Tuesday, June 30, 2009


YB Datuk Talib Zulpilip merasmikan Jelajah Amal Skuad 69 di Bintulu

JELAJAH AMAL KEAMANAN SATU MALAYSIA
DI
BINTULU, BERJAYA...!!

Program Jelajah Amal Skuad 69 PDRM Sarawak yang bertemakan 'Keamanan 1Malaysia' telah berkunjung ke Bintulu selepas kejayaan siri pertamanya di Miri pada 24, 25 dan 26 April lalu. Jelajah siri ke-2 di Bintulu ini telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 19 Jun dan berakhir pada hari ketiganya pada 21 Jun 2009.

(Foto: Presiden Skuad 69 telah ditemuramah oleh pihak RTM)

Progam Jelajah Amal di Bintulu ini telah mencatatkan kejayaan dengan terlaksananya beberapa aktiviti yang telah dijadualkan. Sempena dengan program ini juga, Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengadakan juga mesyuarat agung tahunannya bagi tahun 2009 yang telah berlangsung pada 20 Jun 2009, di New World Suites, Bintulu.


Foto Kiri: Anggota Skuad 69 menunjukkan visual pameran. Foto Kanan: Makan bersantai.

Program jelajah amal kali ini juga telah menyaksikan penyertaan yang ramai oleh ahli-ahli Skuad 69 yang telah berkampung di Bintulu selama 4 hari 3 malam. Sebahagian besar ahli-ahli yang datang daripada Kuching telah menaiki bas yang disediakan oleh persatuan pada hari Khamis, 18 Jun. Mereka bertolak dari Kuching kira-kira jam 10.00 pagi dan tiba di bandar Bintulu kira-kira jam 8.30 malam. Kesemua mereka ini disediakan penginapan di hotel Faber Inn yang terletak di Bandar Bintulu.

Keesokan harinya iaitu pada hari Jumaat, 19 Jun 2009, semua pejuang Skuad 69 ini telah berkunjung ke Kampung Assyakirin, Bintulu untuk menghadiri satu majlis bersama dengan pemimpin-pemimpin masyarakat yang terdiri daripada Ketua-Ketua Kaum dan Pengerusi JKKK dalam daerah Bintulu.
Di dalam majlis ini juga para hadirin telah diperdengarkan suatu majlis pengisahan yang telah disampaikan sendiri oleh para pejuang Skuad 69 berkisar kepada kisah perjuangan ketika berhadapan dengan pengganas komunis PARAKU.

(Foto: Acara menandatangani di atas kain pemidang)

Selain daripada DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak yang telah menyampaikan ucapan aluannya di awal majlis, hadirin juga telah dapat mendengar penceritaan yang telah disampaikan oleh Sjn (B) Anthony Nyoel dan juga Peet Awi.

Majlis ini telah pun dirasmikan oleh Tuan Ismawie Salleh, Timbalan Residen Bahagian Bintulu yang turut menyampaikan ucapan yang telah berjaya memukau hadirin yang mendengarnya. Majlis pengisahan ini telah berakhir dengan acara khas iaitu menandatangani kain pemidang (banner) yang bertemakan 'No Communist & No Crime' yang dimulakan dengan tandatangan Encik Ismawie Salleh dengan diikuti oleh Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak sendiri sebelum ditandatangani oleh semua pemimpin masyarakat yang hadir.

Pameran Keamanan Satu Malaysia

Pameran yang bertemakan Keamanan Satu Malaysia juga telah diadakan selama tiga hari yang bermula pada hari Jumaat, 19 Jun dan berakhir pada hari Ahad, 21 Jun 2009. Pameran yang diadakan di ParkCity Mall ini turut disertai oleh Jabatan Pertahanan Awam dan juga AADK telah berjaya menarik kehadiran para pengunjung yang ramai di pusat membeli belah ini. Booth Skuad 69 telah memaparkan visual yang berkaitan dengan kisah pahit getir ketika berhadapan dengan ancaman pengganas komunis di Sarawak.

Ceramah Isu Semasa

Pada hari Sabtu, 20 Jun iaitu pada jam 9.00 pagi telah diadakan satu majlis penerangan berkaitan dengan isu-isu semasa yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Khusairi Suhaibo, Pegawai Penerangan Daerah Daro.

Di dalam ceramah itu, Haji Khusairi telah menyentuh beberapa isu perpaduan yang menjadi teras kepada kejayaan konsep Satu Malaysia. Majlis ini telah diadakan di ruang legar ParkCity Mall, Bintulu.

(Foto: Suasana majlis ceramah isu semasa)

Malam Amal Keamanan Satu Malaysia

Kemuncak kepada acara Jelajah Amal di Bintulu ini ialah majlis makan malam amal 'Keamanan Satu Malaysia Peringkat Bintulu' yang diadakan pada hari Sabtu, 20 Jun 2009, di Dewan New World 1, New World Suites, Bintulu.

Majlis makan malam ini telah dirasmikan oleh YB DatukHaji Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak merangkap Pengerusi SEDC Negeri Sarawak. Di dalam majlis ini juga YB Datuk Talib telah mengetuai acara menandatangani pemidang 'No Communist & No Crime' yang disediakan di atas pentas.

(Foto: Datuk Talib dan DSP (B) Muhamad Yusof di atas pentas makan malam)

Di dalam ucapannya, YB Datuk Talib Zulpilip telah banyak menyentuh tentang isu-isu yang berkaitan dengan komunis. Beliau memuji usaha yang diambil oleh Skuad 69 PDRM Sarawak dengan membuat program jelajah ke seluruh Sarawak untuk memberikan suntikan semangat patriotik kepada masyarakat tempatan yang dikunjunginya.

(Foto: Majlis makan malam)



Kor Keselamatan Komuniti 69 Daerah Bintulu

YB Datuk Talib Zulpilip juga menyambut baik hasrat persatuan ini untuk menubuhkan 'Kor Keselamatan Komuniti 69 Daerah Bintulu' sebagaimana yang diumumkan oleh DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak semasa berucap di majlis makan malam pada 20 Jun 2009.

Kor ini akan memulakan misi penubuhannya dengan pembentukan sebuah jawatankuasa di peringkat daerah Bintulu yang akan dianggotai oleh Ketua-Ketua Kaum atau Pengerusi JKKK yang terbabit. Jawatankuasa ini juga akan dianggotai oleh wakil-wakil jabatan peringkat daerah yang akan terbabit untuk merangka modus operandinya. Pejabat Residen Bahagian Bintulu telah menyatakan persetujuannya untuk menjadi urusetia kepada Kor yang bakal ditubuhkan ini.


Monday, June 8, 2009

MUHAMAD YUSOF ISA DAN GASTAN SABAH YANG DIPERTUA DAN TIMBALAN YANG DIPERTUA PENAJA PERSATUAN KEBAJIKAN PEJUANG SKUAD 69 PDRM SABAH.

DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak telah dilantik sebagai Yang Dipertua Penaja Persatuan Kebajikan Pejuang Skuad 69 PDRM Sabah. Beliau diminta oleh ahli-ahli persatuan untuk mengetuai jawatankuasa penaja ini untuk mendaftarkan persatuan ini dengan Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Sabah.

Didalam mesyuarat penubuhannya yang diadakan kelmarin, sebuah jawatankuasa penaja persatuan ini telah dibentuk, dan sebagai Yang Dipertua Muhamad Yusof akan dibantu oleh Timbalannya Gastan Bin Sabah (Foto, sebelah kiri). Manakala Abdul Rahman Hashim (Foto, sebelah kanan) telah dilantik sebagai Setiausaha, diikuti dengan Affandi Ahmad sebagai Bendahari.

Sementara itu tiga orang lagi telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa. Mereka berkenaan terdiri daripada Haji Masran Haji Omar, Muhamad Nzam dan juga Hassan Ali. Jawatakuasa penaja yang dibentuk ini akan berperanan untuk menjejaki seberapa ramai bekas anggota Skuad 69 PDRM di negeri Sabah ini supaya mereka dapat mendaftar sebagai ahli.

