Sunday, January 31, 2010

SKUAD 69 PDRM SARAWAK HARGAI JASA
DATO' TALIB JAMAL


DSP (B) Yusof Isa menyampaikan surat jemputan kepada Dato' Talib Jamal
di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada 27 Januari 2010.

Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak tidak pernah lupa dengan sumbangan bakti yang pernah diberikan oleh Y.Bhg Dato' Talib Jamal (Foto), semasa menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak sebelum ini. Bermula dengan kesudian Dato' Talib Jamal selaku Pesuruhjaya Polis Sarawak menerima kunjungan rombongan bekas pejuang Skuad 69 PDRM yang diketuai oleh DSP (B) Muhamad Yusof Isa pada 14 Februari 2006, ia telah menjadi titik permulaan bagi merintis penubuhan Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak yang bertujuan untuk menjaga hal ehwal kebajikan bekas-bekas anggota Skuad 69 yang pernah menyarung 'baju hijau' di dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) tetapi hari ini semuanya telah menjadi polis pencen.

Dato' Talib Jamal dengan penuh ketulusan hatinya menyambut baik hasrat penubuhan persatuan ini di negeri Sarawak, kerana menurutnya kisah perjuangan pasukan polis dalam pasca penentangan terhadap pengganas komunis di Sarawak tidak dapat dipisahkan dengan semangat kental yang telah ditunjukkan oleh Skuad 69 semasa mereka berkhidmat di dalam PPH. Menurutnya, jasa dan pengorbanan sebahagian anggota pasukan polis di dalam Skuad 69 dahulu sewajarnya diingati.


Dato' Talib Jamal menyampaikan cenderahati kepada
Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak
, 14 Februari 2006

Oleh itu katanya, beliau tidak menjadi masalah untuk memberikan sokongan dan juga kerjasaama bagi tujuan menjayakan penubuhan sebuah persatuan untuk menjaga kebajikan keluarga mereka (Skuad 69).

Sokongan padu yang ditunjukkan oleh beliau tidak sekadar menerima kunjungan, bahkan beliau telah mempersudikan dirinya untuk merasmikan majlis pra pelancaran buku 'Memoir Skuad 69 PDRM Edisi Sarawak' yang diadakan pada 17 Mac 2006 di Mes Pegawai Kanan, IPK Sarawak, Jalan Badruddin, Kuching.

Beliau juga atas sifatnya selaku Pesuruhjaya Polis Sarawak juga tidak menunjukkan keberatan hatinya terhadap aktiviti persatuan ini apabila beliau sekali lagi menjadi tetamu kehormat di dalam satu majlis perasmian buku Memoir Skuad 69 PDRM Edisi Sarawak yang disempurnakan oleh Dato' Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg, Menteri Perumahan Sarawak yang mewakili Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak pada 16 September 2006, di Dewan Suarah Negeri.

Dato' Talib Jamal ketika meraikan kunjungan hormat
rombongan
pimpinan Skuad 69 PDRM, 14 Februari 2006.

Sebagai sebuah persatuan yang baru ditubuhkan, Dato' Talib Jamal tidak lokek dengan idea-idea bernasnya bagi memperkasakan lagi persatuan ini. Beliau sering memberikan nasihat dan juga teguran membina supaya persatuan ini menjadi lebih kuat untuk meneruskan pembelaan terhadap masa depan bekas-bekas pejuang di dalam Skuad 69 yang kini tidak lagi di dalam pasukan.

Sebagai legasi mengenang jasa-jasanya itu, Persatuan Kebajikan Skuad 69 PDRM Sarawak berhasrat untuk memberikan kalungan 'Pingat Wira Perkasa 69' kepada Y.Bhg DCP (B) Dato' Talib Jamal di dalam satu majlis makan malam sempena sambutan Hari Polis ke-203 yang akan diadakan pada 3 April 2010, di Hotel RH di Sibu, Sarawak. Dato' Talib Jamal telah bersara pada bulan Oktober 2007, dan kini jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak disandang oleh penggantinya, DCP Dato' Mohmad Salleh.

Surat undangan terhadap Dato' Talib Jamal telah pun diserahkan oleh DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak semasa berkunjung di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada 27 Januari lepas. Pada dasarnya, beliau telah menyatakan persetujuan untuk menghadiri ke majlis tersebut.



No comments: