Thursday, October 2, 2008

TYT ingatkan agar tidak lupa pengorbanan pasukan keselamatan...

Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin mengingatkan rakyat supaya tidak lupa dengan pergorbanan pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang menjaga ketenteraman dan keamanan di bandar seluruh negeri dan di perbatasan pada musim perayaan.
Katanya, tanpa jasa mereka, tidak mungkin rakyat jelata dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri ini dalam keadaan aman dan damai.
“Jasa dan pergorbanan mereka amat besar sekali dan seharusnya diberi sanjungan tinggi oleh semua rakyat jelata.
“Merekalah yang memastikan kesejahteraan negeri, keselamatan dan keamanan. Saya ingin merakamkan setinggi terima kasih dan perhargaan kepada mereka,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2008 di sini semalam.
Beliau turut mengucapkan salam lebaran kepada semua anggota perkhidmatan awam dan pihak swasta yang tidak kurang pentingnya dalam memainkan peranan ke arah pembangunan negeri ini.
“Saya mengucapkan syabas atas daya usaha serta sumbangan ikhlas yang telah diberikan untuk sambutan perayaan-perayaan di negeri ini.
“Saya berharap dengan sambutan 1 Syawal ini ia akan terus memberi semangat jaya serta usaha lebih gigih bagi kita untuk memajukan negeri di masa datang,” ujarnya.
Beliau juga berharap semua nilai-nilai baik yang diamalkan umat Islam sepanjang bulan Ramadhan akan terus menjadi asas pembentukan kepada generasi progresif, berdaya saing dan mempunyai komitmen tinggi.
“Seperti tahun-tahun lepas, Hari Raya Aidilfitri sentiasa disambut dalam suasana meriah dan penuh kegembiraan. Sambil-sambil kita bergembira janganlah lupa dengan keselamatan diri dan keluarga kita. Dalam hal ini saya ingin mengingatkan mereka yang balik kampung untuk berhari raya bersama keluarga supaya berhati-hati ketika berada di jalan raya dan saya berdoa semoga semua sentiasa dalam keadaan selamat,” jelasnya.
Seperti kebiasaan, Tun Salahuddin juga mengalakkan kaum-kaum lain supaya mengadakan kunjungan ke rumah-rumah terbuka serta mempratikkan amalan kunjung-mengunjung di antara satu sama lain bagi mengeratkan hubungan dan rasa saling-mengormati di antara kita.
“Amalan kunjung-mengunjung dan juga maaf-bermaafan di antara satu sama lain merupakan kekuatan kita bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara,” ujarnya sambil menambah beliau amat berbangga dengan sumbangan rakyat dalam menjayakan Perayaan 45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia, Julai lepas.
“Perayaan istimewa ini yang diraikan setiap lima tahun sekali merupakan cara kita di negeri ini menyingkap, menilai dan menoleh kembali pencapaian pembangunan yang telah dicapai dan seterusnya diguna untuk merancang pembangunan negeri di masa hadapan.
“Pencapaian pembangunan yang amat pesat yang telah dicapai di negeri ini amatlah membanggakan dan sekali gus telah memajukan seluruh rakyat jelata. Ini telah dengan sendirinya membawa kemakmuran dan keharmonian di kalangan rakyat dan Negara,” katanya.
Tun Salahuddin sekeluarga juga turut mengucapkan Selamat Hari Rya Aidil Fitri kepada semua masyarakat Islam di Sarawak khususnya dan di mana saja mereka berada di negara ini.

Monday, September 29, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Presiden, Timbalan Presiden dan seluruh Ahli Jawatankuasa serta warga kerja Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada semua warga Skuad 69 di seluruh negeri Sarawak.

Sempena hari lebaran ini didoakan semoga ikatan setiakawan dan silaturrahim yang sedia terjalin selama ini dapat diperkukuhkan lagi dengan iltizam untuk membina organisasi ini sebagai payung kepada semua anggota Skuad 69 di dalam PDRM khususnya di negeri Sarawak.

