM Sarawak

Zainab Majib dan Izam pembawa Pelakat Skuad 69 PDRM Sarawak

Panorama di Padang Merdeka, Kuching.

Apai Changak Ak Rabong (Duduk) dan anggota kontinjen yang lainnya
semasa
berehat