
Alhamdulillah, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurnia dan restuNya juga, kita semua telah dapat berkumpul pada petang ini, di dalam satu majlis ‘Hi-Tea’ Kemerdekaan Ke-51 Tahun Bersama Skuad 69 PDRM Sarawak.2. Sebelum saya meneruskan ucapan ini, saya ingin mengajak semua yang hadir pada petang ini untuk sama-sama kita melaungkan ‘Merdeka…Merdeka….Merdeka’. Terima kasih!
3. Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak amat berbangga sekali kerana telah dapat turut serta merayakan Hari Ulangtahun Kemerdekaan yang Ke-51 pada tahun ini, dan kebetulan pula negeri Sarawak pada tahun ini sedang menyambut perayaan ‘45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia’, sebagai tanda kesyukuran dan kebangaan kita sebagai warga negeri ini yang telah menikmati kemajuan yang telah kita capai selama 45 tahun setelah Sarawak menyertai ‘Gagasan Malaysia’ pada 16 September 1963 lalu.

4. Kami amat berbangga sekali dan ingin merakamkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih yang tidak terhingganya kepada YB Puan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali selaku ADUN N.7 Samariang (Lihat Gambar Kanan), di atas kesudian beliau melapangkan masa untuk bersama-sama dengan Skuad 69 PDRM Sarawak pada petang ini, seterusnya kesempatan ini juga kita akan dapat mendengar amanat dan juga nasihat yang akan beliau berikan menerusi ucapan perasmiannya nanti. Marilah kita berikan tepukan kepada YB Puan Sharifah Hasidah..
8. Untuk makluman YB juga, semua bekas-bekas polis yang berkumpul pada hari ini bukanlah calang-calang orang. Mereka ini menyimpan banyak pengalaman dan kenangan yang cukup dengan asam garam, pahit dan manisnya, terutamanya ketika berhadapan dengan tugas mencabar memburu pengganas komunis semasa negara dalam darurat dahulu. Pendekata, inilah dia wira-wira di dalam Skuad 69 PDRM yang telah banyak menabur bakti terhadap nusa dan bangsa.
Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,
10. Majlis hi-tea yang kita adakan pada petang ini bukan sekadar untuk menjamu selera petang, tetapi lebih daripada itu sebagai satu iltizam kami untuk menyahut seruan kerajaan supaya perayaan ulangtahun ke-51 Hari Kemerdekaan pada tahun ini dapat menyuburkan kegemilangan Malaysia sebagai sebuah negara yang telah bebas daripada cengkaman penjajah, dan rakyatnya pula sedang rancak memacu kejayaan wawasan untuk sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020.
12. Sebelum itu lagi, negara kita juga telah bersilih ganti dicengkam oleh pihak penjajah bermula pada tahun 1511 dimana Portugis telah menakluki Melaka selama 130 tahun, dan diikuti pula penjajahan Belanda selama 150 tahun, dan selepas itu pula Inggeris telah dapat menguasai bumi Malaya termasuklah juga di Sarawak Bumi Kenyalang ini, dimana bermula pada tahun 1839 ‘James Brookes’ mula bertapak di negeri ini, seterusnya membentuk sebuah ‘Empayar Brookes’ yang telah menjadikan dirinya sebagai seorang Raja yang berkuasa ke atas bumi kenyalang ini dan bergelar ‘Rajah Brookes’.

19. Hari ini negara kita tidak lagi berhadapan dengan ancaman komunis. Bong Kee Chok yang mengetuai PARAKU juga telah meletakkan senjata untuk merintis jalan kembali ke pangkuan masyarakat dengan termetrainya ‘Perjanjian Sri Aman’ pada 21 Okrober 1973; dan diikuti pula pada 17 Oktober 1990 dimana “Hung Chu Ting” pemimpin komunis Sarawak pada masa itu, juga telah membubarkan pergerakan militannya untuk kembali semula ke pangkuan masyarakat menerusi perjanjian yang ditandatangani di hadapan Datuk Patinggi Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak pada tarikh berkenaan.
20. Seiring dengan keamanan yang telah dicapai ini, kami di dalam pasukan polis tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh wira-wira terbilang di dalam PDRM Sarawak khususnya, seperti Mendiang Tuan ASP Menggong Ak Panggit, Allahyarham Johnie Mustapha, Mendiang Sjn Lanyau Ak Jamba, Tuan C/I Rentap Ak Jemut dan banyak lagi nama-nama pejuang di dalam Pasukan Polis Hutan yang telah berjuang bersabung nyawa untuk mengembalikan keamanan negara dari ancaman pengganas komunis.
