Wednesday, November 26, 2008

Presiden Skuad 69 terpilih Ahli Lembaga Pengadil MAVA


Gambar hiasan Bola Tampar

DSP (B) Muhamad Yusof Isa Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak telah terpilih dengan majoriti tertinggi sebagai Ahli Lembaga Pengadil Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) 2008-2009. Beliau yang mewakili Negeri Perlis di dalam mesyuarat agung MAVA yang diadakan pada hari sabtu lalu, 22 November 2008 telah memperolehi 13 undi daripada 16 orang wakil yang hadir di dalam mesyuarat tersebut yang diadakan di Kemaman, Terengganu.

Di dalam mesyuarat agung itu juga telah memilih Joseph Gerard dari Kuala Lumpur sebagai Pengerusi, manakala Abdul Rashid Hamzah daripada Selangor telah dipilih sebagai Naib Pengerusi, Abd. Rahman Ahmad daripada Kuala Lumpur sebagai Setiausaha, Azmi Abdul Rahman daripada Pahang terpilih sebagai Penolong Setiausaha dan Ahmad Ridhuan daripada Negeri Sembilan pula terpilih sebagai Bendahari.

Selain DSP (B) Muhamad Yusof Isa, turut dipilih menduduki ahli jawatankuasa MAVA ialah Jimmy Tang daripada Johor. Sementara itu bagi jawatan juruaudit telah disandang oleh Lok Chun Fong dan Haji Abidin Bachik kedua-duanya dari Melaka.

Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan setinggi tahniah kepada DSP (B) Muhamad Yusof Isa di atas kejayaan dan juga penghormatan yang telah diberikan oleh MAVA. Bolehlah beliau mengambil daya usaha untuk menganjurkan kejohanan bola tampar di negeri Sarawak ini. Skuad 69 boleh bertindak sebagai penganjurnya.

Monday, November 17, 2008

Empat penjenayah Indonesia ditembak mati

MAYAT empat penjenayah warga Indonesia di atas jalan selepas mati ditembak oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban di Jalan Seremban-Labu
berhampiran pejabat Kualiti Alam Sdn. Bhd., Seremban.

SEREMBAN 16 Nov. – Empat penjenayah warga Indonesia yang diburu polis kerana terlibat kes samun dan rompakan bersenjata ditembak mati dalam satu kejadian di Jalan Seremban-Labu
di sini pagi ini.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Skuad 69 PDRM Sarawak memberikan sekalung tahniah kepada pihak PDRM, dan tentunya kita menghargai pembanterasan jenayah secara tegas dan berkesan seperti ini. Mengenangkan berleluasanya kes-kes jenayah berat seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini, dirasakan sia sia sahaja jika sekadar menangkap penjenayah tegar seperti ini, membawa ke balai, memproses melalui sistem undang undang negara yang sedia ada, menahan reman bertahun tahun, kemudian menanggung biaya memelihara penjenayah penjenayah tegar begini bertahun-tahun.
Bahasa Peluru
Anggota polis yang terbabit dengan serangan penjenayah ini perlu bertindak pantas dan mereka tidak ada pilihan lain kecuali menggunakan 'bahasa peluru' sahaja yang sesuai melayan mereka.
Penjenayah Tegar
Skuad 69 berharap pihak PDRM akan memburu juga penjenayah-penjenayah 'hardcore' tempatan dengan kaedah yang sama dan membersihkan bumi Malaysia dari malaun-malaun begini. Kita masih kecewa dan ternanti-nanti dengan kes-kes yang melibatkan kehilangan kanak-kanak Malaysia yang telah dibunuh secara kejam seperti Arwah Nurin Jazlin Jazimin dan anak-anak lain yang masih hilang? Begitu juga dengan kes peras ugut yang melibatkan 'along' seolah-olah mereka sang juara yang kebal daripada menerima hukuman. Kerjasama orang ramai nampaknya masih perlu ditingkatkan.
Komuniti-force
Skuad 69 berharap PDRM akan terus dengan misinya menangkap, dan jika terpaksa menembak mati terus penjenayah-penjenayah kejam seperti itu! Tidak harus ada ruang untuk berdolak dalik lagi. Kadar jenayah semakin meningkat disebabkan terlalu banyak juara yang hanya bijak bercakap mengenai jenayah, tetapi kurang perancangan bagaimana untuk melibatkan masyarakat supaya mereka juga dijadikan kor anti jenayah sebagai 'komuniti-force' yang memiliki pengetahuan dan kemahiran membanteras jenayah.
Mensifarkan jenayah
Rasanya tidak perlu sangat kita menuding jari menyalahkankan pasukan polis, kerana mereka sememangnya komited dan serius untuk menegakkan keamanan dan mensifarkan jenayah.