Kepada semua bekas anggota Skuad 69 PDRM di Sabah disarankan supaya mereka semua dapat menjadi ahli dengan menghubungi Muhamad Yusof (012-3498999), Gastan Sabah (019-8037279) atau Abdul Rahman Hashim (012-8844169).


Saturday, June 6, 2009

BEKAS ANGGOTA SKUAD 69 DI SABAH AKAN TUBUHKAN PERSATUAN KEBAJIKAN PERJUANGKAN NASIB KELUARGA 69

Bekas-bekas anggota polis skuad 69 di negeri Sabah bakal dikumpulkan untuk menyertai persatuan kebajikan yang akan ditubuhkan di negeri tersebut. DSP (B) Muhamad Yusof Isa (Foto) yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak telah diundang ke Sabah untuk mengadakan pertemuan dengan bekas-bekas anggota polis Skuad 69 bagi merintis penubuhan sebuah persatuan yang akan menjaga hal ehwal kebajikan keluarga anggota skuad 69 di negeri bawah bayu itu.


-------------------------------------------------------------
Foto Kiri - suasana perbincangan di antara Presidein Skuad 69 dengan Encik Gastan (Kanan). Foto Kanan: Presiden meletakkan kalungan bunga di hadapan tugu peringatan 'double 6 di Kota Kinabalu, Sabah.'
-------------------------------------------------------------
Di negeri Sarawak persatuan ini telah pun ditubuhkan dengan mendapat kelulusan daripada pendaftar pertubuhan negeri berkenaan pada 30 Ogos 2006. Lebih daripada 100 orang bekas anggota polis di dalam Skuad 69 telah menjadi ahli di dalam Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak. Persatuan ini akan mengadakan mesyuarat agung tahunan buat kali yang ke-3 pada 20 Jun 2009 ini, di Bintulu.

Bekas-bekas anggota Skuad 69 PDRM yang berada di Sabah telah lama menanti untuk menubuhkan persatuan yang akan memperjuangkan nasib dan masa depan keluarga anggota Skuad 69 yang telah meninggalkan pasukan sejak awal tahun 2006.

Sebahagian besar daripada bekas anggota ini telah menceburkan diri di dalam pelbagai sektor seperti berniaga, bercucuk tanam dan ada juga yang menyambung pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di gedung-gedung perniagaan sekitar bandaraya Kota Kinabalu dan bandar-bandar kecil yang lainnya di negeri ini.

Anggota Skuad 69 PDRM merupakan sebahagian daripada anggota polis yang telah diserapkan di dalam Pasukan Polis Hutan untuk dihantar ke perbatasan tanah air menyertai misi dan operasi memburu pengganas komunis.

DSP (B) Muhamad Yusof Isa merasa terharu dengan sambutan yang diberikan oleh sebahagian daripada bekas anggota Skuad 69 di negeri ini yang benar-benar mengharapkan persatuan seumpama ini dapat ditubuhkan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan menghargai daya usaha yang diambil oleh Encik Gastan Bin Sabah seorang bekas anggota pasukan polis di negeri ini yang telah mengumpulkan beberapa orang bekas anggota Skuad 69 untuk menjadi ahli jawatankuasa penaja persatuan ini. Gastan Bin Sabah yang telah bersara daripada perkhidmatan polis pada tahun 2003 pernah dihantar berkhidmat di negeri Sarawak sekitar tahun 1973 untuk menyertai pelbagai operasi RASCOM yang berpusat di Sibu.

Gastan menyambut baik hasrat sebilangan anggota skuad 69 yang mahukan persatuan ini ditubuhkan di negeri ini. Menurutnya, jika negeri Sarawak persatuan ini telah dapat bergerak cergas, kenapa negeri Sabah tidak boleh berbuat demikian.

Hasrat untuk menubuhkan persatuan kebajikan Skuad 69 di Sabah telah dirintis sendiri oleh DSP (B) Muhamad Yusof Isa ketika beliau mengadakan kunjungan hormat terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah pada tahun 2007 yang lalu.

Dato' Noor Rashid Ibrahim (Foto) yang baru sahaja dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah pada tahun berkenaan telah menyatakan persetujuannya supaya persatuan ini dapat ditubuhkan di negeri ini. Dato' Noor Rashid berpendapat dengan adanya persatuan ini maka dapatlah segala masalah yang berkaitan dengan kebajikan anggota keluarga Skuad 69 dapat di manfaatkan oleh semua bekas anggota yang terbabit.

Friday, June 5, 2009

SERUJI IBRAHIM (48451), MENINGGAL DUNIA

Al-Fatihah.....Dengan rasa sedihnya dimaklumkan bahawa seorang ahli Skuad 69 PDRM Sarawak SERUJI BIN IBARHIM (48451) telah kembali ke rahmatullah pada tengah hari 4 Jun 2009 di rumahnya di Kota Samarahan.

(Foto - Seruji Ibrahim, di kiri sekali ketika menghadiri majlis sempena Hari Kemerdekaan 2008 yang lalu)

Allahyarham Seruji Ibrahim menyertai pasukan pada 26 November 1969, dan perkhidmatan terakhirnya dengan pasukan polis ialah di Batalion 11 PGA di Batu Kawa, Kuching. Beliau telah mengalami kecacatan anggota (akibat stroke) sejak tahun 2002, dan telah bersara pada tahun 2006 yang lalu. Allahyarham Seruji meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarganya.



Foto: DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak menyerahkan
sumbangan (kewangan) kepada bapa mertua Allahyarham Seruji Ibrahim (Tengah),
sambil disaksikan anak Allahyarham Seruji, Fida (Dua dari kiri). Turut kelihatan ialah
Mohamad Haji Mos (AJK Skuad 69) dan Zainab Majid (Kiri sekali).



Friday, May 29, 2009

YB AHMAD LAI BUJANG, AHLI PARLIMEN SIBUTI SERAH SUMBANGAN KEPADA SKUAD 69 PDRM SARAWAK

YB Ahmad Lai Bin Bujang (Foto, kanan), Ahli Parlimen Sibuti telah bermurah hati menyerahkan sumbangannya sebanyak RM1,500 kepada Skuad 69 PDRM Sarawak. Satu majlis penyerahan sumbangan tersebut telah berlangsung di Dynasty Hotel Miri hari ini (29 Mei 2009) yang turut disertai oleh wakil-wakil NGO yang lainnya.

Affandi Ahmad dan Mohamad Rashidi telah mewakili Skuad 69 PDRM Sarawak untuk menerima cek sumbangan tersebut daripada YB Ahmad Lai Bujang. Sebelum ini, YB Ahmad Lai telah menghadiri ke majlis makan malam sempena Jelajah Amal Skuad 69 PDRM Sarawak yang diadakan pada 24 April yang lalu di Hotel Imperial Miri.

Warga Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada YB Ahmad Lai di atas kprihatinannya terhadap bekas-bekas anggota polis di dalam Skuad 69.


BONG KEE CHOK KETUA PARAKU DI SARAWAK, MANAKALA CHIN PENG KETUAI PKM DI MALAYA.


(Foto: Bong Kee Chok)

Isu mutakhir yang sedang hangat diperkatakan di dalam media tempatan negara kita hari ini ialah mengenai KOMUNIS. Komunis merupakan suatu bentuk ideologi yang diimpot daripada negara China dan juga Rusia.

Pergerakan komunis di negara kita telah dilihat sebagai satu ancaman terbesar kepada rakyat jelata sebelum termeterai suatu perjanjian damai pada 2 Disember 1989 di Haadyai, Thailand diantara kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Di Sarawak bumi kenyalang juga tidak terkecuali daripada menerima tentangan hebat pengganas komunis yang digerakkan oleh Partai Rakyat Kalimantan Utara atau dikenali dengan nama PARAKU yang diketuai oleh BONG KEE CHOK.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
(Foto di atas: Bong Kee Chok (di tengah-tengah) ketika bersama-sama dengan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak (Kanan) dan Setiausaha Eksekutif Skuad 69 PDRM Sarawak, Abdul Rahman Hashim (Kiri). Detik pertemuan itu berlangsung di kediaman Tun Rahman Yakub di Petra Jaya, Kuching pada 1 Ogos 2006)
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PARAKU terlebih awal telah merintis jejak perdamaian setelah termeterainya Perjanjian Sri Aman pada 21 Oktober 1973, yang melibatkan pihak PARAKU dengan kerajaan Malaysia. Sebagai Pengarah Komisar Politik PARAKU, Bong Kee Chok telah mendepani hasratnya untuk kembali ke pangkuan masyarakat dengan persetujuan meletakkan senjata seterusnya berdamai dengan pihak kerajaan pada tahun yang berkenaan.