Skuad 69 temui Dato Sri Awang Tengah




Seramai tujuh orang Ahli Jawatankuasa Skuad 69 PDRM Sarawak yang diketuai Timbalan Presiden, DSP (B) Arifin Haji Adenan telah membuat kunjungan hormat terhadap YB Dato Sri Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, merangkap Menteri Kemudahan Awam Sarawak hari ini (29 September).
Kunjungan tersebut telah dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara persatuan ini dengan Menteri yang berkenaan. Di dalam pertemuan ini, DSP (B) Arifin Haji Adenan telah memberikan penerangan berkaitan dengan aktiviti persatuan ini dalam menjaga hal ehwal kebajikan ahli-ahlinya yang terdapat di seluruh negeri Sarawak.
Tuan DSP (B) Ariffin Haji Adenan juga telah menyampaikan jemputan kepada YB Dato Sri Awang Tengah untuk merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Skuad 69 PDRM Sarawak yang akan diadakan pada 18 Oktober depan, di Bintulu.
Di antara ahli jawatankuasa lain yang turut serta dalam kunjungan ini ialah Tuan ASP (B) Mohd. Faisal Abdullah, Bujang Boji Sitam, Peet Awi, Mohamad Haji Mos, Affandi Ahmad dan juga Zaidel Saat.
Posted by SKUAD 69 PDRM SARAWAK at 6:39 PM 0 comments

Tuesday, September 23, 2008

Ucapan DSP (B) Arifin Haji Adenan Dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim


(Petikan ucapan Tuan DSP (B) Arifin Haji Adenan (GAMBAR) Timbalan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak di dalam majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Kompleks Laila Taib, di Petra Jaya, Kuching - Isnin, 22 September, 2008)

Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah sama-sama kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya juga, kita semua telah dapat berkumpul pada petang yang berbahagia ini, untuk sama-sama kita meraikan anak-anak yatim yang menghuni di Kompleks Kebajikan Laila Taib di dalam satu majlis berbuka puasa sebentar lagi.


2. Sebelum saya meneruskan ucapan ini, terlebih dahulu saya ingin menyampaikan salam takzim daripada Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak, Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Isa yang tidak dapat hadir di dalam majlis ini, kerana beliau kini berada di Kuala Lumpur di atas urusan yang memerlukan kehadirannya di sana. Beliau telah meminta saya mewakilinya untuk menyampaikan ucapan di dalam majlis pada hari ini.

3. Bagi pihak seluruh warga Skuad 69 PDRM Sarawak saya ingin mengucapkan selamat datang dan setinggi penghargaan kepada YB Dr. Abdul Rahman Haji Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri N.4 Pantai Damai bersama-sama isteri beliau, Y.Bhg Puan Rugayah yang telah dapat melapangkan masa untuk bersama-sama kita pada petang ini, seterusnya dapat pula berbuka puasa dengan anak-anak yatim yang menghuni di kompleks ini. Saya difahamkan jadual YB pada hari ini begitu sibuk, kerana selepas ini YB juga akan hadir ke satu majlis lain yang telah dijadualkan.
Hari Lebaran Aidilfitri

4. Hari ini merupakan hari yang ke-22 kita berpuasa, dan lebih kurang satu minggu saja lagi kita semua akan menyambut ‘Hari Lebaran Aidilfitri’ sebagai hari kemenangan umat Islam setelah sebulan kita menunaikan kewajipan berpuasa. Dalam menjalani ibadah puasa ini, kita sentiasa digalakkan untuk meningkatkan pahala berpuasa dengan mempertingkatkan amalan bersedekah dan membuat kerja-kerja amal yang lainnya.

5. Skuad 69 PDRM Sarawak turut terpanggil untuk meng-Ihyakan Ramadan ini dengan mengadakan berbagai-bagai aktiviti kebajikan sebagai langkah untuk mendekatkan lagi hubungan kami dengan anggota masyarakat. Program kita pada hari ini juga merupakan satu kegiatan amal yang diusahakan oleh Biro Kebajikan Persatuan ini, untuk sama-sama kita mendekatkan diri dengan anak-anak yatim di kompoleks kebajikan Laila Taib, dan tentunya kami amat berbangga sekali kerana program seumpama ini telah mendapat kerjasama dan juga sokongan daripada berbagai pihak yang menjadi PENAJA yang telah bermurah hati pada bulan yang penuh keberkatan ini, dengan menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan bukan sahaja kepada anak-anak yatim di kompleks ini, malah beliau juga telah banyak menyumbangkan amal jariah kepada golongan-golongan marhain yang lainnya di sepanjang bulan Ramadan ini.

6. Di atas baik budi dan keluhuran hati mereka yang budiman itu, kami amatlah menghargainya, dan kami semua mendoakan kesejahteraan kepada mereka. Mudah-mudahan Allah SWT merahmati dan juga memberkati serta murahkan rezki mereka, agar segala amal bakti yang dicurahkan selama ini mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah SWT jua hendaknya. Amin.