Saya ucapkan 'Selamat Bertugas!' kepada pasukan PDRM didalam memerangi penjenayah-penjenayah tegar di dalam negara ini, tanpa mengira mereka warganegara tempatan atau asing! Go PDRM Go!


Thursday, November 13, 2008

SKUAD 69 SEDIA MEMBANTU MASYARAKAT TUBUHKAN KOR KESELAMATAN PERANGI JENAYAH


DSP (B) Muhamad Yusof Isa Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak menyampaikan cenderhati
kepada Datuk Talin Zulpilip

Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak DSP (B) Muhamad Yusof Isa berkata, anggota Skuad 69 sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan juga dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat (NGO) seperti Rukun Tetangga, Pasukan Rela dan Rakan Cop dalam usaha bersepadu memerangi jenayah. Ikuti teks ucapan penuh DSP (B) Muhamad Yusof Isa Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak semasa berucap di dalam majlis perasmian Buletin dan Laman Blog Skuad 69 PDRM Sarawak pada 8 November lalu.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, kerana dengan berkat dan limpah kurniaNya juga, kita semua telah dapat berkumpul pada malam ini, di dalam satu majlis Makan Malam Mesra Amal anjuran Skuad 69 PDRM Sarawak.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang dan jutaan terima kasih serta amat terharu sekali dengan kehadiran para tetamu sekelian di dalam majlis makan malam ini. Saya berharap kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekelian di dalam majlis ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara sesama kita semua, seterusnya dapat mendekatkan lagi hubungan tuan-tuan semua dengan Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak, yang merupakan sebuah pertubuhan yang mewakili bekas-bekas anggota Skuad 69 PDRM khususnya di negeri Sarawak ini.
Wakili Datuk Amar Awang Tengah
3. Saya juga mewakili seluruh warga kerja dan keluarga Skuad 69 PDRM Sarawak dengan rasa bangganya mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat kita pada malam ini iaitu YB Datuk Haji Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak, merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, yang mewakili YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, di atas kesudian beliau melapangkan masa yang berharga ini untuk sama-sama meraikan majlis ini, seterusnya melancarkan dengan rasminya lidah resmi Persatuan kami, iaitu Buletin Skuad 69 PDRM Sarawak bagi edisi ke-2; dan juga melancarkan dengan rasminya laman blog kami iaitu www.skuad69.blogspot.com sebentar lagi.

Tuan Pengerusi, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

4. Majlis kita pada malam ini sepatutnya telah berlangsung pada 18 Oktober yang lepas di dalam suasana menyambut aidilfitri, namun begitu di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa menundakan tarikhnya kepada hari ini sebagai satu program amal, di samping meraikan para penaja yang telah memberikan sokongan dan juga kerjasama dalam menjayakan penerbitan Buletin Skuad 69 PDRM Sarawak.

5. Justeru itu, bagi pihak persatuan, saya memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang telah dialami oleh tuan-tuan semua setelah majis makan malam ini ditunda, terutamanya kepada para penaja yang terlibat menyumbangkan tajaan, samada dalam bentuk pembelian meja-meja makan mahupun yang menyertai tajaan iklan di dalam bulletin yang bakal dilancarkan nanti.