Sementara itu, CHIN PENG pula yang memimpin Parti Komunis Malaya atau PKM setelah dua kali diadakan perundingan bermula dengan 'Perundingan Baling' pada tahun 1955 sebelum merdeka yang dilihat sebagai gagal. Namun setelah berlakunya perundingan susulan pada tahun 1989, telah menyaksikan episod pertentangannya dengan pihak kerajaan Malaysia telah berjaya ditamatkan.

(Foto: Chin Peng (di tengah) bersama dengan pemimpin-pemimpin kanan PKM)

Perjanjian damai di Haadyai, di Selatan Thailand pada 2 Disember 1989 sebenarnya merupakan titik tolak yang telah mendorong kepada suatu bentuk persefahaman sebagai misi perdamaian. Chin Peng yang turut disertai bersama Rashid Maidin dan Abdullah CD iaitu pemimpin kanan Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya telah bersepakat untuk menamatkan perjuangan mereka yang telah bersarang di hutan belantara sekian lamanya dengan beberapa persetujuan yang telah dicapai dengan pihak kerajaan Malaysia.

Diantara Bong Kee Chok dan Chin Peng, sebenarnya mereka ini sama sahaja. Mereka berdua adalah pemimpin komunis. Kedua-duanya juga telah melakukan pengkhianatan yang maha dahsyat setelah pasukan gerila mereka bertempur dengan pasukan tentera dan pasukan polis sehingga mengakibatkan ribuan nyawa yang terkorban. Ketumbukan pasukan tentera dan pasukan polis terpaksa diperbesarkan untuk menentukan kesiapsiagaannya mampu berhadapan dengan anacaman pengganas komunis.

Pasukan Polis Hutan (PPH) yang terbentuk di bawah panji-panji PDRM terpaksa diperkuatkan pada tahun 1969, setelah lebih daripada lima ribu anak-anak muda dari seluruh negara direkrutkan sebagai 'mata-mata' yang bertujuan untuk memusnahkan pergerakan gerila komunis yang terdapat di semenanjung Malaysia dan juga di Sarawak.

(Foto - Anggota PPH ketika dalam operasi di Tg. Kunyit, Sarawak)

Setelah tamat latihan, anggota-anggota Skuad 69 ini telah menyarung baju hijau untuk dikerahkan menyertai berbagai operasi di seluruh negara termasuk di Sarawak. Sesungguhnya Chin Peng dan Bong Kee Chok begitu ghairah untuk mempastikan negara ini dikomuniskan dengan falsafah ideologi marxisme dan leninisme.

Paraku dan PKM sebenarnya mereka berselindung di sebalik tirai kemerdekaan kononnya negara ini belum bebas lagi dari cengkaman kolonialisme (penjajah), maka perjuangan mereka dikatakan untuk menghalau penjajah. Untuk tujuan itu, pasukan gerila mereka terpaksa berperang dengan pasukan keselamatan negara. Tindakan ini menyebabkan negara berada di dalam kondisi yang merbahaya, dan rakyat sentiasa berada dalam ketakutan.

(Foto - Anggota PPH menyeberangi Sg. Rajang di Sarikei, Sarawak)

Bong Kee Chok dan Chin Peng harus dipertanggungjawabkan di atas pengkhianatan dan kezaliman yang telah mereka lancarkan selama ini. Walaupun negara sudah bebas daripada anacaman pengganas komunis, namun rakyat negara ini masih dibelenggu dengan ingatan dan nostalgia ngeri yang memeritkan.

Bong Kee Chok bernasib baik kerana dirinya telah diterima oleh masyarakat di negeri Sarawak. Dirinya dikatakan telah mendapat layanan yang lebih baik jika dibandingkan dengan nasib perajurit dan wira-wira yang kini menjadi pesara veteran.