21. Kami mengharapkan generasi hari ini dapat mengambil iktibar daripada titisan perjuangan generasi terdahulu ini. Tanpa dahulu, takkan wujud hari ini. Skuad 69 PDRM Sarawak merupakan sebuah pertubuhan yang mewakili waris pejuang di dalam Pasukan Polis Hutan yang telah banyak bergelumang di perbatasan negara. Hari ini walaupun kami telah dikategorikan sebagai warga emas, namun semangat kami tetap perkasa. 51 Tahun Malaysia Merdeka, dan 45 tahun Sarawak bersama Malaysia, hendaklah dihayati sepenuhnya tanpa prejudis terhadap pejuang terdahulu.
YB, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,
22. Sempena dengan sambutan dan perayaan kemerdekaan yang ke-51 dan 45 tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia ini juga, Skuad 69 PDRM Sarawak akan melancarkan ‘Buletin Edisi Keduanya’ sebagai ‘Edisi Khas Kemerdekaan’ yang dijangka akan diterbitkan pada bulan Oktober nanti. Edisi yang pertama telah pun diterbitkan dan ianya telah dilancarkan pada 30 Jun tahu lalu di Sibu.
23. ‘Edisi Merdeka’ ini akan memuatkan maklumat yang berkaitan dengan kisah perjuangan Pasukan Polis Hutan (PPH) dalam meredah onak dan duri untuk mengembalikan keamanan kepada rakyat dan negara. Tanpa pengkisahan ini sudah tentu generasi hari ini tidak dapat menjiwai detik-detik getir dan cabaran untuk sebuah kemerdekaan sejagat.
24. Kami mengharapkan edisi khasnya ini akan menjadi bingkisan berharga untuk menjadi tatapan kita semua. Dalam menjayakan penerbitan edisi ini, kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan juga kerjasama, terutamanya kepada IPK Sarawak, semua IPD dan KPDnya termasuk juga rakan-rakan penaja daripada sector korporat dan swasta yang begitu supportive terhadap penerbitan ini.
25. Saya juga ingin mengambil kesempatan yang berharga ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada rakan-rakan penaja yang turut serta di dalam majlis kita pada hari ini, yang terdiri daripada Ir. Abdul Rahim Mahmud, daripada Syarikat Medansri Bina Sdn Bhd, begitu juga daripada Syarikat Tegas Jayasama Plantation Sdn Bhd yang diwakili oleh Encik Saili Sulaiman yang juga merupakan Pengerusi Biro Ekonomi Skuad 69 PDRM Sarawak.
26. Saya juga tidak lupa untuk menyatakan setinggi penghargaan kepada Encik Ramizan Bujang daripada Syarikat Ramizar Enterprise kerana begitu bermurah hati menjadi rakan penaja kami, dan seterusnya tidak lupa kepada Syarikat Ezzanoni Fashion & Beauty yang diwakili oleh Datin Ezanoni sendiri yang juga menjadi rakan penaja baru kami. Kami juga amat berterima kasih kepada Encik Chin Chee Nam daripada Syarikat Chin Electrical & Electronic Service dan juga kepada Puan Hajah Mariam daripada Mariam Cake yang menyediakan sajian Kek Lapis Sarawaknya untuk jamuan kita pada petang ini.
27. Mudah-mudahan sokongan dan kerjasama yang telah diberikan ini akan dapat diteruskan di masa-masa yang akan datang. Budi baik yang ditaburkan itu akan kekal di dalam ingatan kami. Kepada semua ahli jawatankuasa dan juga seluruh anggota Skuad 69 PDRM Sarawak, saya amat terhutang budi dengan tuan-tuan semua. Sokongan yang diberikan terhadap kepimpinan amatlah dihargai dan akan tersemat abadi di dalam ingatan saya. Insya Allah, di tahun hadapan kita akan sekali lagi mengambil bahagian di dalam upacara perbarisan Hari Kemerdekaan seperti hari ini.
28. Saya ingin mengakhiri ucapan ini dengan sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Puan Sharifah Hasidah di atas kesudian melapangkan masa bersama-sama kami pada petang ini. Semoga hubungan intim ini dapat memberikan manfaat kepada seluruh warga Skuad 69 PDRM Sarawak.
29. Semoga sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini dapat dirayakan dengan penuh semangat kebangsaan yang tulen demi untuk agama, bangsa dan negara.
MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!
Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamu Alaikum Wr Wb.
----------------------------------------------------------------------------------------
Gambar Lokasi (30 Ogos) :
Majlis Hi-Tea Kemerdekaan Skuad 69 di Dewan Sipec, Kuching