6. Sebagai sebuah persatuan yang baru sahaja ditubuhkan pada tahun 2006 lalu, tentunya kami mengalami serba serbi kekurangan dalam mempelbagaikan aktiviti, terutama yang berkaitan dengan hal ehwal kebajikan ahli-ahli kami di seluruh negeri Sarawak yang memerlukan perhatian dan juga pembelaan daripada persatuan. Setelah kami semua meninggalkan perkhidmatan kepolisan, tidak bermakna kesemuanya dapat menjalani kehidupan tanpa menghadapi masalah, malah banyak perkara yang perlu kami berikan perhatian untuk memberikan pembelaan kepada bekas-bekas anggota Skuad 69 PDRM yang pernah berjuang mempertahankan Negara sewaktu Negara menghadapi ancaman pengganas komunis.
mengisi tabung kebajikan
7. Kami terpanggil untuk mengadakan majlis makan malam amal ini, sebagai memenuhi tuntutan dan tanggungjawab kami dalam mengisi tabung kebajikan sebagai dana yang akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan bantuan dari kalangan keluarga bekas-bekas anggota polis, terutamanya di dalam Skuad 69 PDRM. Begitu juga, kami sentiasa prihatin untuk berinteraksi dengan masyarakat tempatan, terutamanya dalam gerak kerja kesukarelaan yang membabitkan aspek kebajikan, pendidikan, hal ehwal keselamatan dan juga kesedaran sivik.
Semangat espirit de corp
8. Kami merasakan pengalaman mencurahkan khidmat bakti di dalam pasukan polis selama lebih 36 tahun dahulu amat berharga buat kami dan ianya menjadi nostalgic yang tidak mudah untuk kami lupakan. Kami dapat merasakan juga semangat ‘espirit de corp’ yang tertanam di dalam setiap sanubari kami semasa berada dalam pasukan dahulu, telah menjadikan kami lebih memahami dan menjiwai arti sebuah pengorbanan demi untuk menegakkan maruah sebuah ‘Negara Bangsa’ yang berdaulat dari dicerobohi oleh musuh Negara.
Dulu perangi komunis, kini perangi jenayah
9. Kita bersyukur, kerana Negara kita hari ini tidak lagi diselubungi dengan ancaman pengganas komunis, dimana rakyat telah mengecapi nikmat keamanan bagi membolehkan Negara terus memacu kemajuan. Walaupun Negara tidak lagi diancam oleh pengganas komunis, namun begitu kita tidak harus alpa, kerana masih ada tanggungjawab yang perlu kita pikul, terutamanya untuk memerangi jenayah yang sering berlaku di dalam kancah masyarakat kita hari ini.

10. Dengan peningkatan kadar jenayah yang sering berlaku, terutamanya di Bintulu ini, kita berharap ianya dapat dibanteras supaya kes-kes jenayah yang membabitkan pecah rumah, rompakan, pembunuhan dan sebagainya dapat dikawal, dan bersama-samalah kita memeranginya.
Kor Keselamatan Komuniti
11. Dalam memperkatakan masalah jenayah yang berlaku di dalam kancah masyarakat kita hari ini, Skuad 69 PDRM Sarawak ingin menyatakan di sini bahawa kami bersedia untuk bekerjasama membentuk ‘kor keselamatan komuniti’ di setiap kawasan bersama-sama dengan pihak Rukun Tetangga, Rela mahupun dengan pihak Rakan Cop terutamanya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dengan kes-kes jenayah. Kami merasakan Jawatankuasa Rukun Tetangga di setiap kawasan terutamanya terlibat dengan skim kawalan keselamatan ini perlu diberikan suntikan motivasi dengan menjalani latihan asas mengenai aspek keselamatan, termasuk juga dalam aspek meningkatkan ketahanan mental dan fizikal. Dalam hubungan ini, Skuad 69 PDRM Sarawak juga bersedia untuk menawarkan khidmat latihan kepada semua operator keselamatan yang berkenaan, setidak-tidaknya didahulukan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dengan kes-kes jenayah, seperti di Bintulu ini.
Separuh usia kami di dalam pasukan polis
12. Sebenarnya, menerusi Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak ini juga, kami merasakan ada sedikit ruang untuk kami mendekatkan diri dengan masyarakat. Maklum sajalah, hampir separuh daripada usia kami hari ini telah terikat dengan teras perkhidmatan yang ditetapkan oleh PDRM. Dahulu kami semua tidak berpeluang untuk menceburi secara aktif dalam aktiviti-aktiviti masyarakat, tetapi selepas pencen, kami merasakan perlu untuk kami mencurahkan khidmat bakti bersama-sama dengan masyarakat dalam mengukuhkan lagi ikatan perpaduan demi untuk kemakmuran Negara.