Nasib Chin Peng tidak sebaik Bong Kee Chok, kerana Chin Peng kini berada di dalam buangan. Kerajaan masih belum boleh menerimanya untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Chin Peng yang mengharapkan simpati untuk pulang ke tanah airnya, tetapi bumi yang disimbahnya dengan darah pejuang yang menentangnya telah bersumpah untuk tidak mahu melihatnya berada di bumi Malaaysia.

Biarlah Chin Peng menghabiskan sisa-sisa hidupnya itu di alam buangan, kerana dirinya masih tersalut dengan darah komunis.

Klik pada gambar ini untuk imej lebih besar
Keratan Akhbar: Kenyataan resmi yang dibuat oleh Presiden
Skuad 69 PDRM Sarawak berkaitan dengan isu Chin Peng
yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia muka 12
bertarikh 28 Mei 2009


Sunday, May 24, 2009

RAKYAT MALAYSIA BELUM BOLEH TERIMA 'CHIN PENG'...

Rakyat negara ini masih belum boleh menerima kehadiran Chin Peng untuk kembali ke tanah airnya. Jika ditanya kepada wira-wira pejuang di dalam pasukan Angkatan Tentera dan juga pasukan polis yang pernah bertempur dengan gerila komunis yang dipimpin oleh Chin Peng semasa negara ini diancam oleh pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu, tentunya mereka akan terkenang betapa peritnya cabaran yang telah dilalui sehingga memaksa ribuan nyawa yang telah terkorban, dan tidak kurang juga yang telah menanggung derita dengan kecacatan kekal yang dialami akibat tersadung jerangkap samar yang diperangkap oleh gerila-gerila komunis yang dikepalai oleh Chin Peng.

Oleh hal yang demikian, seluruh warga Skuad 69 PDRM Sarawak yang pernah berjuang di dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) untuk menjaga keselamatan awam ketika negara di dalam darurat dahulu tidak pernah lupa betapa kejamnya gerombolan pengganas komunis ini yang telah membunuh banyak nyawa, sehingga negara dan rakyatnya turut merasakan terancam.

(Foto: Chin Peng bersama Rashid Maidin (di belakangnya) ketika hendak menuju ke meja Rundingan Damai Baling pada 28 & 29 Disember 1955)

Tentunya Chin Peng akan mereka cipta pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan yang pernah mereka cerobohi. Negara yang telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, telah dinafikan oleh Chin Peng. Semangat patriotik cintakan negara ini tidak tertanam di dalam sanubari pemimpin Parti Komunis Malaya ini. PKM sebenarnya mahu mendominasikan negara ini dengan fahaman komunisme, tetapi rakyat telah menolaknya.

Chin Peng terpaksa mengerahkan segala kekuatannya dan telah diperkuatkan lagi dengan penubuhan Rejimen ke-10 (Tentera Pembebasan Nasional Malaya - TPNM) yang dipimpin oleh Abdullah CD. Rejim komunis ini telah bersarang di hutan belantara dengan mengangkat senjata untuk menentang pasukan keselamatan yang mereka anggap sebagai anjing kerajaan.

Benteng pertahanan negara terpaksa diperkuatkan di perbatasan tanah air kita, kerana PKM telah bertindak ganas memusnahkan balai-balai polis, merampas senjata, mengugut rakyat marhain malah mereka bertindak kejam membunuh sesiapa saja yang dilihat pro kepada pasukan keselamatan.

Oleh itu sekali lagi kami daripada warga Skuad 69 PDRM Sarawak menggesa pihak kerajaan supaya tidak melayani karenah Chin Peng ini. Kami tidak bersetuju dengan pandangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang mahukan supaya kerajaan menerima semula kehadiran bekas pemimpin PKM ini, dengan beralaskan hujah kemanusiaan.

Kita mahukan Chin Peng memahami aspirasi rakyat negara ini yang tidak boleh memaafkannya lagi kerana terlalu banyak angkara khianat yang telah dipalitkannya terhadap negara ini.

Malaysia tidak perlukan lagi spesis seperti Chin Peng ini.