Insan Cemerlang, Gemilang & Terbilang


7. Kepada anak-anak yatim yang menerima sumbangan hari raya ini, kami mengharapkan anak-anak sekelian dapat menyambut hari lebaran nanti dengan penuh keceriaan dan kegembiraan. Kita mesti sematkan keazaman untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan juga di akhirat. Walau apa jua cabaran kehidupan yang dihadapi, anak-anak mestilah mengharunginya dengan penuh ketabahan dan meningkatkan lagi usaha supaya kita menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

8. Skuad 69 PDRM Sarawak akan sentiasa prihatin dengan anak-anak sekelian, dan kami mengharapkan agar di masa akan datang kami akan dapat mengaturkan satu lagi majlis seumpama ini. Untuk makluman YB dan Y.Bhg Dato’ serta hadirin sekelian, Skuad 69 PDRM Sarawak juga akan mengadakan majlis Ramah Tamah Aidilfitri pada 18 Oktober nanit di Bintulu, dan sempena majlis itu juga, kami akan melancarkan Edisi Khas Buletin Skuad 69 PDRM Sarawak. Kami berharap dengan bingkisan aktiviti kebajikan yang dijalankan ini akan dapat sama-sama kita manfaatkannya. Insya Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

9. Saya tidaklah berhajat untuk memanjangkan lagi ucapan ini, kerana selepas ini kita hendak mendengar pula ucapan yang bakal disampaikan oleh YB Dr. Abdul Rahman Junaidi, ADUN N.4 Pantai Damai. Saya tidak lupa untuk mengucapkan setinggi penghargaan kepada Pengurus dan Kakitanagan Kompleks Kebajikan Laila Taib ini di atas kerjasama yang telah diberikan untuk menjayakan majlis kita pada hari ini.

10. Akhir kalam, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian yang turut serta pada hari ini untuk sama-sama kita meraikan anak-anak yatim di dalam majlis berbuka puasa ini. Mudah-mudahan kita semua mendapat keampunan dan keberkatan sempena bulan yang mulia ini.

11. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir, Maaf Zahir dan Batin.

Sekian sahaja, wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamu Alaikum Wr Wb.


-----------------------------------------------------------------------------------
Gambar Lokasi Di Rumah Kebajikan Laila Taib (22 September):


Gambar 1 - Sebahagian daripada kanak-kanak yatim yang diraikan

Gambar 2 - DSP (B) Arifin menyampaikan cenderahati kepada YB Dr. Rahman.

Gambar 3 - YB Dr. Rahman sedang berucap di hadapan kanak-kanak yatim.

1. 2.

3.

Monday, September 22, 2008

Kegiatan Amal Skuad 69 Di Sepanjang Bulan Ramadan

Berita Ringkas

Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak tahun ini, Skuad 69 PDRM Sarawak telah mengaturkan berbagai aktiviti amal yang telah mendekatkan lagi persatuan ini dengan masyarakat. Diantara program yang telah dijalankan oleh Biro Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak ini ialah seperti berikut:-

16 September 2008
Majlis Berbuka Puasa Bersama Kanak-Kanak Rumah Kebajikan

Aktiviti ini telah dijalankan di Kediaman Datin Ezza Noni, di Jalan Song, Kuching, Sarawak. Seramai 20 orang kanak-kanak dari Rumah Kebajikan telah diraikan di dalam majlis berbuka puasa tersebut. Di dalam majlis ini juga, Datin Ezza Noni telah bermurah hati menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang diraikan. Turut hadir di dalam majlis ini ialah Tuan DSP (B) Arifin Haji Adenan, Timbalan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak.
19 September 2008
Majlis Berbuka Bersama Anggota Kontinjen Skuad 69

Encik Saili Sulaiman, Pengerusi Biro Ekonomi Skuad 69 PDRM Sarawak telah bermurah hati meraikan anggota kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak yang telah mengambil bahagian di dalam perbarisan Hari Kemerdekaan Ke-51 yang telah diadakan di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 31 Ogos lalu, di dalam satu majlis berbuka puasa yang diadakan di Penview Inn, di Pending, Kuching.
Turut hadir di dalam majlis berbuka puasa ini ialah dua orang pemimpin kanan Skuad 69 PDRM Sarawak, iaitu DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden dan juga DSP (B) Arifin Haji Adenan, Timbalan Presiden. Ketua Kaum (KK) Semariang Lama, Haji Bujang Kadir juga turut hadir bersama-sama dengan Exco PBB Cawangan N.7 Semariang. Encik Saili Sulaiman juga merupakan Ketua Ranting PBB Semariang Lama.