13. Berbagai kaedah dan juga pendekatan sedang dan telah kami lakukan untuk memenuhi ruang yang terbuka luas ini, diantaranya ialah kami telah menerbitkan Buletin dan juga laman blog sebagai terminal makumat yang akan menghubungkan Skuad 69 bukan sahaja dengan ahli-ahlinya, malah menerusi laman blog Skuad69.blogspot.com, dunia luar juga akan mengetahui dengan lebih dekat lagi tentang aspirasi kami dalam komuniti hari ini. Saya berharap bulletin dan blog Skuad 69 PDRM Sarawak yang dilancarkan hari ini mampu memberikan saingan dari segi pemberitaan dan juga penyiaran maklumat kepada kumpulan sasarnya.
Tahniah dan syabas
4. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua ahli-ahli jawatankuasa Skuad 69 PDRM Sarawak yang begitu gigih untuk menjayakan aktiviti-aktiviti ini. Saya amat beruntung kerana mempunyai ahli-ahli jawatankuasa yang dedikasi dan sentiasa komited dengan tanggungjawab yang dberikan.

15. Saya tidak berhajat untuk memanjangkan ucapan ini, kerana selepas ini kita hendak mendengar pula intipati ucapan yang akan disampaikan oleh YB Datuk Haji Talib Zulpilip, tetamu kehormat kita pada mala mini. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis makan malam ini. Kepada para penaja samada yang mewakili sector korporat dan swasta mahupun individu-individu yang budiman yang hadir pada malam ini, saya juga tidak akan melupakan budi baik anda semua.

16. Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada tetamu-tetamu VIP yang turut hadir meraikan majlis pada malam ini. Begitu juga kepada Y.Bhg Datuk Morshidi Abdul Rahman dahulunya sebagai seorang anggota polis, tetapi hari ini beliau hadir sebagai seorang tokoh korporat yang telah memberikan sokongan kepada Skuad 69 PDRM Sarawak sebagai Rakan Penaja kami. Semoga Allah sahajalah yang akan dapat memberikan ganjaran setimpal dengan kebaikan yang dicurahkan kepada Skuad 69 PDRM Sarawak selama ini.

17. Saya memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan layanan atau apa-apa yang kurang sepanjang majlis ini berjalan.

18. Semoga Skuad 69 PDRM Sarawak sentiasa di hati tuan-tuan dan puan-puan semua. Terima kasih.

Wednesday, November 12, 2008

PENGALAMAN SKUAD 69 DIPERLUKAN UNTUK PERANGI JENAYAH




Gambar kiri: Datuk Talib sedang memecahkan bongkah ais .Gambar Kanan: AJK dan Petugas Malam Mesra Amal Skuad 69.


Pengalaman yang dimiliki oleh Skuad 69 sebagai bekas anggota polis masih diperlukan terutama untuk membantu kerajaan dalam memerangi jenayah yang sering berlaku hari ini. Demikian pandangan yang telah diutarakan oleh YB Datuk Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak semasa berucap merasmikan Buletin dan Laman Blog Skuad 69 PDRM Sarawak di Bintulu, sabtu lepas (8 November).
Skuad 69 miliki pengalaman dan keupayaan
Datuk Talib Zulpilip berkata, dua elemen penting yang ada pada Skuad 69 iaitu pengalaman dan keupayaan wajar digunakan untuk membantu anggota polis semasa membanteras jenayah di negeri ini.
"Kita mahu tindakan cepat dengan mengambil semula pesara polis terutama yang masih cergas untuk membantu mengekang jenayah daripada terus berleluasa di negeri ini."
Datuk Talib juga berkata, semua pihak boleh menyumbang sesuatu dalam usaha membanteras jenayah, lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang merosot dilihat menjadi salah satu faktor kepada pertaambahan kes-kes jenayah.
Membantu memburu penjenayah
Bekas polis dan tentera terutamanya bekas-bekas pegawai amat penting dalam membantu masyarakat dalam perkara ini memandangkan tenaga, pengalaman dan kepandaian yang mereka miliki akan dapat membantu memburu penjenayah," jelasnya.
"Mengapa pengalaman mereka yang telah bersara tetapi masih cergas tidak dimanfaatkan untuk memburu penjanayah? Tidak salah jika kita meminta mereka dengan memberikan elaun bagi membantu masyarakat membanteras jenayah"
Saya rasa pesara-pesara Skuad 69 dapat membantu kita dalam perkara ini. Jika hendak mengambil orang baru akan mengambil masa yang lama untuk melatih mereka, di samping kurang pengalaman," jelasnya.
miliki semangat patriotik
"Justeru, kita perlu manfaatkan keupayaan pesara-pesara polis ini yang masih gagah, cergas ditambah pula memiliki semangat patriotik yang kental. Kita perlu memikirkan perkara ini demi untuk negara," katanya.
Datuk Talib turut menyarankan agar pesara-pesara polis dan tentera dapat bekerjasama membantu masyarakat dengan kebijaksanaan memberikan maklumat kepada pihak polis tentang kejadian jenayah seperti kes-kes penyeludupan beras yang menyukarkan rakyat untuk memperolehinya, sebaliknya penyeludup dan penyorok beras pula yang mengaut keuntungan.
Terima kasih kepada Skuad 69
"Begitupun, adakah kita memiliki keberanian untuk membuat laporan mengenai kegiatan sebegini? Saya yakin bekas-bekas anggota polis seperti Skuad 69 ini ada sifat itu, kerana kita tidak boleh membiarkan kegiatan sebegini berleluasa," tegasnya lagi.
"Semangat patriotik tidak boleh berhenti dalam diri kita walaupun kita telah bersara," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Skuad 69 atas jasa yang telah ditaburkan sehingga melumpuhkan kegiatan komunis di negara ini.
Di dalam majlis yang sama, Datuk Talib telah menyampaikan sumbangan amal berupa hamper kepada lima orang anak yatim daripada Kpg Sebiew dan lima orang ibu tunggal dari Kpg Jepak dan Kpg Assyakirin, Bintulu. \
Turut hadir dalam majlis ini ialah Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak, DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Timbalan Residen Bintulu Sirai Daha dan Pengerusi Kolej Penerbangan Antarabangsa GGIFA Dato' Morshidi Abdul Rahman.


Sebahagian daripada anak yatim dan ibu tunggal yang menerima sumbangan hamper

Saturday, November 8, 2008

BULETIN SKUAD 69 PDRM SARAWAK EDISI KE-2 DILANCARKAN HARI INI, 8 NOVEMBER 2008, DI BINTULU


YB Datuk Talib Zulpilip (Di tengah) bersama-sama dengan Ahli Jawataniuasa
Skuad 69 PDRM Sarawak ketika melancarkan buletin edisi ke-2 di Bintulu.


Hari ini, Sabtu, 8hb. November 2008, bertempat di Grand Ballroom, ParkCity Everly Hotel Bintulu, tercatat satu lagi detik bersejarah buat Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak dengan terlancarnya BULETIN rasmi Skuad 69 PDRM Sarawak, Edisi Ke-2; dan juga LAMAN BLOG - http://www.skuad69.blogspot.com


Kiri: Datuk Talib berucap. Kanan: Datuk Talib sedang klik butang merasmikan blog skuad69.

Perasmian
Buletin dan laman blog Skuad 69 PDRM Sarawak ini telah dilancarkan dengan rasminya oleh YB DATUK HAJI TALIB ZULPILIP (Gambar), Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak, merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), yang mewakili YB DATUK AMAR HJ AWANG TENGAH ALI HASSAN Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak.
Makan Ma
lam Mesra Amal
Majlis perasmian ini berlangsung dengan penuh gilang gemilang di dalam satu majlis makan malam mesra amal bersama Skuad 69 PDRM Sarawak hari ini yang disaksikan lebih 300 orang tetamu yang terdiri daripada rakan-rakan penaja, ahli-ahli Skuad 69 sendiri, termasuk para VIP yang terdiri daripada Encik Sirai Daha, Timbalan Residen Bahagian Bintulu dan Encik Alex Liau, Penolong Pegawai Daerah Bintulu.Turut kelihatan meraikan majlis ini ialah Y.Bhg Datin Ezanoni daripada Ezanoni Fashion & Beauty Sdn Bhd, yang juga 'Ahi Kehormat' Skuad 69 PDRM Sarawak, Y.Bhg Datuk Morshidi Abdul Rahman yang mewakili penaja, dan juga wakil daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu serta wakil media tempatan.
Dua Ahli Kehormat Baru
Di dalam majlis pelancaran ini juga, dua orang 'Ahli Kehormat' yang baru telah menerima watikah perlantikan masing-masing daripada Presiden Persatuan yang telah disampaikan sendiri oleh YB Datuk Haji Talib Zulpilip. Kedua-dua mereka yang berkenaan masing-masing telah menyumbangkan sebanyak RM3,000 kepada Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak.
Sumbangan Untuk Anak Yatim dan Ibu Tunggal
Seramai lima orang anak-anak yatim daripada Kpg. Sebiew dan lima orang ibu tunggal daripada Kpg. Jepak dan Kpg Assyakirin Bintulu telah menerima sumbangan berupa hamper daripada Skuad 69 PDRM Sarawak. Ini merupakan sebahagian daripada sumbangan kebajikan yang lazim dilakukan oleh Skuad 69 apabila mengadakan majlis-majlis seumpama ini.
Penghargaan
DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua pihak terlibat menjayakan majlis makan malam ini. Beliau berharap hubungan erat Skuad 69 PDRM Sarawak dengan rakan-rakan penaja dan juga dengan masyarakat tempatan akan merangsang persatuan ini menjadi lebih aktif di dalam usaha memperkasakan agenda sosialnya.