20 September 2008
Penyampaian Sumbangan Kepada Keluarga Miskin



Setelah tersiar berita mengenai kehimpitan hidup lima beradik yang kematian bapa dan ditinggalkan pula oleh ibunya, Skuad 69 PDRM Sarawak turut bergegas menyampaikan sumbangan kebajikan di rumah mereka yang terletak di sebuah perkampungan di Skim Laru, Petra Jaya. Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak, Tuan DSP (B) Muhamad Yusof Isa beserta dengan ahli jawatankuasa Biro Kebajikian telah menyampaikan sendiri sumbangan berupa duit raya dan hamper makanan kepada lima kanak-kanak tersebut.

Sumbangan Kebajikan Kepada Ahli Skuad 69
Persatuan ini juga tidak lupa untuk mengagihkan sumbangan kebajikan kepada keluarga ahli yang memerlukan bantuan, terutama di saat menjelangnya Aidilfitri. Berbagai bentuk sumbangan yang disalurkan kepada mereka yang berkenaan, antaranya ialah duit raya, hamper dan kelengkapan pakaian hari raya.

Tahniah kepada Biro Kebajikan....

Wednesday, September 10, 2008

Saili Sulaiman anjur buka puasa untuk kontinjen Skuad 69


Berita Ringkas
Alhamdulillah, salah seorang ahli jawatankuasa Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak, Saili Sulaiman (Gambar) bermurah hati untuk mengadakan majlis berbuka puasa untuk semua peserta kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak yang mengambil bahagian di dalam perbarisan Hari Kemerdekaan Ke-51 yang baru lalu, pada hari Jumaat, 19 September 2008, di Hotel Penview, Pending, Kuching, Sarawak.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Skuad 69 PDRM Sarawak menghubungi urusetia persatuan ini telah meminta Setiausaha Eksekutifnya Abdul Rahman Hashim supaya memaklumkan perkara ini kepada semua 33 anggota yang terlibat.

Saili Sulaiman begitu terdorong untuk meraikan semua anggota kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak di dalam satu majlis berbuka puasa ini, sebagai satu penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan semangat yang tinggi ketika mengambil bahagian di dalam perarakan yang telah diadakan pada 31 Ogos lalu di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Beliau juga kagum dengan semangat 'espirit de corp' yang ditunjukkan oleh pasukan kontinjen ini di sepanjang latihan dan juga raptai yang telah diadakan selama 3 hari sehinggalah di hari kemuncaknya.
----------------------------------------------------------------------------------------
Gambar Lokasi (19 September) :
Majlis Berbuka Puasa Di Penview Inn, Kuching.







Thursday, September 4, 2008

Skuad 69 anjur buka puasa bersama anak yatim

Berita Ringkas
Sempena dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini, Skuad 69 PDRM Sarawak akan menganjurkan satu majlis berbuka puasa bersama-sama dengan anak yatim, balu-balu dan anggota skuad 69 yang kurang upaya pada 22 September yang akan datang. Majlis ini akan diadakan di Kompleks Kebajikan Laila Taib, Jalan Sultan Tengah, Kuching, Sarawak.

Perkara ini telah diputuskan oleh mesyuarat Biro Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak yang diadakan pada Selasa lalu (2 September) yang dipengerusikan oleh Bujang Boji Sitam (Gambar) yang juga Pengerusi Biro berkenaan. Biro ini mengandungi beberapa orang ahli jawatankuasanya yang terdiri daripada:

Penasihat
DSP (B) Arifin Haji Adenan
Pengerusi
Bujang Boji Sitam
Setiausaha
Zakaria Harun
Bendahari
ASP (B) Mohd. Faisal Abdullah
Ahli Jawatankuasa
Peet Awi
Zainal Abidin Udin
Zaidel Saat
Nelson Ansang Majeng
Mohamad Haji Mos
Abu Bakar Bajuri
Zainab Majid
Siti Hanipah Abd. Rahman

Majlis berbuka puasa ini dijangka akan dirasmikan oleh YB Dr. Abd. Rahman Junaidi, ADUN Pantai Damai, dan biro ini akan mengutus surat resmi kepada beliau untuk tujuan tersebut. Biro Kebajikan juga amat mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada pihak penaja ataupun individu yang berhasrat untuk bekerjasama bagi menjayakan majlis yang tersebut.