Tuesday, November 4, 2008

DSP (B) Arifin Ke Tanah Suci 10 November depan



DSP (B) Arifin Hj Adenan (Dua dari kiri), ketika dikunjungi oleh
Bujang Boji (Kanan sekali), Abd. Rahman Hashim (Dua dari kanan)
dan Peet Awi (Kiri sekali) di kediamannya di Kg. Semariang Batu,
Di Petra Jaya, Kuching, pada 4 November 2008.

Alhamdulillah, dengan berkat doa dan restu Allah SWT jua, akhirnya kesampaian jua hajat besarnya untuk menunaikan ibadah fardu haji ke Baitullah. DSP (B) Arifin Haji Adenan, Timbalan Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak akan berangkat ke tanah suci bersama-sama dengan isterinya pada hari Isnin, 10 November 2008; dan dijadualkan kembali ke tanah air pada 24 Disember 2008 yang akan datang.

Seluruh warga Skuad 69 mendoakan agar Tuan Arifin dan isteri sentiasa mendapat perlindungan Allah SWT dan dikurniakan rahmat serta barakah haji yang mabrur, Amin!

Friday, October 17, 2008

Skuad 69 PDRM Sarawak dijemput sertai Istiadat Perbarisan Hari Jadi TYT Ke-87


Kontinjen Skuad 69 pada 31 Ogos 2008 lalu.

Skuad 69 PDRM Sarawak sekali lagi telah dijemput oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengambil bahagian di dalam Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena perayaan Hari Jadi Ke-87 Tuan Yang Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang akan diadakan pada hari Sabtu, 25 Oktober 2008, bertempat di Padang Merdeka, Kuching.

Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Eksekutif Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak yang menyatakan demikian juga berkata bahawa Skuad 69 akan menghantar kontinjennya yang berjumlah 30 orang yang akan diketuai oleh SI (B) John Haji Surip. Menurutnya lagi, Skuad 69 PDRM Sarawak berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah memberikan penghormatan kepada Skuad 69 untuk mengambil bahagian di dalam perarakan ini.

Sebelum ini, Skuad 69 PDRM Sarawak juga telah diundang mengambil bahagian di dalam upacara perbarisan Hari Kemerdekaan Ke-51 Peringkat Negeri Sarawak yang telah diadakan pada 31 Ogos yang lepas. Kali pertama Skuad 69 PDRM Sarawak menyertai perbarisan seumpama ini ialah pada 31 Ogos 2007 yang lalu sempena menyambut perayaan Hari Kemerdekaan Ke-50 tahun Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Bandaraya Miri

Berikut ini ialah jadual tugas dan pergerakan Kontinjen Skuad 69 PDRM Sarawak yang akan mengambil bahagian di dalam perbarisan sempena Hari Jadi TYT nanti:-

1. Majlis Taklimat Skuad 69
Isnin, 20 Oktober - 2.00 petang, di Pejabat Skuad 69.

2. Raptai 1 - 21 Oktober, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.

3. Raptai 2 - 22 Oktober, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.

4. Raptai Penuh - 23 Oktober, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.

5. Perbarisan Sebenar - 25 Oktober 2008, 6.00 pagi, di Padang Merdeka.